Isnin, 21 Januari 2013

Isu kalimah Allah- Fuad cabar Anwar

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim di cabar menyatakan pendiriannya mengenai sikap Majlis Syura PAS mengenai isu pengunaan kalimah Allah. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi yang membuat cabaran demikian berkata, apakah pendirian Anwar selepas Majlis Syura memutuskan isu pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bertentangan dengan akidah "Oleh itu Anwar perlu menyatakan pendiriannya terhadap pemimpin Pas yang tidak berganjak daripada keputusan Majlis Syura dalam isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible bahasa Melayu walaupun bertentangan dengan pendirian pakatan pembangkang. "Saya nak tanya, apa pendirian dia sekarang, nak berlakon lagi dengan menyatakan kami (pakatan pembangkang) ini bersatu padu, mantap dan sebagainya. "Saya nak tanya dia, tolong jawab apa pendiriannya dengan keputusan terbaru pemimpin Pas iaitu bahawa mereka akan ikut (keputusan Majlis) Syura (Ulama). "Jangan membohongi rakyat kerana rakyat nampak semua ini, rakyat nampak mereka ini berlakon dan jangan cari alasan lain dan sebagainya," katanya Isu kalimah ALLAH ini dibangkitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan membenarkan Bible bahasa Melayu menggunakan kalimah ALLAH, dan beberapa portal kemudian melaporkan pada 8 Januari bahawa majlis pimpinan pakatan pembangkang memutuskan kalimah ALLAH boleh digunakan penganut semua agama. Bagaimanapun, Pas melalui mesyuarat Majlis Syura pada Ahad menukar keputusan dengan mengatakan kalimah ALLAH adalah khusus untuk agama Islam dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja menukar pendirian, malah menyifatkan pengunaan nama Allah dalam Bible sebagai mengarut. Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, pemimpin Pas sepatutnya lebih awal membuat keputusan berhubung isu itu. Artikel Berkaitan

KALIMAH ALLAH JADI BOLA POLITIK-Hasan Ali

Presiden Jati, Datuk Hasan Ali melihat kalimah Allah sudah benar-benar dijadikan bola politk yang terus dilambung bila Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Majlis Syura PAS mengkaji semula keputusnanya. Serentak dengan itu beliau menyifatkan kebiadapan Pengerusi DAP itu sekali lagi terserlah dengan gesaan itu. Beliau menegaskan demikian dalam satu kenyataan Ahad sebagai mengulas mengenai gesaan berkenaan. Berikut ialah kenyataan penuh Dr Hasan: KENYATAAN YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI MENGENAI ULASAN KARPAL SINGH TERHADAP KEPUTUSAN MAJLIS SYURA PAS Pemimpin, ahli dan penyokong PAS perlu membuka mata dan minda berikutan dengan gesaan yang paling tidak beradab oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh seperti yang telah dilaporkan. Kebiadapan Karpal Singh sekali lagi terserlah apabila beliau : a.Menggesa supaya Majlis Syura Ulama PAS mengkaji semula keputusan yang dibuat berhubung dengan kalimah Allah supaya selari dengan pendirian Pakatan Rakyat; b.Menggesa Presiden PAS menentukan supaya pendirian parti Islam itu juga selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat; Amatlah jelas bahwa Karpal Singh yang mewakili DAP tidak berganjak dengan pendirian parti itu mengenai Kalimah Allah yang sedang hangat dibincangkan. Selain daripada itu kenyataan terkini Karpal Singh itu boleh ditafsirkan seperti berikut : a. DAP ingin menjadi juara dalam isu kalimah Allah memandangkan pimpinan yang lain termasuk dipihak PKR belum membuat kenyataan. Atau kalau adapun kenyataan dibuat nada kenyataan itu tidak sekeras yang dikehendaki oleh DAP; b. Ternyata bahawa Karpal Singh yang mewakili DAP merasakan pucuk pimpinan PAS boleh dilentur-liuk memandangkan sebelum ini terjahan-terjahan Karpal Singh dalam beberapa isu menyebabkan PAS terpaksa mengangkat bendera putih; c. DAP ingin menjadi peneraju Pakatan Rakyat dalam beberapa isu termasuk yang berkaitan dengan kedudukan Islam dan Melayu; d. Tindakan sebahagian pimpinan PAS yang membuat pusingan U dalam isu ini menjadikan Karpal Singh semakin bersemangat dan bertenaga untuk membawa inti-inti perjuangan DAP ke dalam Pakatan Rakyat; e.Kejahilan Karpal Singh terhadap struktur membuat keputusan yang dipraktikkan oleh PAS. Dalam PAS, hal-hal dasar ditentukan oleh Majlis Syura sementara perlaksanaan dasar dan urusan harian parti diserahkan kepada Presiden dan jawatankuasa pusatnya. Kejahilan sedemikian sepatutnya tidak berlaku kerana kerjasama di antara DAP dan PAS telah diteroka sebelum PRU ke 12 tahun 2008 lagi. Sekarang ini kelihatan isu kalimah Allah sudah benar-benar dijadikan bola politik yang terus dilambung. Karpal Singh telah menggunakan ruang dan kesempatan yang ada untuk cuba membuat pukulan maut ke atas bola tanggung yang sedang dilambung-lambungkan. Tidak salah kalau saya cuba membuat ramalan bahawa sudah terdapat beberapa tanda keretakan di dalam Pakatan Rakyat. Semakin hari keretakan itu bertambah membesar dan berkemungkinan struktur Pakatan Rakyat itu sendiri akan roboh dan tumbang ke bumi akibat daripada struktur utama yang semakin lemah itu. Dalam kedudukannnya sebagai Presiden, Ustaz Hadi Awang tidak mempunyai banyak pilihan yang ada di hadapan beliau. Pilihan pertama akur kepada kehendak Karpal Singh dan DAP yang kini dilihat menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat. Pilihan kedua pula keperluan mempertahankan keputusan Majlis Syura dengan lebih bertenaga akibat desakan musuh-musuh Islam dalam DAP itu. Pada hemat saya pilihan yang kedua adalah lebih munasabah dengan mengambil kira apa sebenarnya perjuangan PAS selama ini dan siapa yang menggalas perjuangan itu. Ketegasan dan istiqamah Ketua Dewan Ulama PAS dan beberapa pimpinan ulama PAS harus di sanjung. Mereka mengambil sikap berdasarkan metodologi syariah tidak berganjak untuk mempertahankan bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna pakai di kalangan mereka yang bukan Islam. Dengan PRU ke 13 yang akan di umum pada bila-bila masa kemungkinan sesuatu yang tidak dijangka akan berlaku di dalam Pakatan Rakyat. Tidak mungkin mereka akan menghadapi PRU ke 13 dengan beberapa isu besar yang boleh mengubah pilihan pengundi masih belum dapat diselesaikan. YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI Presiden JATI Malaysia TTDI, Kuala Lumpur 20 Januari 2013

Ahad, 20 Januari 2013

SHARIFAH ZOHRA MAAFKAN BAWANI

Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin menegaskan, beliau sudah pun memaafkan KS Bawani, yang menjadi tumpuan ekoran kemunculan satu klip video kontroversi melibatkan mereka, yang dikatakan telah mengaibkan penuntut jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, baru-baru ini. Dalam kenyataan terbuka yang pertama sejak munculnya isu itu awal minggu lalu, Sharifah Zohra berkata, selain Bawani, beliau turut memaafkan kenyataan pemimpin-pemimpin politik negara yang mengutuknya dengan pelbagai dakwaan, yang dibuat secara sengaja atau tidak sengaja. "Saya amat kesal kenyataan-kenyataan yang mengkritik saya secara peribadi dibuat tanpa menyiasat dengan lebih lanjut. “Bagi saya kenyataan-kenyataan seperti ini adalah amat tidak profesional, namun saya maafkan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, ekoran penyebaran klip video tersebut, ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan memutarbelitkan fakta tanpa mengambil gambaran yang lebih besar. Katanya lagi, ekoran dari persepsi negatif ini, ramai tidak melihat video tersebut sepenuhnya, yang mempunyai empat bahagian, tetapi malangnya hanya bahagian terakhir yang menjadi ‘fenomena’. “Isu ini telah diputar belit bagi mendapatkan sokongan emosi, oleh itu saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini demi masa depan SW1M. “Video sensasi yang bermotif politik ini telah menyebabkan saya dan keluarga tertekan, terutamanya anak kecil saya. "Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya kerana saya telah menerima ancaman SMS tidak bertanggungjawab dari individu, kumpulan dan parti politik,” katanya. Kata Sharifah Zohra lagi, beliau turut mempersoalkan kenapa sumpah pelajar UUM seperti di dalam klip video itu tidak menjadi sensasi seperti ‘listen, listen, listen’. “Sumpah itu berbunyi: Kami anak anak bangsa peneraju negara, dengan ini berikrar, menentang budaya songsang perosak bangsa, menentang demonstrasi jalanan penghancur keamanan, menentang anasir luar yang menjadi barah perosak anak-anak bangsa, kami menyokong keamanan, keharmonian dan kesejahteraan sesama rakyat Malaysia berbilang bangsa tanpa campur tangan pihak ketiga,” katanya. Katanya lagi, pihak yang mempunyai kepentingan tertentu telah berjaya menjadikan isu ini sebagai fenomena sehingga menyebabkan pelajar dan pihak-pihak lain membencinya tanpa sebarang alasan. “Pada masa sama, fenomena video ini yang menyebabkan saya terkenal dalam satu hari sebenarnya bertujuan mengalihkan pandangan yang lebih penting terutamanya penyalahgunaan hak pelajar, kanak-kanak dan wanita dalam demonstrasi jalanan serta jenayah lain seperti dadah, masalah sosial, pembuangan bayi, HIV, Aids dan rogol. “Jangan lupa juga, isu-isu politik semasa seperti isu keagamaan, hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan krisis air di Selangor yang turut melibatkan kaum wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Sabtu, 19 Januari 2013

Akidah dan prinsip agama tidak boleh kompromi- PM

AKIDAH DAN AGAMA ISLAM TIDAK BOLEH DIKOMPROMI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata soal akidah dan prinsip agama Islam tidak boleh dikompromi dan dipolitikkan. Beliau berkata umat Islam di negara ini perlu menolak dan tidak memberi sokongan langsung kepada sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba memesong akidah atau mengelirukan fahaman mereka. "Bila Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) buat sesuatu, buat apa sokong. Iniboleh buat umat Islam sakit hati." Ini soal agama, soal akidah, ini soal prinsip yang tidak boleh dikompromi. Ini bukan soal politik," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah JanjiDitepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung di sini hari ini. Beliau membidas sikap PAS yang menyokong tindakan DAP dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu. Najib menjelaskan umat Islam langsung tidak mahu menyakiti orang bukan Islam begitu juga sebaliknya dan situasi inilah yang menjamin keamanan dan keharmonian negara. Isu itu dibangkitkan Lim yang Ketua Menteri Pulau Pinang semasa berucap sempena sambutan Hari Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu. Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak namun pemimpin parti sekutu DAP termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz serta Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyetujuinya. Bagaimanapun, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu. Majlis itu juga memutuskan mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemahkan kepada kalimah Allah.-- BERNAMA

Keris desak Majlis Peguam nyata pendirian perhimpunan 112

Kelab Warisan Malaysia (Keris) mendesak Majlis Peguam Malaysia menyatakan pendirian berhubung perbuatan peserta perhimpunan Sabtu lalu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012. Setiausaha Agungnya, Azman Haj Hassan berkata, hanya dengan cara tersebut Majlis Peguam boleh membuktikan mereka tidak 'pilih bulu' dalam memperjuangkan kebajikan rakyat. "Dulu ketika Bersih 3.0, mereka seolah-olah cuba halalkan perhimpunan haram yang jelas melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan rakyat, jadi sekarang mereka perlu nyatakan pendirian berhubung perhimpunan Sabtu lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Pada perhimpunan yang berlangsung di Stadium Merdeka itu, polis mengesan pelanggaran tiga daripada 27 syarat yang dipersetujui penganjur dan polis berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012. Tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang. Mengulas perkara lain, Azman Haj berkata, Keris dan 13 lagi badan bukan kerajaan (NGO) akan berhimpun di kawasan parkir Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Rabu depan bagi menyatakan sokongan terhadap peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang menyaman Majlis Peguam. "Kita akan kumpulkan 500 orang yang terdiri daripada anggota NGO dan pelanggan khidmat guaman yang kecewa dengan tindakan Majlis Peguam mengutamakan hal ehwal lain, selain memberikan khidmat guaman yang terbaik untuk rakyat," katanya. Pada Mei tahun lalu, Mohd Khairul Azam memfailkan saman terhadap Majlis Peguam, Presidennya, Lim Chee Wee dan dua pihak lagi berhubung usul yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam pada bulan yang sama. - BERNAMA

Patrick Teoh harus berhati hati; KP Jakim

Berhati-hati! Demikian nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada sesiapa yang membuat kenyataan menyentuh sensitiviti agama. Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata demikian ketika diminta mengulas isu kenyataan pelakon, Patrick Teoh yang mengguris perasaan umat Islam. "Melihat kepada isu yang berbangkit sememangnya ia menyentuh sensitiviti umat Islam. "Jadi, saya minta berhati-hatilah dalam menyatakan pandangan khususnya dalam menyentuh sensitiviti agama," kata beliau kepada Sinar Harian Online. Jakim turut menerima aduan berhubung kenyataan pelakon tersebut. Selasa lalu, Patrick Teoh telah mengguris umat Islam menerusi satu kenyataan di laman sosial. Ekoran kenyataannya di laman sosial, Teoh telah meminta maaf pada keesokan hari. Kenyataan kesat Teoh disifatkan menghina Islam termasuk memperlekeh amalan solat dan menutup aurat wanita Islam. Othman berharap permohonan maaf pelakon itu benar-benar ikhlas. "Kita berharap permohonan maaf daripada beliau benar-benar ikhlas dan tidak akan mengulanginya lagi. "Walaupun dia telah buat permohonan maaf namun kesannya tetap ada kerana mana-mana agama pun tidak mahu diperlekeh dan dihina," katanya. Pelbagai pihak mahukan tindakan tegas diambil ke atas pelakon itu termasuk Persatuan Seniman yang telah membuat laporan polis kelmarin.- Sinar Harian.

Bible tulisan jawi: JANGAN JADI PUNCA API !...

Bible bahasa Inggeris yang turut mengandungi tulisan jawi dikesan diedar di sekolah di negeri ini dipercayai untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan pelajar Islam. Menurut laporan dari Berita Harian, penyebaran itu dipercayai dilakukan oleh dua lelaki di hadapan sebuah sekolah menengah di Jelutong, jam 12.30 tengah hari kelmarin. Mereka yang berpakaian kemas didapati mengedarkan Bible kepada kira-kira 50 pelajar termasuk pelajar Islam yang sedang masuk dan keluar sekolah ketika waktu pertukaran sesi persekolahan pagi dan petang itu. Pengerusi Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, Salleh Ismail, berkata perbuatan dipercayai dilakukan oleh kakitangan gereja itu menyalahi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam. Beliau berkata, pihaknya percaya ia sengaja dilakukan untuk mencabar kesabaran umat Islam selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, membangkitkan semula isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu dalam perutusan sempena Hari Krismas, baru-baru ini. Katanya, sejak lebih 50 tahun negara merdeka, kejadian penyebaran agama Kristian di kalangan umat Islam tidak pernah berlaku tetapi ia mula timbul sejak Kerajaan DAP Pulau Pinang dipimpin Guan Eng mula memerintah. “Sehubungan itu, kami membuat laporan polis di Balai Jelutong, di sini, tengah malam tadi (semalam) untuk mendesak supaya satu siasatan dibuat oleh polis peringkat negeri berhubung penyebaran dakyah agama lain kepada umat Islam serta mendesak Kerajaan Pusat menguatkuasa tindakan mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.