Jumaat, 27 Jun 2014

Anggota kabinet baru angkat sumpah hari ini

Datuk Seri Liow Tiong Lai mendahului menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik, mengangkat sumpah memegang jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Dalam istiadat yang berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, dua orang yang dilantik menteri iaitu Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Dr Wee Ka Siong serta timbalan menteri terdiri daripada Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun, turut mengangkat sumpah memegang jawatan. Kesemua mereka juga menandatangani dokumen sumpah menyimpan rahsia di hadapan Presiden Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Pada pengumuman Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan Liow yang juga Presiden MCA sebagai Menteri Pengangkutan, Mah yang juga Presiden Gerakan dan Wee, Timbalan Presiden MCA, masing-masing dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Lee Chee Leong pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Chua sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Chew sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Yang turut hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta para pemimpin parti komponen Barisan Nasional. Liow, 53, berasal dari Melaka, menyertai barisan Kabinet pada 2008 dengan memegang portfolio Menteri Kesihatan sehingga pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 Mei tahun lepas. Sebelum itu, Liow menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada Februari 2006. Mah, 53, pula menyertai Kabinet buat kali pertama. Beliau dilantik menjadi menteri selepas memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud pada pilihan raya kecil kawasan itu akhir bulan lepas dengan majoriti undi 238. Dalam kerajaan, presiden Gerakan itu pernah menjadi timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2004 dan timbalan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2006 hingga 2008. Wee, 46, pula merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains daripada London School of Economics dan Sarjana Dalam Bidang Pembuatan daripada City University London serta Ijazah Perundangan (LLB) dengan kepujian daripada University of East London dan menjadi timbalan menteri pendidikan dari 2008 hingga 2013. Beliau menjadi anggota Parlimen Ayer Hitam di Johor selama tiga penggal berturut-turut sejak 2004 hingga sekarang. Lee, 56, pula mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan beliau pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Perak (1995-1999) serta menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Perak pada 1990 hingga 2004. Chua, 37, yang merupakan anak kepada bekas Presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek pernah menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Lee sebagai Timbalan Menteri Luar (2009-2010), dan Timbalan Menteri Dalam Negeri (2010-2013). Pelantikan Chew, 50, sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau pernah memegang jawatan sama dari tahun 2009 hingga 2010 selain menjadi anggota Parlimen Petaling Jaya Utara untuk dua penggal berturut-turut pada PRU 1999 dan 2004.-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan