Sabtu, 19 Januari 2013

Keris desak Majlis Peguam nyata pendirian perhimpunan 112

Kelab Warisan Malaysia (Keris) mendesak Majlis Peguam Malaysia menyatakan pendirian berhubung perbuatan peserta perhimpunan Sabtu lalu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012. Setiausaha Agungnya, Azman Haj Hassan berkata, hanya dengan cara tersebut Majlis Peguam boleh membuktikan mereka tidak 'pilih bulu' dalam memperjuangkan kebajikan rakyat. "Dulu ketika Bersih 3.0, mereka seolah-olah cuba halalkan perhimpunan haram yang jelas melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan rakyat, jadi sekarang mereka perlu nyatakan pendirian berhubung perhimpunan Sabtu lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Pada perhimpunan yang berlangsung di Stadium Merdeka itu, polis mengesan pelanggaran tiga daripada 27 syarat yang dipersetujui penganjur dan polis berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012. Tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang. Mengulas perkara lain, Azman Haj berkata, Keris dan 13 lagi badan bukan kerajaan (NGO) akan berhimpun di kawasan parkir Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Rabu depan bagi menyatakan sokongan terhadap peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang menyaman Majlis Peguam. "Kita akan kumpulkan 500 orang yang terdiri daripada anggota NGO dan pelanggan khidmat guaman yang kecewa dengan tindakan Majlis Peguam mengutamakan hal ehwal lain, selain memberikan khidmat guaman yang terbaik untuk rakyat," katanya. Pada Mei tahun lalu, Mohd Khairul Azam memfailkan saman terhadap Majlis Peguam, Presidennya, Lim Chee Wee dan dua pihak lagi berhubung usul yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam pada bulan yang sama. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan