Selasa, 4 November 2014
1MDB boleh bina rumah di Air Hitam- LIm Guan Eng
1Malaysia Development Bhd (1MDB) hanya boleh membina rumah mampu milik di tanah seluas 94 hektar yang dibelinya di Air Itam, Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata rancangan 1MDB yang diumumkan selepas membeli tanah itu adalah untuk membina 9,999 unit rumah kos rendah dan rumah mampu milik.
"Saya beri amaran kepada 1MDB bahawa kami tidak akan membenarkannya membina selain daripada rumah mampu milik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Guan Eng berkata 1MDB juga tidak akan dibenarkan memindah mereka yang menduduki tanah itu, tanpa dibayar pampasan sewajarnya.
Bagaimanapun, kata Lim setakat ini 1MDB tidak memohon kelulusan perancangan bagi sebarang projek di tanah itu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berita bulan lepas bahawa selain membina rumah kos rendah dan rumah mampu milik, 1MDB juga bercadang menggunakan tanah itu bagi tujuan pembangunan lain untuk menjana nilai lebih tinggi bagi tanah yang dibelinya.
1MDB membeli tanah itu pada harga RM1.38 bilion dan berjanji membina 9,999 unit rumah mampu milik.
Sementara itu, setiausaha politik Lim, Wong Hon Wai, yang turut hadir, mengulangi bahawa kerajaan negeri tidak melabur atau memiliki sebarang saham dalam Wet World Wild (WWW) Adventure Park di Batu Ferringhi.
Katanya projek itu merupakan inisiatif persendirian dan kerajaan negeri hanya memainkan peranannya sebagai pemudah cara untuk syarikat terbabit membina taman berkenaan.
WWW Adventure Park ditutup bulan lepas, hanya 10 bulan selepas ia dibuka berikutan ombak kuat pada fasa awal 'super-moon' bulan lepas, yang menyebabkan beberapa struktur dan peralatan taman itu dihanyutkan ke pantai dan ditimbusi pasir di pantai Batu Ferringhi.
Najib akan bertukar pandangan dengan PM Belanda mengenai perkembangan MH17
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte dijangka bertukar-tukar pandangan dan maklumat tentang perkembangan terkini berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh sempena lawatan rasmi sehari Rutte ke Malaysia pada Rabu.
Kementerian Luar dalam kenyataannya pada Selasa berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan pegawai Malaysia yang terlibat dengan penyiasatan nahas itu selepas pertemuan mereka.
Perdana Menteri akan menyambut ketibaan Rutte di Putrajaya pada Rabu dalam lawatan bagi membalas kunjungan Najib ke Belanda pada Julai.
Dalam kunjungan pertamanya ke Malaysia itu, Rutte akan diiringi para pegawai kanan Kementerian Luar Belanda.
Penerbangan MH17 terhempas di selatan Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat malang itu membawa 193 rakyat Belanda dan 44 rakyat Malaysia. Semua rakyat negara ini yang menjadi mangsa, telah dikenal pasti.
Kenyataan itu berkata lawatan Rutte memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pendapat tentang perkara dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Lawatan itu juga dijangka meningkatkan hubungan baik dua hala sedia ada antara Malaysia dan Belanda, kata kenyataan itu.BERNAMA
Anwar sepatutnya menjalani ujian DNA untuk membuktikan "Lelaki Y" bukan miliknya
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menjalani ujian DNA untuk membuktikan bahawa profil tidak dikenali 'Lelaki Y' yang ditemui dalam dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan miliknya, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa.
Pendakwa Raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan tidak pernah menjelaskan mengapa sampel air mani Anwar ditemui dalam dubur Mohd Saiful.
"Dia sepatutnya bersedia menjalani ujian DNAnya sendiri jika air mani itu bukan miliknya. Dia boleh melakukan ujian DNA itu secara diam-diam di Australia atau Eropah," katanya ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengar rayuan akhir Anwar terhadap sabit kesalahan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat.
Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata Anwar boleh menyerahkan hasil ujian DNAnya di peringkat Mahkamah Tinggi sebagai bahan bukti tambahan pihak pembelaan.
Mahkamah Rayuan telah mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Anwar menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding mendengar rayuan, yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari bermula 28 Okt, telah dilanjutkan kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujahan yang panjang lebar.
Pihak pembelaan berusaha untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada pensabitan kerana kesalahan meliwat sementara pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan pensabitan dan hukuman penjara ke atasnya.
Empat lagi hakim yang bersidang dalam barisan panel hakim Mahkamah Persekutuan itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Bagi menyanggah dakwaan Anwar bahawa tuduhan liwat itu ialah berupa satu konspirasi, Muhammad Shafee berhujah bahawa ia dakwaan semata-mata kerana langsung tidak logik dan sukar untuk mempercayainya.
Mengenai calitan tinggi rektal yang diambil dari bahagian intim Mohd Saiful Bukhari yang menunjukkan kehadiran DNA Anwar, Muhammad Shafee berkata "Bagaimana DNA perayu boleh berada di situ pada kedalaman 4 sm (dalam rektum pengadu) dan ia sepatutnya dijawab oleh perayu."
Beliau juga mempersoalkan mengapa air mani Anwar dijumpai pada seluar dalam Mohd Saiful Bukhari berwarna kelabu yang dipakai oleh pengadu pada hari dia diperiksa seorang doktor Pusrawi dan semasa membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, dua hari selepas insiden liwat itu didakwa berlaku.
Ketua pendakwaan itu juga mempertikaikan hujah pihak pembelaan bahawa calitan kapas yang diambil dari bahagian intim Mohd Saiful berada dalam "keadaan tidak tercemar" selepas 56 jam insiden itu berlaku sebelum ia sampai di jabatan kimia.
Beliau meneruskan hujahnya bahawa pihak pendakwaan tidak pernah berkata sampel itu berada dalam keadaan tidak tercemar tetapi perkataan itu terkandung dalam keterangan pakar asing Dr Brian McDonald yang menjadi saksi pihak pembelaan.
Muhammad Shafee juga berhujah bahawa sebuah mahkamah di Australia telah memutuskan bahawa walaupun McDonald ialah seorang pakar mengenai DNA, kenyataan dan keterangannya tidak boleh menjadi asas sandaran.
"Malah Mahkamah Rayuan ketika menyabitkan perayu, dalam penghakimannya menyatakan bahawa keterangan McDonald sebagai 'pakar yang hanya pandai berteori'" kata beliau.
Beliau juga menarik perhatian kepada satu kes pembunuhan di Australia apabila sampel DNA diambil selepas lebih 13 tahun tetapi DNA masih boleh dibaca dan pelakunya telah disabitkan kesalahan.
Muhammad Shafee berkata ahli kimia Dr Seah Lay Hong, dalam keterangannya, tidak berkata bahawa sampel berada dalam keadaan tidak tercemar tetapi bacaan DNA adalah cukup baik.
"Ahli kimia itu dapat membaca DNA dan kemerosotan sampel itu tidak harus dipersoalkan," kata beliau.
Anwar sepatutnya memanggil saksi alibinya- Shafie Abdullah
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya memanggil saksi alibinya untuk membuktikan dia tidak berada di unit kondominium apabila dakwaan liwat antara beliau dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan berlaku, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata Anwar, melalui peguam caranya, telah menyenaraikan 13 nama termasuk isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemilik unit kondominium, dua pembantu rumah dan seorang profesor.
"Tetapi tidak seorangpun daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menyokong alibinya bahawa dia tidak berada di kondominium pada masa itu.
"Mohd Saiful mengemukakan bukti yang kukuh mengenai kehadiran perayu di unit kondominium. Terserah baginya (Anwar) untuk mencabar keterangan Mohd Saiful dengan memanggil saksi-saksi alibinya," kata Muhammad Shafee ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mendengar rayuan akhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Muhammad Shafee berkata mahkamah boleh membuat kesimpulan yang bertentangan terhadap Anwar kerana gagal memanggil saksi-saksi yang menjadi alibinya.
Beliau selanjutnya berhujah bahawa menjadi kewajipan undang-undang untuk ketua pembangkang itu menangkis andaian bahawa dia berada di unit kondominium itu pada hari insiden liwat itu dikatakan berlaku.
Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi statutori bagi Anwar untuk memanggil saksi-saksi ini memandangkan pihak pembelaan telah memfailkan notis alibi.
Muhammad Shafee juga berhujah bahawa Anwar, ketika memberi keterangan di kandang saksi, berkata alasan untuk dia tidak memanggil saksi-saksi alibi adalah sah dan munasabah tetapi pihak pendakwaan berpendapat bahawa alasan itu tidak masuk akal.
Beliau berhujah bahawa Anwar tidak mengemukakan keterangan mengikut versinya mengenai insiden yang dikatakan berlaku pada 26 Jun, 2008 di unit kondominium itu dan terdapat bukti kukuh mengenai kehadiran perayu apabila rakaman CCTV menunjukkan perayu tiba dan meninggalkan tempat itu selepas insiden.
Oleh itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa kegagalan Anwar menafikan atau mencabar keterangan pihak pendakwaan membawa pengertian bahawa dia mengaku tentang fakta-fakta yang dikemukakan berdasarkan bukti.
"Ini sememangnya, pasti akan menjadi bukti yang kukuh terhadapnya berikutan ketiadaan saksi-saksi alibi ini," kata beliau.
Perbicaraan bersambung pada Khamis.
Anwar menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Prosiding mendengar rayuan, yang mulanya ditetapkan selama dua hari bermula 28 Okt, telah dilanjutkan kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujah yang panjang lebar.
Pihak pembelaan berusaha untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada sabitan atas kesalahan meliwat sementara pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya.
Empat orang lagi hakim dalam barisan panel Mahkamah Persekutuan ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Jika rayuan Anwar ditolak, beliau boleh terlucut kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) bagi Permatang Pauh kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut seseorang MP boleh hilang kelayakan jika dihukum penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.
Ini merupakan pertuduhan liwat yang kedua terhadap Anwar.
Dalam kes pertama, dia didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar untuk menjalani hukuman selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah. Mahkamah Tinggi telah mensabitkan Anwar atas empat pertuduhan rasuah pada 4 April, 1999.
Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara selama hampir enam tahun atas kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept, 2004, apabila Mahkamah Persekutuan, diketuai oleh Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, membatalkan sabitan dan mengetepikan hukuman penjara ke atasnya atas pertuduhan meliwat Azizan, berdasarkan keputusan majoriti 2-1.BERNAMA
Ahad, 2 November 2014
SPR warta kajian semula persempadanan Parlimen dan DUN hujung tahun ini
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mewartakan notis kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) penghujung tahun ini, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata sebelum mewartakan notis tersebut, SPR perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Bila notis itu diumumkan, maka bermulalah tempoh persempadanan semula dan notis itu akan dipamer selama sebulan (untuk menerima bantahan dan cadangan) daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan pengundi berdaftar, sekurang-kurangnya 100 orang dalam bahagian pilihan raya terbabit," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata laporan akhir mengenai syor kajian semua persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh tidak lebih dua tahun daripada tarikh notis diumumkan, untuk dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat untuk kelulusan selaras dengan Seksyen 8, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Laporan yang diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Aging untuk ditandatangan sebelum diwartakan dan diguna pakai.
Abdul Aziz berkata persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang.
"Kawasan mengundi yang luas perlu dikecilkan supaya jumlah pengundi yang terdapat di satu-satu kawasan pilihan raya adalah munasabah," jelasnya.
Katanya, sebagai contoh di Kuala Lumpur, keluasan kawasan Parlimen adalah kecil sahaja seperti kawasan Batu dan Segambut namun jumlah pengundinya besar, dan tanpa persempadanan semula, rakyat sukar untuk mendapat perkhidmatan yang baik daripada wakil rakyat.
" Persempadanan semula bukan untuk menentukan satu-satu parti memenangi pilihan raya," tegasnya dan menambah, prinsip yang digunakan SPR dalam membuat persempadanan semula ialah untuk menyenangkan pengundi.
Abdul Aziz berkata kajian semula persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003, dan mengikut peraturan, persempadanan semula sepatutnya dilaksanakan pada 2011.
"Pada masa itu, SPR takut ia bertembung dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Jadi persempadanan semula ditangguhkan, dan hasil persempadanan semula kali ini hanya boleh digunakan untuk pilihan raya umum akan datang yang selewat-lewatnya diadakan pada 2018," katanya.
Abdul Aziz berkata setelah lebih lapan tahun sudah pasti bilangan pengundi bertambah berikutan pembangunan pesat seperti pembinaan bangunan baharu oleh kerajaan yang boleh dijadikan pusat mengundi selain lebih banyak jalan raya yang dibina, yang akan memudahkan usaha SPR untuk mengecilkan bilangan pengundi.
"Sekarang ada kawasan Parlimen yang mempunyai dua pejabat daerah dan dua pihak berkuasa tempatan (PBT), dan keadaan ini menyusahkan wakil rakyat selain menyusahkan penyelarasan semasa hari mengundi dan pendaftaran pengundi," katanya.
Beliau berkata apa yang dilalukan oleh SPR dalam persempadan semula adalah untuk mendekatkan tempat mengundi untuk para pengundi demi kemudahan mereka.
Yang kedua dalam setiap kawasan mengundi itu mesti ada kemudahan pentadbiran seperti pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, majlis daerah, majlis bandaran dan bandar raya.
"Seberapa daya yang boleh, jumlah pengundi itu mesti lebih kurang sama banyak. Tapi sama banyak pun, SPR tidak boleh samakan jumlah pengundi di bandar dengan luar bandar. Kawasan bandar kepadatan penduduknya tinggi, di kawasan luar bandar kepadatan penduduknya rendah," jelasnya. – Bernama
Nasib ADUN PAS yang digantung akan dimaklumkan esok
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang digantung keahliannya selama setahun akan dimaklumkan keputusan rayuan mereka menjelang esok, kata Majlis Syura Ulama PAS.
Setiausahanya Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, semua ahli majlis sebulat suara bersetuju dengan keputusan yang dibuat namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
"Kita akan hantar surat kepada mereka dulu untuk penghormatan. Lepas tu baru saya akan (umumkan). Surat tu seboleh-bolehnya (dihantar) hari ini atau pun esok.
"Kita bersetuju dengan keputusan yang diambil. Seorang pun tak bercanggah. Semua sebulat suara bersetuju. Keputusannya, kita tengok selepas ini," katanya ketika ditemui di ibu pejabat PAS hari ini.
Majlis Syura mengadakan mesyuarat petang ini bagi menentukan keputusan rayuan Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin yang digantung keahlian bulan lepas kerana menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.
Kedua-dua Saari dan Hasnul menghantar surat rayuan masing-masing pada Isnin, sehari sebelum tarikh tamat yang dibenarkan bagi mengemukakan rayuan.
Pada 11 Oktober lalu, jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama.
Saari sebelum ini dilaporkan berkata surat penggantungan itu diterima melalui pos pada 13 Oktober, namun beliau menerima salinannya melalui emel pada 11 Oktober.
Kedua-dua mereka diberi peluang mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama mengikut perlembagaan parti.
Dalam perkembangan lain, Nik Zawawi diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggelarkan PAS sebagai parti ajaran sesat.
Katanya, kenyataan Tengku Adnan itu tidak berasas dan tidak perlu dipandang serius oleh PAS.
"Kita tak layan. Dia bukan orang penting dalam parti, dalam negara pun tak ada apa. Kita tak akan layan semua orang. Itu ucapan orang yang tidak berasas," katanya.
Tengku Adnan hari ini mendakwa PAS sebuah parti politik yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam.
Katanya, Umno sebaliknya parti yang memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.
"Tidak ada parti seperti Umno, saya hendak beritahu. Kalau kata PAS itu Islam, pada saya, PAS itu parti mengajar ajaran sesat. Parti yang akan memesongkan akidah.
"Berapa surau, masjid yang PAS bangunkan? Yang mereka tahu, pecah belahkan kita. Memesongkan akidah kita.
"Dia yang mulakan sembahyang dua imam, mengatakan sembelihan orang Umno tidak boleh makan, (mengatakan) imam yang digaji Umno tidak sah menikahkan anak kita."
-
Penyiasat MH17 sedia ke lokasi nahas
Pasukan penyiasat kini sedang menunggu masa yang sesuai untuk kembali ke lokasi nahas MH17 di Ukraine bagi meneruskan usaha mencari bahan bukti mengenai insiden berkenaan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pasukan itu sedang menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa di negara itu untuk memasuki lokasi nahas.
"Kita sedang menunggu lampu hijau untuk masuk dalam tempoh seminggu dua ini dan pasukan itu akan mencari baki mayat dan juga barang-barang yang boleh dijadikan bahan bukti bagi melengkapkan siasatan," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Ke-55 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Datuk Dr Tam Weng Wah.
Beliau berkata kerajaan akan berusaha untuk membawa balik kesemua bahan bukti termasuk rangka pesawat jika dibenarkan untuk dibawa pulang bagi tujuan penyiasatan itu.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






