Sabtu, 12 Mac 2016

KERAJAAN AKAN TERUS SEDIAKAN RUMAH MAMPU MILIK UNTUK RAKYAT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan akan terus menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti kepada mereka. Beliau berkata ini bukan sahaja untuk memastikan mereka mempunyai tempat berlindung tetapi juga meningkatkan kekayaan mereka. Ini juga bagi memenuhi Manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 Barisan Nasional (BN) apabila BN berjanji untuk membina satu juta unit rumah di seluruh negara dalam tempoh lima tahun. Najib berkata demikian ketika melancarkan Ekspo Rumah PR1MA @Sarawak di bangunan lama Dewan Undangan Negeri di sini, Sabtu. Turut hadir ialah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias. "Kami telah berjaya membina 500,000 rumah melalui PR1MA. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membina unit-unit selebihnya bagi memenuhi janji kami," kata beliau. Najib berkata bagi Sarawak, PR1MA dan Perbadanan Pembangunan Perumahan negeri bekerjasama untuk membina kira-kira 9,185 unit pelbagai jenis rumah. "Dalam hubungan ini, hubungan yang lebih kukuh adalah perlu antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk memudahkan program ini. Di Sarawak, contohnya, kerajaan negeri menyediakan tanah sementara kerajaan persekutuan memperuntukkan dana," kata beliau. Najib berkata pada masa sekarang, rakyat tidak lagi berpuas hati sekadar memiliki rumah yang murah. "Mereka mahu rumah yang berkualiti dan luas dengan kemudahan moden tetapi pada harga yang mereka mampu," katanya. Beliau berkata walaupun ia merupakan cabaran yang sukar tetapi kita telah berjaya, dalam keadaan tertentu mencapai matlamat ini melalui PR1MA apabila harga rumah adalah 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan ini pasti memberi manfaat kepada rakyat," katanya. Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan surat tawaran kepada lima keluarga tempatan yang berjaya dalam permohonan untuk membeli rumah impian mereka. Beliau juga melancarkan aplikasi mudah alih "PR1MA" bagi memudahkan pendaftaran rumah PR1MA kepada orang ramai, terutama mereka yang tidak mempunyai akses internet di rumah.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan