Sabtu, 15 November 2014

Rumah terbuka Pemuda UMNO dijadikan acara tahunan

Acara Rumah Terbuka Pemuda UMNO yang julung kali diadakan hari ini di Dewan Tun Razak, PWTC bakal dijadikan acara tahunan setiap kali menjelangnya perhimpunan Agung UMNO, demikian kata Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin. Menurut beliau, program ini dilihat dapat menjadi medan untuk mendekati anak muda serta memperjelaskan dasar kerajaan yang dapat membantu golongan muda. “Program rumah terbuka Pemuda UMNO ini sempena dengan perhimpunan Agung UMNO dan kita harap ia dapat dijadikan amalan tahunan untuk menarik golongan muda serta menjadikan program ini lebih menepati kehendak dan inspirasi anak muda di negara ini. “Bagi saya ini merupakan satu permulaan yang baik dan insya-Allah pada tahun-tahun yang akan datang, kita akan cuba menjadikan program rumah terbuka Pemuda UMNO ini lebih menarik dan dapat menarik anak muda khususnya bukan di kalangan ahli UMNO untuk turut serta,” jelas beliau kepada pemberita di sini hari ini. Tambah beliau lagi, sesi dialog yang dipanggil ‘town hall meeting’ akan ditambah baik lagi agar segala isu-isu yang diperbahaskan itu lebih fokus dan lebih menepati realiti dan keadaan sebenar permasalahan yang dihadapi oleh anak muda di negara ini. “Insya-Allah pada masa yang akan datang, saya berharap agar program rumah terbuka Pemuda UMNO ini akan dapat menarik anak-anak muda yang bukan di kalangan ahli UMNO agar kita dapat memberikan input serta penjelasan berhubung isu-isu semasa dan juga dasar-dasar kerajaan yang boleh membantu mereka, sebagai contoh isu perumahan dan sebagainya. “Dalam usaha ke arah itu maka program ini turut menyediakan beberapa gerai bagi agensi kerajaan seperti SPNB, PR1MA dan sebagainya di mana anak-anak muda boleh mendapat maklumat dan informasi secara terus daripada agensi-agensi terbabit,” jelasnya.-MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan