Sabtu, 12 Mac 2016

KETUA BAHAGIAN UMNO ISYTIHAR DEKLARASI SOKONG PM NAJIB

Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara mengisytiharkan deklarasi memberi sokongan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri untuk terus memimpin negara. Deklarasi Ketua-Ketua UMNO Bahagian Seluruh Malaysia itu disokong oleh 147 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian hadir menandatanginya pada satu mesyuarat tertutup di sini hari ini. Wakil Ketua UMNO Bahagian seluruh Malaysia, Datuk Mohd Yusof Kassim dalam sidang media, selepas mesyuarat itu, berkata deklarasi itu merupakan satu ketetapan dan kesepakatan Ketua UMNO Bahagian berhubung isu "Deklarasi Mahathir' 4 Mac lepas. Mohd Yusof, yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, turut membacakan deklarasi tersebut yang keseluruhannya mengandungi lapan perkara termasuk menyatakan ikrar sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada Najib sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta Perdana Menteri. Katanya, Ketua-ketua UMNO Bahagian juga bersepakat, mengutuk sekeras-kerasnya dan amat kesal dan kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai mantan presiden UMNO yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang serta mengepalai deklarasinya bersama pembangkang itu. "Kami mendesak kerajaan bertindak tegas, menguatkuasakan segala peruntukan undang-undang, terhadap mana-mana pihak yang menggugat sistem pemerintahan negara.
"Kami Ketua-ketua UMNO Bahagian mendesak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia, bertindak tegas dan menghalang segala 'road show' (jerayawara) dan perhimpunan haram, yang bakal dianjurkan oleh mana-mana pihak khususnya pembangkang, bagi tujuan meracuni dan menghasut pemikiran rakyat dan apa-apa usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri secara tidak demokratik," katanya. Katanya, Ketua-ketua UMNO Bahagian juga mendesak kerajaan agar menamatkan serta merta segala perjawatan yang dipegang oleh mana-mana pemimpin atau bekas pemimpin UMNO dan BN dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang terlibat dengan "Deklarasi Mahathir" itu. Katanya, Ketua-ketua UMNO Bahagian mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin UMNO yang masih memegang jawatan, khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang bersekongkol dan bersubahat dengan agenda pembangkang untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi. "Kami mendesak Majlis Tertinggi UMNO dan Lembaga Disiplin UMNO, mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap ahli-ahli UMNO yang terlibat dengan 'Deklarasi Mahathir' dan bersekongkol dengan pembangkang," katanya. Selain itu, Ketua-Ketua UMNO Bahagian berikrar dan berjanji akan berusaha keras memelihara kerukunan dan keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama, memimpin rakyat Malaysia di kawasan masing-masing. Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail berkata semua ketua bahagian yang hadir dan tidak hadir menyokong deklarasi tersebut, kecuali tiga bahagian iaitu Pagoh, Jerlun dan Semporna. "Adik Shafie iaitu Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Yusof Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Yusoff HM Haniff, bekas pegawai kepada Muhyiddin juga turut hadir memberikan sokongan kepada deklarasi ini," katanya. Zein Isma berkata mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama sejam itu adalah untuk membincangkan dan mempersetujui deklarasi itu. Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan