Ahad, 2 November 2014

Nasib ADUN PAS yang digantung akan dimaklumkan esok

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang digantung keahliannya selama setahun akan dimaklumkan keputusan rayuan mereka menjelang esok, kata Majlis Syura Ulama PAS. Setiausahanya Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, semua ahli majlis sebulat suara bersetuju dengan keputusan yang dibuat namun enggan mendedahkan butiran lanjut. "Kita akan hantar surat kepada mereka dulu untuk penghormatan. Lepas tu baru saya akan (umumkan). Surat tu seboleh-bolehnya (dihantar) hari ini atau pun esok. "Kita bersetuju dengan keputusan yang diambil. Seorang pun tak bercanggah. Semua sebulat suara bersetuju. Keputusannya, kita tengok selepas ini," katanya ketika ditemui di ibu pejabat PAS hari ini. Majlis Syura mengadakan mesyuarat petang ini bagi menentukan keputusan rayuan Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin yang digantung keahlian bulan lepas kerana menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor. Kedua-dua Saari dan Hasnul menghantar surat rayuan masing-masing pada Isnin, sehari sebelum tarikh tamat yang dibenarkan bagi mengemukakan rayuan. Pada 11 Oktober lalu, jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama. Saari sebelum ini dilaporkan berkata surat penggantungan itu diterima melalui pos pada 13 Oktober, namun beliau menerima salinannya melalui emel pada 11 Oktober. Kedua-dua mereka diberi peluang mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama mengikut perlembagaan parti. Dalam perkembangan lain, Nik Zawawi diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggelarkan PAS sebagai parti ajaran sesat. Katanya, kenyataan Tengku Adnan itu tidak berasas dan tidak perlu dipandang serius oleh PAS. "Kita tak layan. Dia bukan orang penting dalam parti, dalam negara pun tak ada apa. Kita tak akan layan semua orang. Itu ucapan orang yang tidak berasas," katanya. Tengku Adnan hari ini mendakwa PAS sebuah parti politik yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam. Katanya, Umno sebaliknya parti yang memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara. "Tidak ada parti seperti Umno, saya hendak beritahu. Kalau kata PAS itu Islam, pada saya, PAS itu parti mengajar ajaran sesat. Parti yang akan memesongkan akidah. "Berapa surau, masjid yang PAS bangunkan? Yang mereka tahu, pecah belahkan kita. Memesongkan akidah kita. "Dia yang mulakan sembahyang dua imam, mengatakan sembelihan orang Umno tidak boleh makan, (mengatakan) imam yang digaji Umno tidak sah menikahkan anak kita." -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan