Isnin, 23 Jun 2014

RM1.6 bilion untuk pembinaan lapangan terbang baru kulim

Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, Kedah, bagi memenuhi peningkatan penerbangan ke wilayah utara, dijangka melibatkan kos RM1.6 bilion, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar). Kos berkenaan termasuk pengambilan tanah, pembinaan infrastruktur asas lapangan terbang dan dua landasan, katanya. Mukhriz berkata kajian dilakukan dan penting bagi negeri-negeri utara untuk mempunyai satu lagi lapangan terbang antarabangsa memandangkan Lapangan Terbang Bayan Lepas yang sedia ada di Pulau Pinang mungkin akan mencapai kapasiti maksimum dalam dua tahun. "Satu lagi faktor yang membimbangkan ialah lapangan terbang itu mempunyai satu landasan, yang mempunyai kapasiti terhad untuk menampung lebih banyak pesawat. Pendaratan oleh pesawat kargo telah dikurangkan lebih 10% dalam tempoh tiga tahun lepas. "Wilayah utara berkembang dan memerlukan perkhidmatan dan kemudahan kargo udara," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian pejabat Bina Darulaman Bhd di Kuala Lumpur hari ini. Mukhriz berkata bukan mudah bagi lapangan terbang Pulau Pinang mempunyai landasan kedua memandangkan kilang-kilang terletak berhampirannya, sambil menambah bahawa cadangan penambakan laut untuk memanjangkan landasan itu sebagai "lebih mudah bercakap daripada melakukannya". "Penyambungan landasan tidak membantu... peningkatan penerbangan hanya dengan lebih banyak landasan dan tidak memanjangkan yang sedia ada," katanya. Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai Jepun di Osaka, yang dibina melalui proses penambakan laut, mengambil kira-kira 10 tahun. Mukhriz berkata adalah lebih murah untuk membina lapangan terbang di tanah besar dan bukannya melalui penambakan laut, sambil menambah bahawa lebih 600 hektar tanah ladang getah tersedia di Kulim untuk lapangan terbang yang dicadangkan itu yang boleh mempunyai sehingga empat landasan. Beliau berkata lapangan terbang itu, jika diluluskan oleh kerajaan persekutuan, boleh menjadi lapangan terbang serantau, untuk menampung kawasan di selatan Thailand. – Bernama, 2 - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pembinaan-lapangan-terbang-di-kulim-dijangka-rm1.6-bilion-kata-mukhriz#sthash.yRe3Xk4E.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan