Ahad, 19 Oktober 2014
Ahli Gerakan buat kenyataan rasis boleh dipecat
Ahli dan pemimpin parti Gerakan yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman akan dikenakan hukuman berat termasuk dipecat, kata Presidennya Datuk Mah Siew Keong.
"Jika sesiapa di Gerakan mengeluarkan kenyataan rasis (perkauman), kita akan ambil tindakan termasuk pecat," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar presiden pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-43 di sini, hari ini.
Siew Keong juga mencadangkan parti-parti komponen Barisan Nasional untuk mengambil tindakan serupa bagi memelihara dan mengukuhkan perpaduan rakyat negara ini.
Beliau berkata, tindakan tegas itu perlu memandangkan semakin ramai ahli dan pemimpin politik menyentuh isu perkauman atau ekstremisme keterlaluan sehingga menyinggung perasaan sesetengah pihak.
Kenyataan berbaur perkauman yang keterlaluan juga menyebabkan beliau berhenti melayari internet sebelum tidur sejak tujuh bulan lalu, sedangkan ia merupakan rutin hariannya sebelum ini.
"Saya berhenti daripada melayari internet kerana saya tidak dapat tidur selepas itu. Ia bukan kerana komen negatif atau serangan peribadi ke atas saya kerana sebagai pemimpin sebuah parti politik, saya sudah biasa dengan keadaan itu.
"Namun ia disebabkan apabila saya baca blog atau Facebook, komen yang dibuat generasi muda amat rasis dan ini generasi masa depan kita," katanya sambil menambah jalan penyelesaian terbaik adalah menghentikan keadaan tidak sihat ini. - Bernama
Saya tidak akan layan politik jahat- Dyana Sofya
"Saya berasa marah tetapi saya tidak akan layan politik jahat macam ini," demikian kata bekas calon PRK Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud kepada Sinar Online, hari ini.
Dyana Sofya menegaskan serangan peribadi ke atasnya kali ini adalah kerana beliau seorang wanita yang mudah dibuli seperti mana tuduhan ke atas beliau berpakaian bikini untuk ke parti ketika kempen pilihan raya lalu.
"Hal ini menjijikkan bagaimana mereka tetap menggunakan politik longkang terhadap pembangkang.
"Sebagai seorang wanita, saya sasaran yang mudah. Sebab saya wanita, saya dilihat sebagai mudah dibuli. Saya marah, tetapi saya tak nak layan politik jahat macam ini," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas penyebaran gambar miripnya dan juga Ahli Parlimen Bukit Bendara, Zairil Khir Johari menjadi viral tersebar melalui media sosial WhatsApp dan blog tempatan sejak pagi tadi.
Gambar intim sebanyak sembilan keping itu dalam posisi berpelukan dengan berpakaian secara formal dan santai di beberapa lokasi termasuk kereta dan kawasan umum.
Sementara itu,Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang menyebarkan gambar intim mirip wajahnya dan calon PRK Telok Intan, Dyana Sofya Mohd Daud yang kini menjadi viral dalam media sosial sejak awal pagi ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP juga menafikan sekeras-kerasnya sebagai pelaku dalam gambar itu sambil menyifatkannya sebagai fitnah untuk menjatuhkan kariernya sebagai pemimpin Melayu dalam DAP.
"Saya tak nak komen sangat isu bebal macam ini, cuma hendak cakap politik longkang di Malaysia semakin teruk.
"Bukan kali pertama difitnah atau menjadi mangsa, sudah tiada isu lain hendak main," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Online, hari ini.
Awal pagi tadi, gambar dua mereka menjadi viral apabila ia mula tersebar melalui media sosial WhatsApp dan blog tempatan.
Gambar intim sebanyak sembilan keping itu menunjukkan aksi intim didakwa menyerupai Zairil dan Dyana dalam posisi berpelukan sama ada berpakaian secara formal mahupun tidak formal di beberapa lokasi termasuk kereta dan kawasan umum.
Salah satu blog yang menyebarkan gambar intim itu bagaimanapun mahu dua pemimpin Melayu DAP tersebut tampil menafikan perkara tersebut.
Angkasa sasar 10 koperasi sekolah dapat perolehan RM1 juta mulai tahun depan
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan 10 koperasi sekolah menengah masing-masing dapat menyumbang perolehan RM1 juta pada tahun depan.
Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata koperasi sekolah itu yang berada di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan kini menjana keuntungan sehingga RM750,000 setahun dalam perniagaan barangan keperluan sekolah terutama alat tulis.
Dengan pendapatan sebanyak itu, katanya koperasi sekolah itu mempunyai potensi untuk menjana lebih banyak keuntungan menerusi perniagaan atau menyediakan perkhidmatan lain.
"Sehingga kini, kira-kira 2 juta anggota koperasi sekolah berbelanja sekurang-kurangnya RM300 untuk pembelian peralatan sekolah setiap kali musim sekolah bermula.
"Jika koperasi membekalkan pakaian sekolah, membuat perkhidmatan pembersihan di kawasan sekolah atau membekalkan barangan kepada kantin sekolah, ia pasti mengaut keuntungan berlipat kali ganda," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Transformasi Koperasi Sekolah di sini, Ahad.
Sehubungan itu, Abdul Fattah berkata pengurusan koperasi sekolah lain perlu melakukan lonjakan dengan memberikan komitmen serius bagi memajukan koperasi masing-masing untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
"Perniagaan koperasi sekolah juga mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat kerana mereka boleh menjual brangan dengan harga lebih murah kerana stok dibeli dengan harga pukal berbanding membeli di luar yang dijual mengikut harga pasaran," katanya.
NGO diingatkan bijak mengurus peruntukan untuk golongan sasar-PM Najib
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memastikan peruntukan yang diteimanya daripada kerajaan digunakan secara maksimum untuk melaksanakan projek bagi membantu golongan sasar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata langkah itu boleh menjamin lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada dana yang kerajaan kepada NGO.
"NGO yang berkesan bukan diukur daripada jumlah aktiviti yang laksanakan tetapi laporan yang disampaikan atau hasil yang dicapai. Apa sahaja peruntukan yang diberikan kerajaan, NGO perlu menggunakannya dengan cara yang terbaik.
"NGO yang berkesan beri tumpuan kepada hasil bukan output. Bukan bilangan aktiviti yang dilakukan tetapi hasil yang dicapai," kata beliau pada majlis ulang tahun kelima penubuhan Yayasan myNADI di sini, Ahad.
Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan myNADI Tan Sri Dr Jeyaindran Sinnadurai ketika membentangkan pencapaian lima tahun yayasan itu, berkata hanya enam peratus daripada dana kerajaan digunakannya untuk pentadbiran.
Sebanyak 94 peratus lagi digunakan untuk pelaksanaan pelbagai projek bagi membantu kumpulan sasar seperti membaiki sekolah, kuil dan krematorium, katanya.
Najib menyifatkan myNADI sebagai NGO paling berjaya berdasarkan laporan yang dibentangkan Jeyaindran.
"Kalau semua NGO amal kaedah seperti ini (enam peratus dana untuk pentadbiran dan 94 peratus lagi untuk projek), maka peruntukan diluluskan kerajaan sudah tentu boleh beri manfaat kepada begitu ramai kumpulan sasar dan rakyat Malaysia," katanya.
Dalam tempoh lima tahun lepas, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta kepada Yayasan myNADI dengan lebih 300,000 orang dan 250 NGO mendapat manfaat daripada dana itu melalui 555 projek yang dilaksanakan.
Jumaat, 17 Oktober 2014
Gerakan pilih calon PRU lebih awal
Pemilihan calon Gerakan untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan dibuat sebelum tarikh PRU diumumkan.
Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong (gambar) berkata parti itu akan mengutamakan calon berkaliber dan mempunyai kebolehan meluas bagi memastikan peluang untuk menang pada pilihan raya umum itu nanti lebih cerah.
"Jika kita memilih calon lebih awal, calon itu boleh membuat perancangan berhubung strategi yang boleh digunakan dan guna pengalaman mereka untuk mempengaruhi rakyat.
"Ini kerana sesebuah kawasan memerlukan strategi yang berbeza," katanya semasa merasmikan mesyuarat anggota seumur hidup parti itu di Shah Alam hari ini sempena Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan.
Persidangan tiga hari itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad.
Menurut Mah, langkah itu penting demi kelangsungan Gerakan dalam dunia politik yang semakin mencabar.
"Ini fakta yang perlu kita terima. Sepuluh tahun lalu, kita mempunyai lebih 40 ahli Parlimen (MP), tapi 2008 kita hanya ada dua MP dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan selepas 2013, hanya tinggal satu MP dan tiga Adun," katanya.
Mah turut menekankan pentingnya bekerja keras untuk kepentingan rakyat selain senantiasa mengambil tahu perkembangan dan isu nasional yang menjadi kebimbangan mereka.
"Kita perlu berkhidmat kepada rakyat. Kita tidak boleh menafikan sebuah parti politik tanpa kuasa politik sukar mempunyai pengaruh dalam menangani isu dan memberi pandangan," katanya.
Mah seterusnya mengingatkan perwakilan untuk tidak 'mudah melatah' dengan isu yang dimainkan sesetengah pihak, sebaliknya matang dalam menangani dan menjawab isu itu secara berhemah. – Bernama
Felda memang saman terhadap Wan Azizah
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, hari ini memenangi saman terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) dan dua yang lain berhubung penerbitan dua artikel fitnah dalam akhbar PKR 'Suara Keadilan'.
Ini berikutan pengakuan liabiliti bagi kedua-dua artikel fitnah oleh defendan, iaitu Dr Wan Azizah, Senator Dr Syed Husin Ali, yang ketika itu Naib Presiden PKR, dan penulis artikel tersebut, Rusnizam Mahat.
Artikel itu masing-masing bertajuk 'Felda Bankrap', yang diterbitkan pada 22 Jun 2010, dan 'Kontroversi' serta 'Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu', yang diterbitkan bagi edisi 29 Jun 2010.
Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said berkata mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan Felda, sebagai sebuah badan berkanun, mempunyai hak untuk memulakan prosiding undang-undang.
Beliau berkata hanya Parlimen, dan bukan mahkamah, boleh mengambil hak daripada Felda untuk menyaman, seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Kemajuan Tanah 1956.
Kamaludin membuat keputusan itu selepas menolak isu awal yang dibangkitkan oleh defendan Felda, sebagai pertubuhan yang didaftarkan menurut Akta Kemajuan Tanah, tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu.
Beliau berkata Felda berhak untuk memasukkan pertimbangan berkaitan liabiliti dan memerintahkan kuantum ganti rugi yang akan dinilai oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi.
Pada 16 Ogos, 2010, Felda dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd memfailkan saman RM200 juta terhadap ketiga-tiga defendan dengan mendakwa artikel itu menjejaskan imej mereka.
Plaintif berhujah defendan dengan sengaja menerbitkan artikel untuk menjejaskan kepercayaan dan keyakinan peneroka Felda terhadap agensi itu.
Felda juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan seperti itu dalam media cetak atau Internet.
Agensi itu juga menuntut permohonan maaf secara bertulis daripada defendan yang akan diterbitkan dalam akhbar dan majalah yang akan dikenal pasti oleh plaintif dan kos lain serta relif yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Pada 30 Sept, bekas editor 'Suara Keadilan', Dzulkarnain Taib, yang merupakan seorang daripada defendan, memohon maaf kepada Felda dan anak syarikatnya berhubung penerbitan dua artikel itu.
Beliau menyatakan artikel itu adalah palsu dan diterbitkan oleh 'Suara Keadilan' dengan tujuan untuk memperkecilkan pihak plaintif dan menjejaskan reputasi mereka. – Bernama
-
Tindakan terhadap ahli PAS Johor sertai PasMa
Pas Johor sudah membuat ketetapan melarang ahli-ahlinya menyertai Pasma sepertimana yang diputuskan Majlis Syura Ulama Pas Pusat, sebelum ini.
Pesuruhjayanya, Aminolhuda Hassan berkata, Pas Johor memutuskan mengenai ketetapan larangan itu melalui keputusan yang dibuat pada mesyuarat harian parti itu dua minggu lalu.
"Secara dasarnya Pas Johor melarang ahli-ahli daripada terlibat dengan sebarang penganjuran yang boleh mengelirukan kefahaman dan keyakinan ahli kepada kepimpinan.
"Larangan itu termasuklah dalam aspek ahli Pas Johor menyertai kumpulan Pasma mahupun pertubuhan yang mengelirukan," katanya, semalam.
Menurutnya, larangan itu dibuat bagi memastikan keseluruhan ahli Pas Johor memfokuskan kepada dasar perjuangan parti yang dijunjung selama ini tanpa perlu bercampur aduk dengan agenda lain yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan dalam Pas.
"Bila Majlis Syura Ulama telah memutuskan melarang ahli Pas terlibat dengan Pasma, kita (Pas Johor) akur dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
"Kita sedar rasional keputusan yang dibuat itu adalah demi menjaga dasar perjuangan dan perpaduan dalam parti sendiri," katanya.
Aminolhuda berkata, tindakan tatatertib akan diambil sekiranya terdapat ahli yang terlibat, dan Pas negeri akan mengikut sahaja keputusan Majlis Syura atau pimpinan pusat untuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap mereka.
“Saya berharap agar ahli Pas negeri ini matang pemikirannya, di mana mereka perlu tahu membezakan persatuan atau pertubuhan yang betul atau sebaliknya, sebelum menyertainya," katanya.
Langgan:
Ulasan (Atom)





