Selasa, 4 November 2014

Anwar sepatutnya memanggil saksi alibinya- Shafie Abdullah

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya memanggil saksi alibinya untuk membuktikan dia tidak berada di unit kondominium apabila dakwaan liwat antara beliau dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan berlaku, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata Anwar, melalui peguam caranya, telah menyenaraikan 13 nama termasuk isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemilik unit kondominium, dua pembantu rumah dan seorang profesor. "Tetapi tidak seorangpun daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menyokong alibinya bahawa dia tidak berada di kondominium pada masa itu. "Mohd Saiful mengemukakan bukti yang kukuh mengenai kehadiran perayu di unit kondominium. Terserah baginya (Anwar) untuk mencabar keterangan Mohd Saiful dengan memanggil saksi-saksi alibinya," kata Muhammad Shafee ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mendengar rayuan akhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. Muhammad Shafee berkata mahkamah boleh membuat kesimpulan yang bertentangan terhadap Anwar kerana gagal memanggil saksi-saksi yang menjadi alibinya. Beliau selanjutnya berhujah bahawa menjadi kewajipan undang-undang untuk ketua pembangkang itu menangkis andaian bahawa dia berada di unit kondominium itu pada hari insiden liwat itu dikatakan berlaku. Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi statutori bagi Anwar untuk memanggil saksi-saksi ini memandangkan pihak pembelaan telah memfailkan notis alibi. Muhammad Shafee juga berhujah bahawa Anwar, ketika memberi keterangan di kandang saksi, berkata alasan untuk dia tidak memanggil saksi-saksi alibi adalah sah dan munasabah tetapi pihak pendakwaan berpendapat bahawa alasan itu tidak masuk akal. Beliau berhujah bahawa Anwar tidak mengemukakan keterangan mengikut versinya mengenai insiden yang dikatakan berlaku pada 26 Jun, 2008 di unit kondominium itu dan terdapat bukti kukuh mengenai kehadiran perayu apabila rakaman CCTV menunjukkan perayu tiba dan meninggalkan tempat itu selepas insiden. Oleh itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa kegagalan Anwar menafikan atau mencabar keterangan pihak pendakwaan membawa pengertian bahawa dia mengaku tentang fakta-fakta yang dikemukakan berdasarkan bukti. "Ini sememangnya, pasti akan menjadi bukti yang kukuh terhadapnya berikutan ketiadaan saksi-saksi alibi ini," kata beliau. Perbicaraan bersambung pada Khamis. Anwar menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Prosiding mendengar rayuan, yang mulanya ditetapkan selama dua hari bermula 28 Okt, telah dilanjutkan kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujah yang panjang lebar. Pihak pembelaan berusaha untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada sabitan atas kesalahan meliwat sementara pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya. Empat orang lagi hakim dalam barisan panel Mahkamah Persekutuan ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Jika rayuan Anwar ditolak, beliau boleh terlucut kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) bagi Permatang Pauh kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut seseorang MP boleh hilang kelayakan jika dihukum penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000. Ini merupakan pertuduhan liwat yang kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, dia didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000. Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar untuk menjalani hukuman selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah. Mahkamah Tinggi telah mensabitkan Anwar atas empat pertuduhan rasuah pada 4 April, 1999. Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara selama hampir enam tahun atas kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept, 2004, apabila Mahkamah Persekutuan, diketuai oleh Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, membatalkan sabitan dan mengetepikan hukuman penjara ke atasnya atas pertuduhan meliwat Azizan, berdasarkan keputusan majoriti 2-1.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan