Ahad, 22 Jun 2014

GST- Rakyat diminta berfikiran terbuka

Rakyat diminta berfikiran terbuka dan menerima baik langkah kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bertujuan memakmurkan dan memajukan negara. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata rakyat perlu berganding bahu dengan kerajaan dalam pelaksanaan GST demi menjadikan Malaysia negara maju. "Sudah pasti sebagai sebuah negara yang membangun, kita kena menambahkan sumber hasil. Masalahnya, sekarang ini asas cukai kita sempit dan kita nak perluaskan lagi asas cukai itu. "Kita tahu GST ini lebih adil kerana mereka yang dahulunya tidak bayar cukai, kena bayar cukai...itu antara sebab kenapa kita perkenalkan GST untuk membolehkan kerajaan terus mendapat hasil tambahan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Baharu, hari ini. Taklimat itu disampaikan Naib Canselor universiti itu Prof Datuk Dr Raduan Che Rose. Mustapa berkata sebagai contoh, penjawat awam mengharapkan ganjaran yang setimpal dan kerajaan berusaha memberikan ganjaran itu berdasarkan kemampuannya. "Dengan adanya GST, Insya-Allah, kehendak penjawat awam dan rakyat akan mampu ditunaikan apabila kerajaan mampu menambah sumber hasil. "Sebab itu, GST mampu merencanakan pendapatan negara yang lebih stabil dan berdaya maju," katanya. Beliau berkata jika sumber hasil itu masih ditakuk lama, kerajaan sukar melaksanakan kehendak rakyat. Mustapa turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang berjanji menghapuskan pelbagai cukai jika dapat memerintah negara. Menurutnya janji itu tidak logik dan langkah populis seperti itu sudah tentu tidak bertahan lama bagi mana-mana kerajaan. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mustapa-minta-rakyat-berfikiran-terbuka-terhadap-gst#sthash.dwxSGbwy.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan