Sabtu, 15 November 2014

Shahril Pengerusi Institut Penyelidikan dan Pemikir Umno Johor

Ketua Umno Bahagian Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai pengerusi institut penyelidikan dan pemikir yang ditubuhkan Umno Johor. Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkan perkara itu berkata, institut itu diyakini dapat memberi manfaat kepada orang Melayu supaya tidak terus ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini. "Penubuhan institut yang diumumkan pada Konvensyen Umno Johor ini akan melakukan penyelidikan terhadap isu-isu sedia ada. Hasil daripada itu, ia akan dibawa ke 26 bahagian Umno di negeri ini bagi mendapatkan input atau cadangan dan kemudian dirumus untuk dikemukakan kepada parti serta kerajaan," katanya. Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata demikian kepada pemberita pada penutupan Konvensyen Umno Johor, di sini, Sabtu. Beliau berkata, antara isu yang akan diberi penekanan oleh institut berkenaan termasuk mengupayakan orang Melayu supaya lebih berkebolehan dalam pelbagai bidang terutamanya sektor ekonomi. Sementara itu, Shahrir berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengkaji dasar-dasar awam, menguatkan kedudukan ekonomi, pendidikan, peranan orang Melayu dan Umno ke arah lebih hadapan.-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan