Sabtu, 19 Januari 2013

Akidah dan prinsip agama tidak boleh kompromi- PM

AKIDAH DAN AGAMA ISLAM TIDAK BOLEH DIKOMPROMI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata soal akidah dan prinsip agama Islam tidak boleh dikompromi dan dipolitikkan. Beliau berkata umat Islam di negara ini perlu menolak dan tidak memberi sokongan langsung kepada sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba memesong akidah atau mengelirukan fahaman mereka. "Bila Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) buat sesuatu, buat apa sokong. Iniboleh buat umat Islam sakit hati." Ini soal agama, soal akidah, ini soal prinsip yang tidak boleh dikompromi. Ini bukan soal politik," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah JanjiDitepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung di sini hari ini. Beliau membidas sikap PAS yang menyokong tindakan DAP dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu. Najib menjelaskan umat Islam langsung tidak mahu menyakiti orang bukan Islam begitu juga sebaliknya dan situasi inilah yang menjamin keamanan dan keharmonian negara. Isu itu dibangkitkan Lim yang Ketua Menteri Pulau Pinang semasa berucap sempena sambutan Hari Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu. Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak namun pemimpin parti sekutu DAP termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz serta Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyetujuinya. Bagaimanapun, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu. Majlis itu juga memutuskan mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemahkan kepada kalimah Allah.-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan