Rabu, 5 November 2014
ZAM larang pegawai Khairy masuk cafe Zam News Room& Cafe
Kerana mengkritik layanan dan makanan di cafenya, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainudin Maidin melarang pegawai khas Khairy Jamaludin, Zeifry Ibrahim dari memasuki cafe itu buat selama-lamanya.
Melalui blognya, Zainudin yang lebih dikenali dengan nama Zam itu berkata, larangan itu dilakukan agar cafenya tidak lagi tercemar.
"Supaya cafe saya tidak lagi tercemar, maka adalah lebih baik bagi saya untuk mengharamkan Pegawai Khas Khairy Jamaluddin ini dari memasuki cafe ini buat selama-lamanya," tulis Zam menerusi blognya Zamkata.
Menurut Zainudin, oleh kerana tidak diberikan layanan istimewa, Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan itu memburukan Zam News Room Cafe @ Ayer 8 Presint 8, Putrajaya yang dikunjunginnya pada suatu pagi.
Pegawai itu Zeifry menulis di akaun Facebooknya sebelum ini: "Nama sampaoii, makanan hampehhh. Customer tanya – jawapan 'Ini cara masak kita macam ini'."
Beliau kemudian meninggalkan cafe Zainudin itu dan mengkritik serta menyiarkan gambar makanan yang tidak habis dimakannya di Facebooknya.
Puncanya ialah apabila dia masuk bersama dengan tiga orang teman wanitanya dan duduk di sebuah meja, pembantu cafe memberitahunya makanan dan bayaran perlu dipesan di kaunter kerana ini cafe layan diri, kata Zainudin.
"Selepas makanan dihidangkan, dia komplain kerana nasi tomato hanya ada sejenis kuah dan sejenis lauk sahaja dan dia diberitahu 'itulah cara kami, tidak banyak lauk kerana bukan sebuah restoran tetapi hanya cafe,'" tulis Zainudin.
Berikutan dengan itu, kata Zainudin, Zeifry mengambil keputusan untuk tidak menghabiskan makanannya, mengambil gambar, meninggalkan cafe dan kemudian mengutuk cafe ini dalam Facebooknya di samping menyiarkan gambar makanan yang tidak dihabiskannya.
Menurut tulisan dalam blognya itu, Zam Newsroom Cafe kepunyaan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Zainuddin hanya menyediakan makanan yang ringkas seperti nasi lemak, nasi tomato, sandwich, lasagna, spagheti selain dari minuman.
Sejak dibuka pada 1 Januari, 2014, cafe ini dikunjungi oleh berbagai peringkat rakyat, tulis Zainudin.
Dari rakyat biasa, ahli sukan, penunggang basikal, pejalan kaki, para seniman, ketua-ketua pengarang akhbar, penulis, blogers dan juga pemimpin politik, pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh perniagaan.
"Diantara mereka yang paling awal mengunjungi cafe ini ialah bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar, Menteri Pelajaran II Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Raja Arif Raja Ali, Ketua Biro Tata Negara, Datuk Seri Alli Kawi, bekas Ketua Cawangan Khas Sarawak, Datuk Che Mat Che Ali, Pengerui Pusat Pungutan Zakat," tulsinya.
"Pada keseluruhannya mereka tidak pernah membuat teguran yang bersifat menghina, marah atau kecaman sebaliknya memberi beberapa syor tertentu kepada pembantu cafe ini Zamani.
"Setelah menimbang dari semua aspek, maka saya rasa tidak sewajarnya saya mengambil tindakan undang-undang terhadap Pegawai Khas Khairy Jamaluddin ini sebaliknya; lebih baik untuk dikemukakan sebagai suatu contoh seorang Pegawai Menteri yang tidak memahami inspirasi Perdana Meneri dan Timbalan Perdana Menteri supaya pendokong kerajaan berubah sikap untuk menawan hati rakyat.
"Inlah contoh pegawai yang mencemarkan nama menteri dan kerajaan," katanya.Sumber: Themalaysianinsider.
Malaysia Belanda berkerjasama bawa mereka bertanggungjawab nahas MH17 ke muka pengadilan
Malaysia dan Belanda berjanji untuk terus sama-sama bekerja rapat bagi membawa mereka yang bertanggungjawab dalam nahas Penerbangan MH17 ke muka pengadilan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia adalah komitmen yang dipersetujui kedua-dua kerajaan dan kini adalah masa untuk memastikan ia tercapai.
"Kita boleh bergantung kepada Mark Rutte atas persahabatan dan kerjasama beliau. Kita menanti-nanti untuk bekerja bersama-sama dan mencari apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat itu tanpa sebarang keraguan, dan apa yang lebih penting siapa bertanggungjawab atas kejadian tersebut," katanya dalam ucapan pada sesi khas dengan pasukan penyiasat Malaysia yang terlibat dengan operasi MH17 di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Belanda Mark Rutte.
Najib juga mengucapkan terima kasih kepada Rutte dan kerajaan Belanda atas sokongan dan peranan pemimpin mereka dalam memastikan mangsa nahas MH17 itu dibawa balik kepada keluarga mereka.
Perdana Menteri menyatakan bahawa ada hikmahnya di sebalik tragedi itu di mana negara-negara yang terjejas menjadi lebih rapat.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat itu turut membawa 193 warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia di kalangan penumpang. Semua mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa telah dikenal pasti.
Sementara itu, Rutte berkata kedua-dua negara dan Australia telah 'bekerjasama begitu baik' dan berharap kerjasama itu akan berterusan untuk bulan-bulan atau tahun akan datang untuk mencari punca kejadian itu.
Beliau menegaskan bahawa terdapat sembilan mangsa yang masih belum dikenal pasti.
"Kami ingin mendapatkan bilangan itu menjadi 298. Kami berharap kami boleh mendapatkannya dan kami akan melakukan yang terbaik," katanya.
Rutte juga menyatakan semua orang yang terjejas dengan nahas MH17 tidak akan lupa apa yang telah berlaku, namun berharap mereka akan terus mewujudkan hubungan yang lebih kukuh bersama-sama.
"Saya melihat ramai orang di sini yang telah membantu dalam minggu pertama dan selepas itu untuk melakukan apa yang diperlukan untuk membawa balik sisa-sisa dan barangan peribadi, untuk bermula dengan mencari siapa di belakang (kejadian) ini dan membawa mereka ke muka pengadilan," kata beliau dalam ucapannya.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan pegawai-pegawai lain.
Program Rakan Muda dirombak semula- Khairy
Kementerian Belia dan Sukan akan merombak semula Program Rakan Muda bagi melahirkan potensi tertinggi generasi muda yang serba boleh supaya berupaya mendukung matlamat pembangunan sukan negara.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata program Rakan Muda antara program kementerian yang begitu popular satu ketika dahulu, perlu diberi nafas baharu, bagi mengisi jiwa belia dengan nilai-nilai pembangunan minda, kemahiran, rohani, kemasyarakatan dan kecergasan fizikal.
"Kita akan melihat banyak program kepimpinan seperti Rakan Muda, Program Latihan Khidmat Negara perlu ditambah baik supaya menjadi relevan dengan belia dan remaja hari ini," katanya kepada soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Marcus ingin tahu sama ada kementerian akan membuat perancangan untuk melaksanakan program Fit Rohani dan Fit Jasmani secara menyeluruh bagi melahirkan generasi muda mencintai negara secara inklusif.
Justeru, Khairy berkata program transformasi belia merupakan antara agenda utama yang diutarakan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara semalam bagi memastikan masyarakat Malaysia tidak hanya 'fit' kepada fizikal tetapi turut bersiap siaga dari segi mental, rohani dan jasmani.
Kepada soalan asal Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang), Khairy menjemput semua anggota Parlimen tanpa mengira latar belakang politik untuk menyertai serta menggerakkan program Fit Malaysia (Malaysia Cergas) di kawasan masing-masing bagi menjayakan visi beliau untuk menjadikan warga Malaysia cergas bersukan.
Kepada soalan tambahan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling), Khairy berkata program Fit Malaysia akan diperluas ke kawasan luar bandar sebagai usaha mencari bakat baharu kalangan golongan muda dalam bidang sukan.
"Bukan sekadar anak-anak luar bandar adalah obese, tetapi kita juga perlu memberi ruang dan peluang untuk mencari bakat sukan yang bakal mewakili negara di peringkat tertinggi antarabangsa," katanya.
Pada masa sama, isu saiz badan turut mendapat perhatian pada persidangan Dewan Rakyat, apabila Abdul Azeez turut bersetuju cadangan anggota Parlimen Serdang itu untuk menyediakan kemudahan bersenam bagi anggota Parlimen.
"Yang Dipertua, sebelum saya menjadi anggota Parlimen, saya lebih kurang saiz badan macam Menteri Belia dan Sukan. Selepas jadi anggota Parlimen, duduk di sini tanpa senaman, perut dah membesar dan semua dah besar. Saya harap menteri fikir kaedah sesuai untuk menempatkan kemudahan gym di sini," katanya.
Sebelum Khairy menjawab, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencelah, sambil memberitahu Abdul Azeez: "Sebelum saya jadi Speaker, saya tidak ada darah tinggi. Jadi, ini perlu diambil kira dalam kesihatan," sambil mendapat tepukan dan sorakan anggota Parlimen yang lain.
Khairy pula yang mendedahkan bahawa anggota Parlimen Baling, yang dikenali sejak 15 tahun dahulu, tidak pernah memiliki badan seperti beliau, berkata kemudahan gym merupakan antara yang akan dimasukkan dalam rancangan penambahbaikan Bangunan Parlimen pada masa akan datang.BERNAMA
Selasa, 4 November 2014
1MDB boleh bina rumah di Air Hitam- LIm Guan Eng
1Malaysia Development Bhd (1MDB) hanya boleh membina rumah mampu milik di tanah seluas 94 hektar yang dibelinya di Air Itam, Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata rancangan 1MDB yang diumumkan selepas membeli tanah itu adalah untuk membina 9,999 unit rumah kos rendah dan rumah mampu milik.
"Saya beri amaran kepada 1MDB bahawa kami tidak akan membenarkannya membina selain daripada rumah mampu milik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Guan Eng berkata 1MDB juga tidak akan dibenarkan memindah mereka yang menduduki tanah itu, tanpa dibayar pampasan sewajarnya.
Bagaimanapun, kata Lim setakat ini 1MDB tidak memohon kelulusan perancangan bagi sebarang projek di tanah itu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berita bulan lepas bahawa selain membina rumah kos rendah dan rumah mampu milik, 1MDB juga bercadang menggunakan tanah itu bagi tujuan pembangunan lain untuk menjana nilai lebih tinggi bagi tanah yang dibelinya.
1MDB membeli tanah itu pada harga RM1.38 bilion dan berjanji membina 9,999 unit rumah mampu milik.
Sementara itu, setiausaha politik Lim, Wong Hon Wai, yang turut hadir, mengulangi bahawa kerajaan negeri tidak melabur atau memiliki sebarang saham dalam Wet World Wild (WWW) Adventure Park di Batu Ferringhi.
Katanya projek itu merupakan inisiatif persendirian dan kerajaan negeri hanya memainkan peranannya sebagai pemudah cara untuk syarikat terbabit membina taman berkenaan.
WWW Adventure Park ditutup bulan lepas, hanya 10 bulan selepas ia dibuka berikutan ombak kuat pada fasa awal 'super-moon' bulan lepas, yang menyebabkan beberapa struktur dan peralatan taman itu dihanyutkan ke pantai dan ditimbusi pasir di pantai Batu Ferringhi.
Najib akan bertukar pandangan dengan PM Belanda mengenai perkembangan MH17
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte dijangka bertukar-tukar pandangan dan maklumat tentang perkembangan terkini berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh sempena lawatan rasmi sehari Rutte ke Malaysia pada Rabu.
Kementerian Luar dalam kenyataannya pada Selasa berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan pegawai Malaysia yang terlibat dengan penyiasatan nahas itu selepas pertemuan mereka.
Perdana Menteri akan menyambut ketibaan Rutte di Putrajaya pada Rabu dalam lawatan bagi membalas kunjungan Najib ke Belanda pada Julai.
Dalam kunjungan pertamanya ke Malaysia itu, Rutte akan diiringi para pegawai kanan Kementerian Luar Belanda.
Penerbangan MH17 terhempas di selatan Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat malang itu membawa 193 rakyat Belanda dan 44 rakyat Malaysia. Semua rakyat negara ini yang menjadi mangsa, telah dikenal pasti.
Kenyataan itu berkata lawatan Rutte memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pendapat tentang perkara dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Lawatan itu juga dijangka meningkatkan hubungan baik dua hala sedia ada antara Malaysia dan Belanda, kata kenyataan itu.BERNAMA
Anwar sepatutnya menjalani ujian DNA untuk membuktikan "Lelaki Y" bukan miliknya
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menjalani ujian DNA untuk membuktikan bahawa profil tidak dikenali 'Lelaki Y' yang ditemui dalam dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan miliknya, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa.
Pendakwa Raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan tidak pernah menjelaskan mengapa sampel air mani Anwar ditemui dalam dubur Mohd Saiful.
"Dia sepatutnya bersedia menjalani ujian DNAnya sendiri jika air mani itu bukan miliknya. Dia boleh melakukan ujian DNA itu secara diam-diam di Australia atau Eropah," katanya ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengar rayuan akhir Anwar terhadap sabit kesalahan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat.
Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata Anwar boleh menyerahkan hasil ujian DNAnya di peringkat Mahkamah Tinggi sebagai bahan bukti tambahan pihak pembelaan.
Mahkamah Rayuan telah mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Anwar menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding mendengar rayuan, yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari bermula 28 Okt, telah dilanjutkan kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujahan yang panjang lebar.
Pihak pembelaan berusaha untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada pensabitan kerana kesalahan meliwat sementara pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan pensabitan dan hukuman penjara ke atasnya.
Empat lagi hakim yang bersidang dalam barisan panel hakim Mahkamah Persekutuan itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Bagi menyanggah dakwaan Anwar bahawa tuduhan liwat itu ialah berupa satu konspirasi, Muhammad Shafee berhujah bahawa ia dakwaan semata-mata kerana langsung tidak logik dan sukar untuk mempercayainya.
Mengenai calitan tinggi rektal yang diambil dari bahagian intim Mohd Saiful Bukhari yang menunjukkan kehadiran DNA Anwar, Muhammad Shafee berkata "Bagaimana DNA perayu boleh berada di situ pada kedalaman 4 sm (dalam rektum pengadu) dan ia sepatutnya dijawab oleh perayu."
Beliau juga mempersoalkan mengapa air mani Anwar dijumpai pada seluar dalam Mohd Saiful Bukhari berwarna kelabu yang dipakai oleh pengadu pada hari dia diperiksa seorang doktor Pusrawi dan semasa membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, dua hari selepas insiden liwat itu didakwa berlaku.
Ketua pendakwaan itu juga mempertikaikan hujah pihak pembelaan bahawa calitan kapas yang diambil dari bahagian intim Mohd Saiful berada dalam "keadaan tidak tercemar" selepas 56 jam insiden itu berlaku sebelum ia sampai di jabatan kimia.
Beliau meneruskan hujahnya bahawa pihak pendakwaan tidak pernah berkata sampel itu berada dalam keadaan tidak tercemar tetapi perkataan itu terkandung dalam keterangan pakar asing Dr Brian McDonald yang menjadi saksi pihak pembelaan.
Muhammad Shafee juga berhujah bahawa sebuah mahkamah di Australia telah memutuskan bahawa walaupun McDonald ialah seorang pakar mengenai DNA, kenyataan dan keterangannya tidak boleh menjadi asas sandaran.
"Malah Mahkamah Rayuan ketika menyabitkan perayu, dalam penghakimannya menyatakan bahawa keterangan McDonald sebagai 'pakar yang hanya pandai berteori'" kata beliau.
Beliau juga menarik perhatian kepada satu kes pembunuhan di Australia apabila sampel DNA diambil selepas lebih 13 tahun tetapi DNA masih boleh dibaca dan pelakunya telah disabitkan kesalahan.
Muhammad Shafee berkata ahli kimia Dr Seah Lay Hong, dalam keterangannya, tidak berkata bahawa sampel berada dalam keadaan tidak tercemar tetapi bacaan DNA adalah cukup baik.
"Ahli kimia itu dapat membaca DNA dan kemerosotan sampel itu tidak harus dipersoalkan," kata beliau.
Anwar sepatutnya memanggil saksi alibinya- Shafie Abdullah
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya memanggil saksi alibinya untuk membuktikan dia tidak berada di unit kondominium apabila dakwaan liwat antara beliau dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan berlaku, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata Anwar, melalui peguam caranya, telah menyenaraikan 13 nama termasuk isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemilik unit kondominium, dua pembantu rumah dan seorang profesor.
"Tetapi tidak seorangpun daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menyokong alibinya bahawa dia tidak berada di kondominium pada masa itu.
"Mohd Saiful mengemukakan bukti yang kukuh mengenai kehadiran perayu di unit kondominium. Terserah baginya (Anwar) untuk mencabar keterangan Mohd Saiful dengan memanggil saksi-saksi alibinya," kata Muhammad Shafee ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mendengar rayuan akhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Muhammad Shafee berkata mahkamah boleh membuat kesimpulan yang bertentangan terhadap Anwar kerana gagal memanggil saksi-saksi yang menjadi alibinya.
Beliau selanjutnya berhujah bahawa menjadi kewajipan undang-undang untuk ketua pembangkang itu menangkis andaian bahawa dia berada di unit kondominium itu pada hari insiden liwat itu dikatakan berlaku.
Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi statutori bagi Anwar untuk memanggil saksi-saksi ini memandangkan pihak pembelaan telah memfailkan notis alibi.
Muhammad Shafee juga berhujah bahawa Anwar, ketika memberi keterangan di kandang saksi, berkata alasan untuk dia tidak memanggil saksi-saksi alibi adalah sah dan munasabah tetapi pihak pendakwaan berpendapat bahawa alasan itu tidak masuk akal.
Beliau berhujah bahawa Anwar tidak mengemukakan keterangan mengikut versinya mengenai insiden yang dikatakan berlaku pada 26 Jun, 2008 di unit kondominium itu dan terdapat bukti kukuh mengenai kehadiran perayu apabila rakaman CCTV menunjukkan perayu tiba dan meninggalkan tempat itu selepas insiden.
Oleh itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa kegagalan Anwar menafikan atau mencabar keterangan pihak pendakwaan membawa pengertian bahawa dia mengaku tentang fakta-fakta yang dikemukakan berdasarkan bukti.
"Ini sememangnya, pasti akan menjadi bukti yang kukuh terhadapnya berikutan ketiadaan saksi-saksi alibi ini," kata beliau.
Perbicaraan bersambung pada Khamis.
Anwar menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Prosiding mendengar rayuan, yang mulanya ditetapkan selama dua hari bermula 28 Okt, telah dilanjutkan kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujah yang panjang lebar.
Pihak pembelaan berusaha untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada sabitan atas kesalahan meliwat sementara pihak pendakwaan mahu mahkamah menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya.
Empat orang lagi hakim dalam barisan panel Mahkamah Persekutuan ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Jika rayuan Anwar ditolak, beliau boleh terlucut kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) bagi Permatang Pauh kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut seseorang MP boleh hilang kelayakan jika dihukum penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.
Ini merupakan pertuduhan liwat yang kedua terhadap Anwar.
Dalam kes pertama, dia didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar untuk menjalani hukuman selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah. Mahkamah Tinggi telah mensabitkan Anwar atas empat pertuduhan rasuah pada 4 April, 1999.
Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara selama hampir enam tahun atas kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept, 2004, apabila Mahkamah Persekutuan, diketuai oleh Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, membatalkan sabitan dan mengetepikan hukuman penjara ke atasnya atas pertuduhan meliwat Azizan, berdasarkan keputusan majoriti 2-1.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






