Sabtu, 12 Mac 2016
JANGAN JADI KETAM DALAM BAKUL- KU ADNAN
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan pemimpin dan anggota parti supaya tidak bersikap seperti 'ketam dalam bakul'.
Beliau berkata pemimpin atau anggota UMNO bersikap seumpama itu, yang sanggup berbuat apa sahaja boleh merosakkan parti berkenaan.
"Dalam UMNO, kita hanya akan berjaya jika bersatu. Justeru, kenapa nak runtuhkan institusi yang ada.
"Jangan kita berperangai macam 'ketam dalam bakul," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat serentak UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Shah Alam di sini, malam tadi.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari dan kepimpinan sayap-sayap UMNO bahagian itu.
Tengku Adnan berkata anggota di setiap peringkat sehingga ke akar umbi perlu mengekalkan perpaduan dan mempertahankan parti bagi memastikan UMNO terus kukuh.
"Kita (anggota dan pemimpin UMNO) harus setia dengan pemimpin sedia ada. Kita ada sistem pemilihan dan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) memang dipilih menerusi sistem yang ada," katanya.
KETUA BAHAGIAN UMNO ISYTIHAR DEKLARASI SOKONG PM NAJIB
Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara mengisytiharkan deklarasi memberi sokongan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri untuk terus memimpin negara.
Deklarasi Ketua-Ketua UMNO Bahagian Seluruh Malaysia itu disokong oleh 147 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian hadir menandatanginya pada satu mesyuarat tertutup di sini hari ini.
Wakil Ketua UMNO Bahagian seluruh Malaysia, Datuk Mohd Yusof Kassim dalam sidang media, selepas mesyuarat itu, berkata deklarasi itu merupakan satu ketetapan dan kesepakatan Ketua UMNO Bahagian berhubung isu "Deklarasi Mahathir' 4 Mac lepas.
Mohd Yusof, yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, turut membacakan deklarasi tersebut yang keseluruhannya mengandungi lapan perkara termasuk menyatakan ikrar sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada Najib sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta Perdana Menteri.
Katanya, Ketua-ketua UMNO Bahagian juga bersepakat, mengutuk sekeras-kerasnya dan amat kesal dan kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai mantan presiden UMNO yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang serta mengepalai deklarasinya bersama pembangkang itu.
"Kami mendesak kerajaan bertindak tegas, menguatkuasakan segala peruntukan undang-undang, terhadap mana-mana pihak yang menggugat sistem pemerintahan negara.
"Kami Ketua-ketua UMNO Bahagian mendesak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia, bertindak tegas dan menghalang segala 'road show' (jerayawara) dan perhimpunan haram, yang bakal dianjurkan oleh mana-mana pihak khususnya pembangkang, bagi tujuan meracuni dan menghasut pemikiran rakyat dan apa-apa usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri secara tidak demokratik," katanya.
Katanya, Ketua-ketua UMNO Bahagian juga mendesak kerajaan agar menamatkan serta merta segala perjawatan yang dipegang oleh mana-mana pemimpin atau bekas pemimpin UMNO dan BN dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang terlibat dengan "Deklarasi Mahathir" itu.
Katanya, Ketua-ketua UMNO Bahagian mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin UMNO yang masih memegang jawatan, khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang bersekongkol dan bersubahat dengan agenda pembangkang untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi.
"Kami mendesak Majlis Tertinggi UMNO dan Lembaga Disiplin UMNO, mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap ahli-ahli UMNO yang terlibat dengan 'Deklarasi Mahathir' dan bersekongkol dengan pembangkang," katanya.
Selain itu, Ketua-Ketua UMNO Bahagian berikrar dan berjanji akan berusaha keras memelihara kerukunan dan keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama, memimpin rakyat Malaysia di kawasan masing-masing.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail berkata semua ketua bahagian yang hadir dan tidak hadir menyokong deklarasi tersebut, kecuali tiga bahagian iaitu Pagoh, Jerlun dan Semporna.
"Adik Shafie iaitu Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Yusof Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Yusoff HM Haniff, bekas pegawai kepada Muhyiddin juga turut hadir memberikan sokongan kepada deklarasi ini," katanya.
Zein Isma berkata mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama sejam itu adalah untuk membincangkan dan mempersetujui deklarasi itu.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan.
KERAJAAN AKAN TERUS SEDIAKAN RUMAH MAMPU MILIK UNTUK RAKYAT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan akan terus menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti kepada mereka.
Beliau berkata ini bukan sahaja untuk memastikan mereka mempunyai tempat berlindung tetapi juga meningkatkan kekayaan mereka.
Ini juga bagi memenuhi Manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 Barisan Nasional (BN) apabila BN berjanji untuk membina satu juta unit rumah di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
Najib berkata demikian ketika melancarkan Ekspo Rumah PR1MA @Sarawak di bangunan lama Dewan Undangan Negeri di sini, Sabtu.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias.
"Kami telah berjaya membina 500,000 rumah melalui PR1MA. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membina unit-unit selebihnya bagi memenuhi janji kami," kata beliau.
Najib berkata bagi Sarawak, PR1MA dan Perbadanan Pembangunan Perumahan negeri bekerjasama untuk membina kira-kira 9,185 unit pelbagai jenis rumah.
"Dalam hubungan ini, hubungan yang lebih kukuh adalah perlu antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk memudahkan program ini.
Di Sarawak, contohnya, kerajaan negeri menyediakan tanah sementara kerajaan persekutuan memperuntukkan dana," kata beliau.
Najib berkata pada masa sekarang, rakyat tidak lagi berpuas hati sekadar memiliki rumah yang murah.
"Mereka mahu rumah yang berkualiti dan luas dengan kemudahan moden tetapi pada harga yang mereka mampu," katanya.
Beliau berkata walaupun ia merupakan cabaran yang sukar tetapi kita telah berjaya, dalam keadaan tertentu mencapai matlamat ini melalui PR1MA apabila harga rumah adalah 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan ini pasti memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan surat tawaran kepada lima keluarga tempatan yang berjaya dalam permohonan untuk membeli rumah impian mereka.
Beliau juga melancarkan aplikasi mudah alih "PR1MA" bagi memudahkan pendaftaran rumah PR1MA kepada orang ramai, terutama mereka yang tidak mempunyai akses internet di rumah.BERNAMA
TOLAK KUMPULAN PENYEBAR POLITIK KEBENCIAN
Rakyat harus mengelakkan kumpulan-kumpulan yang membuat janji manis selain menghasut mereka untuk menentang kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan-kumpulan itu juga menyebarkan politik kebencian terhadap kerajaan dan pemimpin.
"Sebaliknya, kerajaan sekarang mengamalkan politik perpaduan, keharmonian dan kestabilan di negara ini.
"Kami juga mahu melaksanakan pembangunan yang lebih besar dan memacu negara dan rakyat ke tahap kebanggaan dan pengiktirafan lebih tinggi," kata beliau pada majlis pemimpin bersama rakyat di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, dekat sini.
Najib berkata rakyat perlu belajar daripada pengalaman pahit negara-negara seperti Mesir, Syria, Libya dan mereka yang terlibat dalam kebangkitan "Arab Spring".
Beliau berkata mereka sepatutnya menikmati keindahan dan ketenangan musim bunga tetapi sebaliknya menghadapi hanya penderitaan dan perbalahan dalaman serta ketidakstabilan dalam negara sendiri.
"Rakyat tidak harus membiarkan diri mereka diperdayakan. Mereka perlu belajar daripada pengalaman pahit," kata Perdana Menteri.
Mengenai Sarawak, Najib berkata lawatannya dari semasa ke semasa ke negeri ini sejak menjadi Perdana Menteri ialah kerana beliau mahu negeri ini dibangunkan seperti negeri-negeri lain di negara ini.
"Sebab itulah kerajaan persekutuan melaksanakan projek-projek mega seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang boleh membawa perubahan dalam pembangunan di Sarawak dan Sabah," katanya.
"Kerajaan persekutuan benar-benar komited untuk membangunkan Sarawak dan melaksanakan pembangunannya ke tahap lebih tinggi.
"Tetapi ia memerlukan sokongan penuh yang berkekalan untuk memastikan semua projek dan rancangan pembangunan dilaksanakan dengan lancar. Apapun, Rome tidak dibina dalam sehari," katanya.
Mengenai pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan datang, beliau menyeru rakyat untuk terus memberi sokong sepenuhnya kepada ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.
"Sebagai presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau harus diberi mandat. Jika beliau diberi mandat ini, beliau pasti berada dalam kedudukan lebih baik untuk membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini," kata Najib.
Beliau berkata sebagai pemimpin Barisan Nasional, rakyat perlu yakin mengenai pencapaian Barisan Nasional yang terbukti cemerlang yang belum dapat ditandingi oleh pembangkang.
Najib berkata jika Adenan mencapai kemenangan besar, ia juga akan mengukuhkan kedudukan kerajaan pusat kerana Sarawak ialah satu daripada tonggaknya yang paling kukuh.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan geran RM1 juta bagi pembinaan dewan masyarakat kampung tersebut selain meluluskan peruntukan bagi pembinaan bangunan baharu menggantikan SK Kampung Baki yang sudah usang.
Beliau juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak lelaki ketua kampung, Taib Hamdan yang meninggal dunia pagi tadi.
Jumaat, 11 Mac 2016
KABINET SETUJU TAMATKAN PELANTIKAN TUN M SEBAGAI PENASIHAT PETRONAS
Kabinet hari ini bersetuju sebulat suara menamatkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata kabinet berpendapat oleh kerana Dr Mahathir tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada, beliau sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan.
"Kabinet hari ini telah membincangkan tindakan-tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada minggu lepas.
"Deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara," kata kenyataan itu.
Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat Petronas selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003.
Beliau juga merupakan Pengerusi Proton Holdings sejak Jun 2014.
Khamis, 10 Mac 2016
ZAHID YAKIN ISU TERENGGANU DAPAT DISELESAIKAN SEGERA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan isu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu hanyalah pergesaran kecil dan tidak perlu diperbesarkan.
Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO yakin isu itu boleh ditangani serta diselesaikan dengan baik dan berkesan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri itu.
Katanya beliau sudah berhubung dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung perkara itu.
"Dengan usaha bersama semua anggota parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) (dan Presiden UMNO), akan mampu diselesaikan melalui mekanisme yang boleh diterima semua pihak," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata mekanisme berkenaan akan diumumkan Setiausaha Agung UMNO dan BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa terdekat.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, pada Selasa mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif sebelum mengakhiri perbahasannya pada sesi perbahasan atas titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan persidangan DUN ke-13.
Bagaimanapun, speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong menolak "usul" itu.
ADUN Kijal itu mengemukakan alasan bahawa terdapat konspirasi untuk memburukkan nama beliau dalam politik dan sebagai wakil rakyat.
Berhubung tindakan tatatertib ke atas Ahmad, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan difikirkan apabila Lembaga Disiplin UMNO bersidang kelak.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut berterima kasih kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas pendirian berintegriti parti itu menolak usaha kumpulan diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri melalui kaedah tidak demokrasi.
"Ini bukan menifestasi berlandaskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik tetapi lebih kepada pemahaman Abdul Hadi dan PAS mengenai menghormati perlembagaan atau perundangan berkaitan cara yang betul menukar perdana menteri," katanya.
Berhubung kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan hari ini bahawa parti itu akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baharu yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan badan bukan kerajaan, Ahmad Zahid berkata "ia merupakan satu amalan demokrasi dan kita meraikan perbezaan pendapat dan pendirian mereka".
Menurut Takiyuddin pengumunan penubuhan 'blok politik ketiga' pada 16 Mac itu diharap akan setanding dengan Pakatan Harapan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ditanya apakah UMNO tergugat dengan langkah tersebut khususnya usaha PAS untuk membolehkan mereka menguasai sokongan orang Melayu, Ahmad Zahid berkata ia bergantung kepada kesepaduan dan sokongan antara UMNO dengan masyarakat di akar umbi.
Beliau yakin dengan perancangan dan gerak kerja yang dilipatgandakan serta pendekatan lebih bijak yang digunakan jentera UMNO, dukungan atau sokongan rakyat terhadap parti itu akan terus bertambah.BERNAMA
PAS AKAN BENTUK BLOK BARU PEMBANGKANG
PAS hari ini mengumumkan parti itu akan membentuk blok baharu pembangkang pada 16 Mac, menjadikan kumpulan itu blok pakatan pembangkang yang ketiga di negara ini.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menjalin kerjasama dengan sebuah parti bagi memperkukuhkan kedudukannya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Beliau tidak menamakan parti itu.
"Kami adalah blok ketiga. Dalam Perlembagaan (PAS) kami boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang sama dengan kami. Perjuangan dan tuntutan yang sama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Takiyuddin berkata PAS masih bekerjasama dengan PKR dalam Pakatan Rakyat yang sebelum ini dianggotai tiga parti tetapi buat masa kini menolak kerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
"Politik bukan satu hala sahaja ... ia berbentuk gabungan, satu muafakat dengan parti politik, tetapi yang pasti bukan Pakatan Harapan," katanya.
Pakatan Harapan dibentuk oleh DAP, PKR dan Amanah selepas DAP enggan bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR. Amanah ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS selepas mereka kalah dalam pemilihan parti.
Takiyuddin yang juga Anggota Parlimen Kota Baharu, berkata blok baharu itu akan membawa budaya politik matang dan sejahtera.
Langgan:
Ulasan (Atom)







