Ahad, 22 Jun 2014

Tukar MB Selangor, pandangan rakyat perlu diambil kira-PAS Selangor

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar A Samad berkata, tidak wajar hanya mengambil pandangan kelompok tertentu dalam membuat keputusan Menteri Besar perlu ditukar. Menurut beliau, dalam isu ini, pandangan rakyat juga perlu diambil kira dan bukan pandangan pemimpin politik semata-mata. "Pemimpin politik perlu juga turun ke bawah untuk mendapatkan pandangan sebenar di peringkat akar umbi. "Jangan sama sekali hasrat rakyat biasa diketepikan. Mereka juga mempunyai hak kerana seorang Menteri Besar itu bukan sahaja milik orang politik tetapi juga milik seluruh rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pihak tertentu yang mahu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukar. Beliau yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, berkata pada pilihanraya umum ke-13 lalu, parti-parti politik telah turun merayu kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan. Maka ujarnya, adalah wajar di saat-saat seperti ini lebih-lebih lagi melibatkan perubahan besar seperti pertukaran Menteri Besar perlu juga mendapat pandangan mereka. "Sekiranya rakyat tidak merestui jika pertukaran berlaku maka kesannya akan diterima pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. "Pakatan Rakyat mesti mesra rakyat dan ini termasuk peka kepada kehendak rakyat. "Biarlah pandangan kesemua kelompok dan peringkat rakyat diambil kira, bukan hanya kumpulan-kumpulan tertentu sahaja," tegasnya. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan