Rabu, 5 November 2014

Malaysia Belanda berkerjasama bawa mereka bertanggungjawab nahas MH17 ke muka pengadilan

Malaysia dan Belanda berjanji untuk terus sama-sama bekerja rapat bagi membawa mereka yang bertanggungjawab dalam nahas Penerbangan MH17 ke muka pengadilan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia adalah komitmen yang dipersetujui kedua-dua kerajaan dan kini adalah masa untuk memastikan ia tercapai. "Kita boleh bergantung kepada Mark Rutte atas persahabatan dan kerjasama beliau. Kita menanti-nanti untuk bekerja bersama-sama dan mencari apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat itu tanpa sebarang keraguan, dan apa yang lebih penting siapa bertanggungjawab atas kejadian tersebut," katanya dalam ucapan pada sesi khas dengan pasukan penyiasat Malaysia yang terlibat dengan operasi MH17 di sini hari ini. Turut hadir Perdana Menteri Belanda Mark Rutte. Najib juga mengucapkan terima kasih kepada Rutte dan kerajaan Belanda atas sokongan dan peranan pemimpin mereka dalam memastikan mangsa nahas MH17 itu dibawa balik kepada keluarga mereka. Perdana Menteri menyatakan bahawa ada hikmahnya di sebalik tragedi itu di mana negara-negara yang terjejas menjadi lebih rapat. Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat itu turut membawa 193 warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia di kalangan penumpang. Semua mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa telah dikenal pasti. Sementara itu, Rutte berkata kedua-dua negara dan Australia telah 'bekerjasama begitu baik' dan berharap kerjasama itu akan berterusan untuk bulan-bulan atau tahun akan datang untuk mencari punca kejadian itu. Beliau menegaskan bahawa terdapat sembilan mangsa yang masih belum dikenal pasti. "Kami ingin mendapatkan bilangan itu menjadi 298. Kami berharap kami boleh mendapatkannya dan kami akan melakukan yang terbaik," katanya. Rutte juga menyatakan semua orang yang terjejas dengan nahas MH17 tidak akan lupa apa yang telah berlaku, namun berharap mereka akan terus mewujudkan hubungan yang lebih kukuh bersama-sama. "Saya melihat ramai orang di sini yang telah membantu dalam minggu pertama dan selepas itu untuk melakukan apa yang diperlukan untuk membawa balik sisa-sisa dan barangan peribadi, untuk bermula dengan mencari siapa di belakang (kejadian) ini dan membawa mereka ke muka pengadilan," kata beliau dalam ucapannya. Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan pegawai-pegawai lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan