Ahad, 19 Oktober 2014

Ahli Gerakan buat kenyataan rasis boleh dipecat

Ahli dan pemimpin parti Gerakan yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman akan dikenakan hukuman berat termasuk dipecat, kata Presidennya Datuk Mah Siew Keong. "Jika sesiapa di Gerakan mengeluarkan kenyataan rasis (perkauman), kita akan ambil tindakan termasuk pecat," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar presiden pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-43 di sini, hari ini. Siew Keong juga mencadangkan parti-parti komponen Barisan Nasional untuk mengambil tindakan serupa bagi memelihara dan mengukuhkan perpaduan rakyat negara ini. Beliau berkata, tindakan tegas itu perlu memandangkan semakin ramai ahli dan pemimpin politik menyentuh isu perkauman atau ekstremisme keterlaluan sehingga menyinggung perasaan sesetengah pihak. Kenyataan berbaur perkauman yang keterlaluan juga menyebabkan beliau berhenti melayari internet sebelum tidur sejak tujuh bulan lalu, sedangkan ia merupakan rutin hariannya sebelum ini. "Saya berhenti daripada melayari internet kerana saya tidak dapat tidur selepas itu. Ia bukan kerana komen negatif atau serangan peribadi ke atas saya kerana sebagai pemimpin sebuah parti politik, saya sudah biasa dengan keadaan itu. "Namun ia disebabkan apabila saya baca blog atau Facebook, komen yang dibuat generasi muda amat rasis dan ini generasi masa depan kita," katanya sambil menambah jalan penyelesaian terbaik adalah menghentikan keadaan tidak sihat ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan