Sabtu, 15 November 2014

Pemuda Gerakan mahu Saiffudin Abdullah sertai PAS

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mencadangkan Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyertai PAS ekoran kenyataannya 'membela' parti Islam itu. Cadangan itu dilontar Tan, merujuk kepada kenyataan Saifuddin yang tidak bersetuju dengan pendapat beliau bahawa kewujudan PAS di negara ini adalah satu 'masalah'. "Saifuddin harus membuat keputusan... jika dia merasakan PAS adalah baik, maka dia harus menyertai PAS," kata beliau dipetik Astro AWANI. Tan sebelum ini berkata kewujudan PAS di negara ini menjadi masalah dan tidak sesuai berada di Putrajaya berdasarkan apa yang dilihatnya di Kedah dan Kelantan. Beliau mendakwa, cara PAS memerintah dengan 'memaksa' orang ramai menerima mereka. Saifuddin juga bekas Ahli Parlimen Temerloh bagaimanapun menyanggahnya dan mendakwa perjuangan PAS adalah mengikut proses demokrasi di negara ini. Oleh itu katanya, kewujudan parti Islam itu bukanlah satu masalah dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. "Dalam politik kita lawan, tetapi tidak boleh anggap kewujudan PAS sebagai suatu masalah," katanya dipetik portal berita itu lagi. Saifuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) juga mengakui, terdapat ahli PAS yang menerapkan nilai moderat serta terbuka kepada perbincangan. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan