Ahad, 19 Oktober 2014

NGO diingatkan bijak mengurus peruntukan untuk golongan sasar-PM Najib

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memastikan peruntukan yang diteimanya daripada kerajaan digunakan secara maksimum untuk melaksanakan projek bagi membantu golongan sasar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata langkah itu boleh menjamin lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada dana yang kerajaan kepada NGO. "NGO yang berkesan bukan diukur daripada jumlah aktiviti yang laksanakan tetapi laporan yang disampaikan atau hasil yang dicapai. Apa sahaja peruntukan yang diberikan kerajaan, NGO perlu menggunakannya dengan cara yang terbaik. "NGO yang berkesan beri tumpuan kepada hasil bukan output. Bukan bilangan aktiviti yang dilakukan tetapi hasil yang dicapai," kata beliau pada majlis ulang tahun kelima penubuhan Yayasan myNADI di sini, Ahad. Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan myNADI Tan Sri Dr Jeyaindran Sinnadurai ketika membentangkan pencapaian lima tahun yayasan itu, berkata hanya enam peratus daripada dana kerajaan digunakannya untuk pentadbiran. Sebanyak 94 peratus lagi digunakan untuk pelaksanaan pelbagai projek bagi membantu kumpulan sasar seperti membaiki sekolah, kuil dan krematorium, katanya. Najib menyifatkan myNADI sebagai NGO paling berjaya berdasarkan laporan yang dibentangkan Jeyaindran. "Kalau semua NGO amal kaedah seperti ini (enam peratus dana untuk pentadbiran dan 94 peratus lagi untuk projek), maka peruntukan diluluskan kerajaan sudah tentu boleh beri manfaat kepada begitu ramai kumpulan sasar dan rakyat Malaysia," katanya. Dalam tempoh lima tahun lepas, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta kepada Yayasan myNADI dengan lebih 300,000 orang dan 250 NGO mendapat manfaat daripada dana itu melalui 555 projek yang dilaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan