Rabu, 5 November 2014

Program Rakan Muda dirombak semula- Khairy

Kementerian Belia dan Sukan akan merombak semula Program Rakan Muda bagi melahirkan potensi tertinggi generasi muda yang serba boleh supaya berupaya mendukung matlamat pembangunan sukan negara. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata program Rakan Muda antara program kementerian yang begitu popular satu ketika dahulu, perlu diberi nafas baharu, bagi mengisi jiwa belia dengan nilai-nilai pembangunan minda, kemahiran, rohani, kemasyarakatan dan kecergasan fizikal. "Kita akan melihat banyak program kepimpinan seperti Rakan Muda, Program Latihan Khidmat Negara perlu ditambah baik supaya menjadi relevan dengan belia dan remaja hari ini," katanya kepada soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu. Marcus ingin tahu sama ada kementerian akan membuat perancangan untuk melaksanakan program Fit Rohani dan Fit Jasmani secara menyeluruh bagi melahirkan generasi muda mencintai negara secara inklusif. Justeru, Khairy berkata program transformasi belia merupakan antara agenda utama yang diutarakan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara semalam bagi memastikan masyarakat Malaysia tidak hanya 'fit' kepada fizikal tetapi turut bersiap siaga dari segi mental, rohani dan jasmani. Kepada soalan asal Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang), Khairy menjemput semua anggota Parlimen tanpa mengira latar belakang politik untuk menyertai serta menggerakkan program Fit Malaysia (Malaysia Cergas) di kawasan masing-masing bagi menjayakan visi beliau untuk menjadikan warga Malaysia cergas bersukan. Kepada soalan tambahan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling), Khairy berkata program Fit Malaysia akan diperluas ke kawasan luar bandar sebagai usaha mencari bakat baharu kalangan golongan muda dalam bidang sukan. "Bukan sekadar anak-anak luar bandar adalah obese, tetapi kita juga perlu memberi ruang dan peluang untuk mencari bakat sukan yang bakal mewakili negara di peringkat tertinggi antarabangsa," katanya. Pada masa sama, isu saiz badan turut mendapat perhatian pada persidangan Dewan Rakyat, apabila Abdul Azeez turut bersetuju cadangan anggota Parlimen Serdang itu untuk menyediakan kemudahan bersenam bagi anggota Parlimen. "Yang Dipertua, sebelum saya menjadi anggota Parlimen, saya lebih kurang saiz badan macam Menteri Belia dan Sukan. Selepas jadi anggota Parlimen, duduk di sini tanpa senaman, perut dah membesar dan semua dah besar. Saya harap menteri fikir kaedah sesuai untuk menempatkan kemudahan gym di sini," katanya. Sebelum Khairy menjawab, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencelah, sambil memberitahu Abdul Azeez: "Sebelum saya jadi Speaker, saya tidak ada darah tinggi. Jadi, ini perlu diambil kira dalam kesihatan," sambil mendapat tepukan dan sorakan anggota Parlimen yang lain. Khairy pula yang mendedahkan bahawa anggota Parlimen Baling, yang dikenali sejak 15 tahun dahulu, tidak pernah memiliki badan seperti beliau, berkata kemudahan gym merupakan antara yang akan dimasukkan dalam rancangan penambahbaikan Bangunan Parlimen pada masa akan datang.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan