Isnin, 23 Jun 2014
Tidak ada PRK bagi DUN Bukit Assek, Sarawak
Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek, Sarawak berikutan kematian wakil rakyat DAP, Wong Ho Leng, minggu lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata keputusan SPR itu dibuat dengan mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.
Berdasarkan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun, sebelum tamat sesi Parlimen dan DUN.
"PRK hanya perlu diadakan di DUN Bukit Assek sekiranya tempoh mandat kurang daripada tiga tahun. Kematian berlaku selepas itu, iaitu dua tahun terakhir atau
selepas tiga tahun pertama.
"Jadi dalam Perlembangan Malaysia dan juga dalam Perlembagaan Sarawak, tidak ada pilihan raya kecil perlu diadakan walaupun berlaku kekosongan kerusi di luar jangka. Itu keputusan dalam perlembagaan," katanya kepada pemberita ketika
menghadiri Majlis Hari Inovasi SPR 2014 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPR 2013, di sini hari ini.
Wong, 54 yang juga bekas Pengerusi DAP Sarawak meninggal dunia di Pusat Perubatan Rejang, Sibu pada 21 Jun akibat barah otak.
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, Wong memenangi kerusi DUN Bukit Assek dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Chieng Huong Toon dan calon Bebas Hii Tiong Huat dengan majoriti 8,827 undi.
Abdul Aziz berkata sidang DUN Sarawak bermula 20 Jun 2011, manakala tarikh kematian wakil rakyat DAP itu dengan tempoh berkenaan adalah tiga tahun satu hari bermakna lebih sehari daripada peraturan mewajibkan PRK.
"Tempoh matang DUN Sarawak ialah pada 20 Jun 2016. Bagaimapun Ketua Menteri boleh mengadakan pilihan raya lebih awal daripada tempoh matang tersebut dengan dipersetujui Yang Dipertua Negeri Sarawak dan undang-undang sedia ada," katanya.
Menurutnya pihak SPR juga masih belum menerima maklumat rasmi daripada Speaker DUN Sarawak mengenai kematian bekas Anggota Parlimen DAP Sibu itu.
Pada majlis hari ini, 47 pegawai SPR diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 48 pegawai menerima sijil kepujian, selain 35 pegawai yang berkhidmat lebih 40 tahun dan 19 pegawai yang akan bersara diraikan oleh Abdul Aziz. - Bernama
RM1.6 bilion untuk pembinaan lapangan terbang baru kulim
Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, Kedah, bagi memenuhi peningkatan penerbangan ke wilayah utara, dijangka melibatkan kos RM1.6 bilion, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar).
Kos berkenaan termasuk pengambilan tanah, pembinaan infrastruktur asas lapangan terbang dan dua landasan, katanya.
Mukhriz berkata kajian dilakukan dan penting bagi negeri-negeri utara untuk mempunyai satu lagi lapangan terbang antarabangsa memandangkan Lapangan Terbang Bayan Lepas yang sedia ada di Pulau Pinang mungkin akan mencapai kapasiti maksimum dalam dua tahun.
"Satu lagi faktor yang membimbangkan ialah lapangan terbang itu mempunyai satu landasan, yang mempunyai kapasiti terhad untuk menampung lebih banyak pesawat. Pendaratan oleh pesawat kargo telah dikurangkan lebih 10% dalam tempoh tiga tahun lepas.
"Wilayah utara berkembang dan memerlukan perkhidmatan dan kemudahan kargo udara," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian pejabat Bina Darulaman Bhd di Kuala Lumpur hari ini.
Mukhriz berkata bukan mudah bagi lapangan terbang Pulau Pinang mempunyai landasan kedua memandangkan kilang-kilang terletak berhampirannya, sambil menambah bahawa cadangan penambakan laut untuk memanjangkan landasan itu sebagai "lebih mudah bercakap daripada melakukannya".
"Penyambungan landasan tidak membantu... peningkatan penerbangan hanya dengan lebih banyak landasan dan tidak memanjangkan yang sedia ada," katanya.
Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai Jepun di Osaka, yang dibina melalui proses penambakan laut, mengambil kira-kira 10 tahun.
Mukhriz berkata adalah lebih murah untuk membina lapangan terbang di tanah besar dan bukannya melalui penambakan laut, sambil menambah bahawa lebih 600 hektar tanah ladang getah tersedia di Kulim untuk lapangan terbang yang dicadangkan itu yang boleh mempunyai sehingga empat landasan.
Beliau berkata lapangan terbang itu, jika diluluskan oleh kerajaan persekutuan, boleh menjadi lapangan terbang serantau, untuk menampung kawasan di selatan Thailand. – Bernama, 2
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pembinaan-lapangan-terbang-di-kulim-dijangka-rm1.6-bilion-kata-mukhriz#sthash.yRe3Xk4E.dpuf
PDRM bertegas dalam membenteras isu perdagangan manusia
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tegas dalam melaksanakan pelbagai langkah yang perlu bagi membanteras isu pemerdagangan manusia di negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Namun, katanya PDRM memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan usaha itu dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan imej negara.
Ketika diminta mengulas Laporan Pemerdagangan Manusia 2014 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dikeluarkan di Washington DC pada 20 Jun lepas, beliau berkata pelbagai perkara perlu diperincikan bagi melihat jika ada kelemahan yang boleh dibaiki.
"Ini laporan satu negara sahaja tetapi bagi pihak polis, kita ada langkah untuk bendung pemerdagangan manusia," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Khalid ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan PDRM bagi pelaksanaan penawaran program akademik peringkat sarjana muda dan diploma kepada pegawai dan anggota polis.
Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat itu meletakkan Malaysia pada Senarai Pemerhatian Tahap 3 daripada kedudukan sebelum ini di Tahap 2.
Wisma Putra dalam satu kenyataan Ahad menyatakan rasa kesalnya terhadap laporan itu kerana Malaysia amat serius dan komited dalam usahanya menangani pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
Sementara itu, Khalid berkata polis akan terus memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin berikutan berlakunya kes penyeludupan warga asing dipercayai menggunakan Lebuhraya Pantai Timur baru-baru ini.
Pihaknya akan memberi tumpuan utama pada tahap pengawasan di sempadan negara termasuk di Sabah bagi mencegah kegiatan penyeludupan atau penculikan berulang.
"Untuk Sabah, kita akan tambah lebih ramai anggota untuk mengawal di kawasan sempadan selain menambah peralatan keselamatan bagi memastikan tiada kegiatan penyeludupan atau penculikan berulang," katanya
Ahad, 22 Jun 2014
Peranan pegawai daerah perlu ada nilai tambah
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pegawai daerah perlu 'menokok tambah' peranan masing-masing di samping tugas tradisional sebagai pentadbir untuk memberikan khidmat yang lebih relevan dan berkesan dalam konteks semasa.
Perdana menteri berkata pegawai daerah perlu mampu melakukan tambah nilai itu menerusi penglibatan diri dengan rakyat dan semua pihak untuk merasai denyut nadi mereka.
Beliau berkata pegawai daerah tidak boleh menggangap dirinya 'besar' sebaliknya perlu meletakkan diri sebagai pemimpin, pemudah cara, rakan kongsi, pemimpin setempat dan sentiasa bersama rakyat setiap masa.
"Sebagai pegawai pentadbir, kita perlu menghayati apa sebenar kehendak dan isi hati rakyat. Jangan kita lihat berdasarkan kehendak yang datang dari Kuala Lumpur atau pun ibu negeri sahaja," katanya pada Persidangan Pegawai-pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Isnin.
Persidangan bertemakan 'Pegawai Daerah Pemacu Transformasi Luar Bandar' itu menghimpunkan semua pentadbir di peringkat negeri dan daerah.
Kalimah Allah milik orang Islam
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran rayuan penggunaan kalimah ALLAH dalam The Herald.
Empat daripada tujuh panel hakim yang bersidang menolak permohonan gereja untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang melarang penggunaan kalimah ALLAH penerbitan The Herald dalam versi bahasa Melayunya.
Selain Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, hakim-hakim lain yang membuat keputusan kes ini termasuklah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.
Turut serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.
Editor akhbar Katolik, The Herald, Lawrence Andrew berkata beliau “amat kecewa dengan keputusan” hari ini.
Sebelum ini, penerbitan itu berkata, pihaknya tidak akan berputus asa untuk mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah ALLAH.
The Herald tahun lalu memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan melarang Gereja Katolik menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan mingguannya.
Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, pengisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk kepada “Tuhan” dalam edisi Bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan bata
Tukar MB Selangor, pandangan rakyat perlu diambil kira-PAS Selangor
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar A Samad berkata, tidak wajar hanya mengambil pandangan kelompok tertentu dalam membuat keputusan Menteri Besar perlu ditukar.
Menurut beliau, dalam isu ini, pandangan rakyat juga perlu diambil kira dan bukan pandangan pemimpin politik semata-mata.
"Pemimpin politik perlu juga turun ke bawah untuk mendapatkan pandangan sebenar di peringkat akar umbi.
"Jangan sama sekali hasrat rakyat biasa diketepikan. Mereka juga mempunyai hak kerana seorang Menteri Besar itu bukan sahaja milik orang politik tetapi juga milik seluruh rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pihak tertentu yang mahu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukar.
Beliau yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, berkata pada pilihanraya umum ke-13 lalu, parti-parti politik telah turun merayu kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan.
Maka ujarnya, adalah wajar di saat-saat seperti ini lebih-lebih lagi melibatkan perubahan besar seperti pertukaran Menteri Besar perlu juga mendapat pandangan mereka.
"Sekiranya rakyat tidak merestui jika pertukaran berlaku maka kesannya akan diterima pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
"Pakatan Rakyat mesti mesra rakyat dan ini termasuk peka kepada kehendak rakyat.
"Biarlah pandangan kesemua kelompok dan peringkat rakyat diambil kira, bukan hanya kumpulan-kumpulan tertentu sahaja," tegasnya. HARAKAHDAILY
GST- Rakyat diminta berfikiran terbuka
Rakyat diminta berfikiran terbuka dan menerima baik langkah kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bertujuan memakmurkan dan memajukan negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata rakyat perlu berganding bahu dengan kerajaan dalam pelaksanaan GST demi menjadikan Malaysia negara maju.
"Sudah pasti sebagai sebuah negara yang membangun, kita kena menambahkan sumber hasil. Masalahnya, sekarang ini asas cukai kita sempit dan kita nak perluaskan lagi asas cukai itu.
"Kita tahu GST ini lebih adil kerana mereka yang dahulunya tidak bayar cukai, kena bayar cukai...itu antara sebab kenapa kita perkenalkan GST untuk membolehkan kerajaan terus mendapat hasil tambahan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Baharu, hari ini.
Taklimat itu disampaikan Naib Canselor universiti itu Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.
Mustapa berkata sebagai contoh, penjawat awam mengharapkan ganjaran yang setimpal dan kerajaan berusaha memberikan ganjaran itu berdasarkan kemampuannya.
"Dengan adanya GST, Insya-Allah, kehendak penjawat awam dan rakyat akan mampu ditunaikan apabila kerajaan mampu menambah sumber hasil.
"Sebab itu, GST mampu merencanakan pendapatan negara yang lebih stabil dan berdaya maju," katanya.
Beliau berkata jika sumber hasil itu masih ditakuk lama, kerajaan sukar melaksanakan kehendak rakyat.
Mustapa turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang berjanji menghapuskan pelbagai cukai jika dapat memerintah negara.
Menurutnya janji itu tidak logik dan langkah populis seperti itu sudah tentu tidak bertahan lama bagi mana-mana kerajaan.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mustapa-minta-rakyat-berfikiran-terbuka-terhadap-gst#sthash.dwxSGbwy.dpuf
Langgan:
Ulasan (Atom)






