Sabtu, 15 November 2014

Semua pihak harus menghormati Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan-JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu semua pihak menghormati Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menghalang mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, kegagalan mematuhi peruntukan berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat apabila sesuatu keputusan mahkamah dibuat. "Peruntukan mengenai perkara ini sudah jelas.... sudah ada dan mahkamah lain tidak boleh membincang atau membicarakan hal berkaitan hukum syarak. Namun, oleh kerana ia sudah dimohon, kita tunggulah rayuan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains). "Seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kata sebelum ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dari negeri lain akan mencelah dalam prosiding rayuan itu nanti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ihtifal Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Peringkat Kebangsaan di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan