Selasa, 4 November 2014

Anwar sepatutnya menjalani ujian DNA untuk membuktikan "Lelaki Y" bukan miliknya

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menjalani ujian DNA untuk membuktikan bahawa profil tidak dikenali 'Lelaki Y' yang ditemui dalam dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan miliknya, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa. Pendakwa Raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan tidak pernah menjelaskan mengapa sampel air mani Anwar ditemui dalam dubur Mohd Saiful. "Dia sepatutnya bersedia menjalani ujian DNAnya sendiri jika air mani itu bukan miliknya. Dia boleh melakukan ujian DNA itu secara diam-diam di Australia atau Eropah," katanya ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengar rayuan akhir Anwar terhadap sabit kesalahan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat. Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata Anwar boleh menyerahkan hasil ujian DNAnya di peringkat Mahkamah Tinggi sebagai bahan bukti tambahan pihak pembelaan. Mahkamah Rayuan telah mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Anwar menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan. Prosiding mendengar rayuan, yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari bermula 28 Okt, telah dilanjutkan kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujahan yang panjang lebar. Pihak pembelaan berusaha untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada pensabitan kerana kesalahan meliwat sementara pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan pensabitan dan hukuman penjara ke atasnya. Empat lagi hakim yang bersidang dalam barisan panel hakim Mahkamah Persekutuan itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Bagi menyanggah dakwaan Anwar bahawa tuduhan liwat itu ialah berupa satu konspirasi, Muhammad Shafee berhujah bahawa ia dakwaan semata-mata kerana langsung tidak logik dan sukar untuk mempercayainya. Mengenai calitan tinggi rektal yang diambil dari bahagian intim Mohd Saiful Bukhari yang menunjukkan kehadiran DNA Anwar, Muhammad Shafee berkata "Bagaimana DNA perayu boleh berada di situ pada kedalaman 4 sm (dalam rektum pengadu) dan ia sepatutnya dijawab oleh perayu." Beliau juga mempersoalkan mengapa air mani Anwar dijumpai pada seluar dalam Mohd Saiful Bukhari berwarna kelabu yang dipakai oleh pengadu pada hari dia diperiksa seorang doktor Pusrawi dan semasa membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, dua hari selepas insiden liwat itu didakwa berlaku. Ketua pendakwaan itu juga mempertikaikan hujah pihak pembelaan bahawa calitan kapas yang diambil dari bahagian intim Mohd Saiful berada dalam "keadaan tidak tercemar" selepas 56 jam insiden itu berlaku sebelum ia sampai di jabatan kimia. Beliau meneruskan hujahnya bahawa pihak pendakwaan tidak pernah berkata sampel itu berada dalam keadaan tidak tercemar tetapi perkataan itu terkandung dalam keterangan pakar asing Dr Brian McDonald yang menjadi saksi pihak pembelaan. Muhammad Shafee juga berhujah bahawa sebuah mahkamah di Australia telah memutuskan bahawa walaupun McDonald ialah seorang pakar mengenai DNA, kenyataan dan keterangannya tidak boleh menjadi asas sandaran. "Malah Mahkamah Rayuan ketika menyabitkan perayu, dalam penghakimannya menyatakan bahawa keterangan McDonald sebagai 'pakar yang hanya pandai berteori'" kata beliau. Beliau juga menarik perhatian kepada satu kes pembunuhan di Australia apabila sampel DNA diambil selepas lebih 13 tahun tetapi DNA masih boleh dibaca dan pelakunya telah disabitkan kesalahan. Muhammad Shafee berkata ahli kimia Dr Seah Lay Hong, dalam keterangannya, tidak berkata bahawa sampel berada dalam keadaan tidak tercemar tetapi bacaan DNA adalah cukup baik. "Ahli kimia itu dapat membaca DNA dan kemerosotan sampel itu tidak harus dipersoalkan," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan