Jumaat, 27 Jun 2014

PM gembira peningkatan ketara taraf hidup peneroka Felda

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa gembira dengan perubahan ketara taraf hidup yang dinikmati generasi terkini peneroka Felda. Beliau berkata dalam mengekalkan perkembangan itu, kerajaan akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dan pelaksanaan projek tanaman berpulangan tinggi untuk mereka. Najib dalam catatan di laman Facebook turut berkongsi sekeping gambar deretan rumah Sentuhan Kasih Felda bagi generasi kedua dan ketiga di Felda Tenggaroh 3, Mersing, Johor. "Alhamdulillah. Ketara sungguh perubahan antara generasi pertama dan kedua peneroka-peneroka Felda. "Kerajaan akan terus memastikan pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan projek tanaman berpulangan tinggi untuk peneroka-peneroka. Projek Sentuhan Kasih Felda ini dicetus pada tahun 2012 dan melibatkan tanah-tanah rancangan Felda di Besut, Chini Timur 2 dan Tenggaroh," katanya. Projek Sentuhan Kasih Felda meliputi tiga komponen utama iaitu pembangunan rumah berkualiti tinggi, projek pertanian bersepadu dan pembangunan infrastruktur moden.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan