Sabtu, 15 November 2014

Hasil dari minyak dan gas untuk rakyat Sabah akan meningkat- PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa hasil yang bakal diperoleh rakyat Sabah daripada industri minyak dan gas di negeri ini akan terus meningkat pada masa akan datang. Najib berkata pada masa ini, selain royalti minyak lima peratus, Sabah juga telah diberi kepentingan 10 peratus dalam Petronas LNG Train 9 Sdn Bhd, di Bintulu, Sarawak, yang akan memberi hasil tambahan kepada Sabah dan rakyatnya. "Sebab itu saya kata, kita boleh minta tetapi kita rundingkan perkara ini, dan kita ada formula supaya Sabah dapat terima lebih daripada hasil minyak dan gas. Perkara ini telah diperjelaskan oleh (Ketua Menteri Sabah) Datuk Musa Aman," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di sini Sabtu. Menurut Najib walaupun permintaan untuk menambah peratus royalti daripada lima peratus sekarang kepada Sabah belum tertunai, namun pemberian kepentingan dalam projek Petronas di Bintulu itu sudah memenuhi matlamat meningkatkan hasil untuk Sabah daripada sumber minyak dan gas walaupun menerusi cara yang berbeza. Katanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Petronas, beliau akan memastikan Sabah mendapat hasil yang lebih daripada sumber minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri berkenaan. Najib berkata keputusan kerajaan pusat memberi kepentingan kepada Sabah dalam projek LNG Petronas di Bintulu itu membuktikan wujudnya semangat muafakat dan prinsip setia kawan yang diamalkan antara kerajaan persekutuan dan negeri serta dalam kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN). Menurut Najib apa pun permasalahan dan cabaran yang dihadapi, akan dapat diatasi dengan syarat wujud permuafakatan dan prinsip setia kawan kerana menyelesaikan sebarang permasalahan secara bermuafakat lebih mudah berbanding secara bersendirian. Bagaimanapun kata Najib, apa pun tindakan yang ingin diambil perlulah berlandaskan Perlembagaan Negara dan atas prinsip persekutuan kerana negara Malaysia dibentuk atas prinsip berkenaan. Katanya kerajaan persekutuan mempunyai bidang kuasanya sendiri dan demikianlah juga dengan kerajaan negeri, dan untuk memastikan matlamat bersama dapat dicapai, ia perlu melalui perundingan dan saling hormati-menghormati atas bidang kuasa masing-masing. Menurut Najib keputusan kerajaan pusat menubuhkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah juga merupakan hasil permuafakatan dalam kalangan parti-parti komponen BN di Sabah. Katanya Upko memulakan usul berkenaan, disusuli Parti Bersatu Sabah dan dipersetujui Umno Negeri Sabah, yang akhirnya membawa kepada penubuhan suruhanjaya berkenaan walaupun mengambil sedikit masa. Mengenai isu tanah di Sabah, kerajaan persekutuan sebelum ini telah memberi peruntukan berjuta-juta ringgit melalui kerajaan negeri bagi meringankan beban kerajaan negeri untuk menjalankan kerja-kerja menyukat tanah untuk diberikan kepada anak negeri Sabah. Katanya kerajaan sedia memberi pertimbangan untuk memberi peruntukan seterusnya bagi tujuan berkenaan demi kepentingan rakyat Sabah.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan