Jumaat, 27 Jun 2014

32 barangan murah menjelang Ramadan

Harga sebanyak 32 barangan di bawah program Jimat Belanja Dapur di pasar tani seluruh negara akan lebih murah sepanjang bulan Ramadan ini. Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barangan itu akan mendapat pengurangan lagi iaitu antara 10 dan 20 peratus di 538 pasar tani seluruh negara. "Di bawah program jimat belanja barangan, harga adalah lebih murah antara lima hingga 20 peratus dan sepanjang bulan puasa, ia berkurangan lagi antara 10 hingga 20 peratus. "Sebagai contoh, harga sekilogram ayam pada hari biasa ialah RM7.80 namun sepanjang Ramadan, ia akan berkurangan sehingga RM7," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Pasar Tani Pra-Ramadan Peringkat Kebangsaan di sini hari ini. Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bekalan barangan seperti daging lembu, ayam, ikan dan sayur-sayuran adalah mencukupi sepanjang Ramadan ini walaupun fenomena El Nino melanda negara.BERNAMA

PM gembira peningkatan ketara taraf hidup peneroka Felda

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa gembira dengan perubahan ketara taraf hidup yang dinikmati generasi terkini peneroka Felda. Beliau berkata dalam mengekalkan perkembangan itu, kerajaan akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dan pelaksanaan projek tanaman berpulangan tinggi untuk mereka. Najib dalam catatan di laman Facebook turut berkongsi sekeping gambar deretan rumah Sentuhan Kasih Felda bagi generasi kedua dan ketiga di Felda Tenggaroh 3, Mersing, Johor. "Alhamdulillah. Ketara sungguh perubahan antara generasi pertama dan kedua peneroka-peneroka Felda. "Kerajaan akan terus memastikan pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan projek tanaman berpulangan tinggi untuk peneroka-peneroka. Projek Sentuhan Kasih Felda ini dicetus pada tahun 2012 dan melibatkan tanah-tanah rancangan Felda di Besut, Chini Timur 2 dan Tenggaroh," katanya. Projek Sentuhan Kasih Felda meliputi tiga komponen utama iaitu pembangunan rumah berkualiti tinggi, projek pertanian bersepadu dan pembangunan infrastruktur moden.

Bawa hal parti ke mahkamah langgar perlembagaan-Johari ABdul

Angkatan Muda PKR Selangor,mengecam tindakan ahli jawatankuasa PKR Cabang Ampang, Nasharudin Md Isa yang dilapor telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bertujuan untuk membatalkan keputusan Pemilihan PKR Cabang Ampang dengan menamakan tiga defendan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul, JPP, dan Zuraida Kamaruddin. Ketua Penerangannya, Najwan Halimi berkata, tindakan Nasharudin ini jelas bertentangan dengan Fasal 44.1 Perlembagaan PKR yang menyatakan seperti berikut: "Tiada seorang anggota yang boleh membawa apa-apa perkara parti ke mahkamah. Sekiranya berbuat demikian, maka keanggotaannya tergugur secara automatik,” katanya yang memetik sumber Perlembagaan parti. Justeru, Angkatan Muda PKR Selangor berpandangan bahawa selaras dengan peruntukan di bawah Fasal 44.1 Perlembagaan PKR , maka keanggotaan Nasharudin telah gugur secara otomatik dan beliau kini bukan lagi anggota PKR. “Oleh itu, itu Angkatan Muda PKR Selangor memohon Jawatankuasa Disiplin PKR untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara ini bagi mengenalpasti anggota parti yang turut menjadi dalang di sebalik tindakan yang diambil oleh Nasharudin seterusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

MH370- Delegasi Malaysia akan memaklumkan kepada China perkembangan terbaru

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin pada Jumaat mengetuai satu delegasi Malaysia ke China untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa negara itu perkembangan terkini mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan berkata Hamzah akan memaklumkan kepada mereka tentang usaha terkini di peringkat tiga pihak yang melibatkan China, Australia dan Malaysia serta sumbangan Malaysia. Hamzah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Waris, mengetuai delegasi itu, yang turut dianggotai pengerusi tiga jawatankuasa peringkat menteri mengenai MH370. Mereka ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi bagi Jawatankuasa Teknikal, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri (Jawatankuasa Pergerakan Aset) dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari (Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media). Semalam, jawatankuasa tersebut mengumumkan bahawa usaha mencari pesawat yang hilang itu akan beralih ke kawasan jauh ke selatan di selatan Lautan Hindi dan dijangka selesai dilakukan dalam masa lebih kurang setahun. Pesawat Boeing 777-200 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

KLIA mengendalikan 20.3 juta penumpang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 20.3 juta penumpang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, peningkatan 12 peratus berbanding 18.2 juta penumpang yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas. Pengarah Urusan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata Bangunan Terminal Utama-KLIA pula mencatatkan pergerakan penumpang seramai 26.7 juta antara Januari dan Mei. "Pertumbuhan ketara dalam prestasi trafik ini disumbangkan oleh peningkatan permintaan untuk perjalanan udara, pengembangan laluan dan peningkatan kekerapan penerbangan oleh syarikat penerbangan biasa dan juga tambang rendah. "Kami telah lama melepasi sasaran pertumbuhan yang telah ditetapkan dalam dokumen hala tuju perniagaan kami iaitu 60 juta penumpang, setiap tahun pada tahun 2014," katanya ketika berucap pada ulang tahun ke-16 KLIA di sini Jumaat. Beliau berkata tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa 329 penumpang dan anak kapal, tidak mempunyai impak yang besar ke atas kedatangan pelancong ke negara ini disebabkan giatnya aktiviti promosi yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2014. Katanya MAHB juga telah menyemak semula sasaran untuk merekodkan jumlah penumpang melebihi 10 juta menjelang 2020 di bawah hala tuju lima tahun perniagaannya. Tahun lepas, MAHB merekodkan 79.6 juta penumpang bagi kesemua 39 lapangan terbang dalam negara yang merangkumi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 domestik dan 18 landasan perlepasan pendek dan pendaratan, termasuk 47.5 juta penumpang di KLIA. "Ini merupakan peningkatan sebanyak 19.1 peratus daripada yang didaftarkan pada 2012 untuk KLIA dan peningkatan tertinggi tahun ke tahun, sejak 2014," katanya. Sebanyak 63 syarikat penerbangan beroperasi dari KLIA untuk ke 100 destinasi. Tahun lepas, KLIA menerima tujuh syarikat penerbangan baharu iaitu Malindo Air, Air France, Turkish Airlines, Philippine Airlines, Iraqi Airways, Regent Airways dan Shanghai Airlines.

Anggota kabinet baru angkat sumpah hari ini

Datuk Seri Liow Tiong Lai mendahului menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik, mengangkat sumpah memegang jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Dalam istiadat yang berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, dua orang yang dilantik menteri iaitu Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Dr Wee Ka Siong serta timbalan menteri terdiri daripada Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun, turut mengangkat sumpah memegang jawatan. Kesemua mereka juga menandatangani dokumen sumpah menyimpan rahsia di hadapan Presiden Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Pada pengumuman Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan Liow yang juga Presiden MCA sebagai Menteri Pengangkutan, Mah yang juga Presiden Gerakan dan Wee, Timbalan Presiden MCA, masing-masing dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Lee Chee Leong pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Chua sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Chew sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Yang turut hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta para pemimpin parti komponen Barisan Nasional. Liow, 53, berasal dari Melaka, menyertai barisan Kabinet pada 2008 dengan memegang portfolio Menteri Kesihatan sehingga pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 Mei tahun lepas. Sebelum itu, Liow menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada Februari 2006. Mah, 53, pula menyertai Kabinet buat kali pertama. Beliau dilantik menjadi menteri selepas memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud pada pilihan raya kecil kawasan itu akhir bulan lepas dengan majoriti undi 238. Dalam kerajaan, presiden Gerakan itu pernah menjadi timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2004 dan timbalan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2006 hingga 2008. Wee, 46, pula merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains daripada London School of Economics dan Sarjana Dalam Bidang Pembuatan daripada City University London serta Ijazah Perundangan (LLB) dengan kepujian daripada University of East London dan menjadi timbalan menteri pendidikan dari 2008 hingga 2013. Beliau menjadi anggota Parlimen Ayer Hitam di Johor selama tiga penggal berturut-turut sejak 2004 hingga sekarang. Lee, 56, pula mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan beliau pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Perak (1995-1999) serta menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Perak pada 1990 hingga 2004. Chua, 37, yang merupakan anak kepada bekas Presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek pernah menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Lee sebagai Timbalan Menteri Luar (2009-2010), dan Timbalan Menteri Dalam Negeri (2010-2013). Pelantikan Chew, 50, sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau pernah memegang jawatan sama dari tahun 2009 hingga 2010 selain menjadi anggota Parlimen Petaling Jaya Utara untuk dua penggal berturut-turut pada PRU 1999 dan 2004.-Bernama

PDRM buru anggota penganas Sulu

Polis sedang memburu beberapa lagi anggota kumpulan pengganas Sulu yang terbabit dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas. Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata ia susulan tangkapan enam individu dalam operasi khas sekitar daerah Kunak di Sabah, Rabu lepas kerana disyaki menganggotai kumpulan terbabit. "Enam orang yang kita tangkap di kawasan Kunak, Sabah itu kekal jumlahnya, walaupun ada lagi sasaran yang sedang kita buru. Saya percaya mereka (anggota kumpulan) tak akan lari ke mana dan hanya tunggu masa untuk diberkas," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung dakwaan empat daripada enam yang ditahan itu terlepas daripada tahanan, selepas majlis penganugerahan Beret 69 Komando dan Sayap Kehormat di Markas Latihan Luar, Ladang Allagar, Sungai Nyior di sini pada Jumaat. Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Salleh Mat Rasid, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. Seorang anggota polis berpangkat koperal antara enam ditahan dalam operasi itu oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom). Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 124 (C) Kanun Keseksaan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Pada Februari tahun lepas, sekumpulan pengganas bersenjata menceroboh Lahad Datu dan berlaku pertempuran yang mengorbankan nyawa 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia, iaitu lapan polis serta dua tentera. Berhubung dakwaan perintah berkurung dilaksanakan di Kunak ketika ini, Khalid menafikan perkara itu.