Sabtu, 12 Mac 2016

TOLAK KUMPULAN PENYEBAR POLITIK KEBENCIAN

Rakyat harus mengelakkan kumpulan-kumpulan yang membuat janji manis selain menghasut mereka untuk menentang kerajaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan-kumpulan itu juga menyebarkan politik kebencian terhadap kerajaan dan pemimpin. "Sebaliknya, kerajaan sekarang mengamalkan politik perpaduan, keharmonian dan kestabilan di negara ini. "Kami juga mahu melaksanakan pembangunan yang lebih besar dan memacu negara dan rakyat ke tahap kebanggaan dan pengiktirafan lebih tinggi," kata beliau pada majlis pemimpin bersama rakyat di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, dekat sini. Najib berkata rakyat perlu belajar daripada pengalaman pahit negara-negara seperti Mesir, Syria, Libya dan mereka yang terlibat dalam kebangkitan "Arab Spring". Beliau berkata mereka sepatutnya menikmati keindahan dan ketenangan musim bunga tetapi sebaliknya menghadapi hanya penderitaan dan perbalahan dalaman serta ketidakstabilan dalam negara sendiri. "Rakyat tidak harus membiarkan diri mereka diperdayakan. Mereka perlu belajar daripada pengalaman pahit," kata Perdana Menteri. Mengenai Sarawak, Najib berkata lawatannya dari semasa ke semasa ke negeri ini sejak menjadi Perdana Menteri ialah kerana beliau mahu negeri ini dibangunkan seperti negeri-negeri lain di negara ini. "Sebab itulah kerajaan persekutuan melaksanakan projek-projek mega seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang boleh membawa perubahan dalam pembangunan di Sarawak dan Sabah," katanya. "Kerajaan persekutuan benar-benar komited untuk membangunkan Sarawak dan melaksanakan pembangunannya ke tahap lebih tinggi. "Tetapi ia memerlukan sokongan penuh yang berkekalan untuk memastikan semua projek dan rancangan pembangunan dilaksanakan dengan lancar. Apapun, Rome tidak dibina dalam sehari," katanya. Mengenai pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan datang, beliau menyeru rakyat untuk terus memberi sokong sepenuhnya kepada ketua menteri Tan Sri Adenan Satem. "Sebagai presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau harus diberi mandat. Jika beliau diberi mandat ini, beliau pasti berada dalam kedudukan lebih baik untuk membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini," kata Najib. Beliau berkata sebagai pemimpin Barisan Nasional, rakyat perlu yakin mengenai pencapaian Barisan Nasional yang terbukti cemerlang yang belum dapat ditandingi oleh pembangkang. Najib berkata jika Adenan mencapai kemenangan besar, ia juga akan mengukuhkan kedudukan kerajaan pusat kerana Sarawak ialah satu daripada tonggaknya yang paling kukuh. Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan geran RM1 juta bagi pembinaan dewan masyarakat kampung tersebut selain meluluskan peruntukan bagi pembinaan bangunan baharu menggantikan SK Kampung Baki yang sudah usang. Beliau juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak lelaki ketua kampung, Taib Hamdan yang meninggal dunia pagi tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan