Jumaat, 27 Jun 2014

KLIA mengendalikan 20.3 juta penumpang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 20.3 juta penumpang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, peningkatan 12 peratus berbanding 18.2 juta penumpang yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas. Pengarah Urusan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata Bangunan Terminal Utama-KLIA pula mencatatkan pergerakan penumpang seramai 26.7 juta antara Januari dan Mei. "Pertumbuhan ketara dalam prestasi trafik ini disumbangkan oleh peningkatan permintaan untuk perjalanan udara, pengembangan laluan dan peningkatan kekerapan penerbangan oleh syarikat penerbangan biasa dan juga tambang rendah. "Kami telah lama melepasi sasaran pertumbuhan yang telah ditetapkan dalam dokumen hala tuju perniagaan kami iaitu 60 juta penumpang, setiap tahun pada tahun 2014," katanya ketika berucap pada ulang tahun ke-16 KLIA di sini Jumaat. Beliau berkata tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa 329 penumpang dan anak kapal, tidak mempunyai impak yang besar ke atas kedatangan pelancong ke negara ini disebabkan giatnya aktiviti promosi yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2014. Katanya MAHB juga telah menyemak semula sasaran untuk merekodkan jumlah penumpang melebihi 10 juta menjelang 2020 di bawah hala tuju lima tahun perniagaannya. Tahun lepas, MAHB merekodkan 79.6 juta penumpang bagi kesemua 39 lapangan terbang dalam negara yang merangkumi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 domestik dan 18 landasan perlepasan pendek dan pendaratan, termasuk 47.5 juta penumpang di KLIA. "Ini merupakan peningkatan sebanyak 19.1 peratus daripada yang didaftarkan pada 2012 untuk KLIA dan peningkatan tertinggi tahun ke tahun, sejak 2014," katanya. Sebanyak 63 syarikat penerbangan beroperasi dari KLIA untuk ke 100 destinasi. Tahun lepas, KLIA menerima tujuh syarikat penerbangan baharu iaitu Malindo Air, Air France, Turkish Airlines, Philippine Airlines, Iraqi Airways, Regent Airways dan Shanghai Airlines.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan