Ahad, 19 Oktober 2014

Angkasa sasar 10 koperasi sekolah dapat perolehan RM1 juta mulai tahun depan

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan 10 koperasi sekolah menengah masing-masing dapat menyumbang perolehan RM1 juta pada tahun depan. Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata koperasi sekolah itu yang berada di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan kini menjana keuntungan sehingga RM750,000 setahun dalam perniagaan barangan keperluan sekolah terutama alat tulis. Dengan pendapatan sebanyak itu, katanya koperasi sekolah itu mempunyai potensi untuk menjana lebih banyak keuntungan menerusi perniagaan atau menyediakan perkhidmatan lain. "Sehingga kini, kira-kira 2 juta anggota koperasi sekolah berbelanja sekurang-kurangnya RM300 untuk pembelian peralatan sekolah setiap kali musim sekolah bermula. "Jika koperasi membekalkan pakaian sekolah, membuat perkhidmatan pembersihan di kawasan sekolah atau membekalkan barangan kepada kantin sekolah, ia pasti mengaut keuntungan berlipat kali ganda," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Transformasi Koperasi Sekolah di sini, Ahad. Sehubungan itu, Abdul Fattah berkata pengurusan koperasi sekolah lain perlu melakukan lonjakan dengan memberikan komitmen serius bagi memajukan koperasi masing-masing untuk menyumbang kepada pembangunan negara. "Perniagaan koperasi sekolah juga mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat kerana mereka boleh menjual brangan dengan harga lebih murah kerana stok dibeli dengan harga pukal berbanding membeli di luar yang dijual mengikut harga pasaran," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan