Ahad, 11 Mei 2014
Sambutan hari Ibu harus bagi umat Islam-Mufti Kelantan
Meraikan sambutan Hari Ibu pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun bagi umat Islam adalah harus, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau berkata tidak menjadi satu kesalahan untuk anak-anak meraikan Hari Ibu bagi menghargai jasa insan istimewa itu yang banyak berkorban jiwa dan raga dalam mendidik serta membesarkan anak-anak.
"Mengucapkan Selamat Hari Ibu dan meraikan ibu yang melahirkan kita dan bersusah-payah membesarkan kita, mandikan kita dan membersihkan najis kita semasa kecil, adakah ia satu kesalahan?.
"Perkara yang dilarang dalam Islam adalah menderhaka kepada ibu.
"Kalau kita lakukan sesuatu yang 'harus' dan dapat memberi kegembiraan kepada orang lain termasuk ibu sendiri ia merupakan sedekah dan dikira mendapat pahala," katanya ketika dihubungi Bernama Ahad.
Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan haram untuk umat Islam menyambut hari berkenaan kerana meniru perayaan orang Kristian yang menyambut hari 'Mother of Church'.
Sambutan Hari Ibu tahun ini jatuh pada hari ini.
Mohamad Shukri berkata Islam tidak pernah melarang umatnya mencontohi kebaikan orang lain termasuk Barat, namun sebarang perbuatan yang menyerupai upacara keagamaan lain serta bertentangan dengan syariat Islam amat ditegah.
Begitu juga menyambut Hari Ibu, beliau berkata umat Islam perlu memastikan pengisian sambutan itu berlandaskan syariat Islam sebenar, katanya.
"Macam hendak sambut Hari Ibu pun perlu dengan cara yang dibenarkan syarak jangan langgar batas-batas dalam Islam termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan, ini tidak boleh," katanya.
Mohamad Shukri berkata walaupun tiada suruhan untuk meraikan Hari Ibu di dalam Al-Quran, namun terdapat ayat yang menekankan perlunya umat Islam berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Katanya, Islam meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi malah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud:
"Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik?, jawab Rasulullah SAW: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? ujar Baginda: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu".
Sabtu, 10 Mei 2014
Malaysia bukan negara Pak Turut-PM
Malaysia bukan menjadi negara "Pak Turut" hanya kerana mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, kata Datuk Seri Najib Razak (gambar).
Perdana menteri berkata Malaysia berpegang kepada prinsip tersendiri dalam mengamalkan dasar luar dan tidak pernah dipengaruhi mana-mana negara.
Beliau turut menolak dakwaan Malaysia seolah-olah dikawal dua kuasa besar dunia itu apabila mempunyai hubungan baik dengan mereka.
"Prinsip kita ialah untuk berbuat baik dengan semua negara berdasarkan kepada pertimbangan apa yang kita fikirkan patut. Kita bukan negara Pak Turut...tak pernah... kita ada pendirian kita yang bebas," katanya dalam program Ruang Bicara Khas Bernama TV Bersama Perdana Menteri.
Program itu disiarkan melalui saluran Astro 502 pada 9 malam ini.
Beliau diminta mengulas lawatan Presiden Amerika Barack Obama ke Kuala Lumpur baru-baru ini serta pandangan kononnya Malaysia dikawal negara itu dan juga China.
Perdana menteri ditemu ramah selama sejam oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun Umno ke-68, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Mengenai lawatan Obama, Najib berkata beliau telah menyatakan kepada presiden Amerika itu tentang pendirian kukuh Malaysia yang akan terus memperjuang keadilan dan hak bagi rakyat Palestin yang menderita sejak lebih enam dekad.
"Dalam hal ini, kita tak ada kompromi tentang apa yang kita hendak perjuangkan keadilan dan hak rakyat Palestin, kita teruskan.
"Tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh ada hubungan strategik dengan Amerika Syarikat," katanya.
Lawatan Obama ke Kuala Lumpur hujung bulan lepas adalah yang kedua oleh presiden Amerika dalam tempoh hampir 50 tahun.
Dalam lawatan itu, Najib dan Obama sepakat meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Amerika kepada perkongsian komprehensif yang menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara termasuk dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pendidikan.
KLIA2 tidak pernah mengenakan bayaran RM3 yang dikutip Air Asia
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini mengulangi kenyataan yang ia tidak mengenakan bayaran RM3.00 di klia2 yang diperkenalkan AirAsia.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, jambatan udara dan kemudahan daftar masuk kegunaan umum adalah ciri standard kebanyakan lapangan terbang utama di seluruh dunia.
Semua ini lazimnya dianggap kos operasi biasa kepada syarikat penerbangan, sama seperti utiliti, pengendalian darat, bahan bakar, caj pendaratan atau parkir, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, MAHB berkata, perpindahan AirAsia tidak lancar sepenuhnya dan semua pihak bekerjasama rapat meminimumkan kesulitan yang dihadapi penumpang.
Selepas AirAsia memulakan operasi sepenuhnya di klia2 pada 9 Mei lalu, terminal berkenaan mengendalikan lebih 60,000 penumpang dalam tempoh 24 jam daripada tengah malam 8 Mei sehingga tengah malam 9 Mei.
"Kami telah menghulurkan sokongan dan bantuan segera untuk menyelesaikan masalah dihadapi AirAsia, sama seperti MAHB bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain bagi memastikan operasi berjalan lancar," katanya.
MAHB berkata, ia menasihatkan syarikat penerbangan untuk mengkaji perancangan tenaga kerja dan ketersediaan sumber untuk aktiviti pengendalian darat.
Pengendali lapangn terbang itu juga telah menempatkan tenaga kerjanya sendiri bagi membantu syarikat penerbangan dengan banyak aspek operasi, katanya.
MAHB berkata, pertukaran pintu yang terlalu banyak oleh AirAsia memberi kesan kepada banyak penerbangannya serta menimbulkan kesulitan kepada penumpang.
"Kami sedang bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan itu bagi menambah baik saluran komunikasi dan penyelarasan antara kakitangannya dan lapangan terbang.
"Dalam mesyuarat penyelarasan harian dengan AirAsia hari ini, MAHB mengulangi komitmennya untuk membantu AirAsia menangani isu terbabit dan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhannya," katanya. – Bernama,
Kementerian Pelancongan perlu jadi badan pengawal selia membenteras kegiatan penipuan pakej umah
Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan disaran menjadi badan pengawal selia untuk membanteras kegiatan penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata dua kementerian itu perlu berbincang untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu termasuk dengan menyenarai hitam agensi berkaitan. "Sudah sampai masanya titik noktah masalah ini dilakukan kerana Tabung Haji tidak punyai hak kuasa untuk senarai hitam ejen-ejen yang langgar undang-undang.
"Saya harap dua kementerian ini dapat menggembleng tenaga mengatasinya sebab hanya mereka yang boleh menyenarai hitam ejen yang menipu dan menganiaya rakyat tidak berdosa," katanya.
Beliau ditemui selepas dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena memuliakan sambutan 40 tahun pemerintahan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini.
Abdul Azeez juga menyarankan Kementerian Pelancongan menghantar pegawainya membuat tinjauan di Makkah, Madinah dan Jeddah untuk mendapatkan maklumat harga hotel, penerbangan dan logistik untuk memudahkan mereka menyenarai hitam ejen pelancongan yang memperdaya orang ramai.
Beliau berkata TH bersedia membantu dua kementerian itu mengedalikan talian bebas tol untuk membolehkan mangsa membuat aduan.
Sambil meminta Kementerian Pelancongan memantau agensi pelancongan yang 'tumbuh bak cendawan', beliau berkata pakej umrah dilaksanakan oleh agensi pelancongan lain kerana TH tidak mampu menguruskannya sendirian setelah memberi tumpuan kepada pengurusan haji yang melibatkan kira-kira 28,000 jemaah.
Abdul Azeez turut mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran mengerjakan umrah dengan harga antara RM3,000 hingga RM4,000 sebaliknya mendapatkan pandangan dan nasihat percuma di mana-mana cawangan TH tawaran pakej umrah.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Baling berkata mereka juga boleh menyemak senarai agensi pelancongan yang bertauliah dan berdaftar dengan TH.
-- BERNAMA
MCA tidak tanding PRK Bukit Gelugor
MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei ini, kerana mahu memberi tumpuan kepada isu hudud.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat tergempar Majlis Presiden di Ipoh, Perak, hari Sabtu.
Menurutnya parti itu mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap krisis Perlembagaan yang dicetuskan oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud.
"MCA perlu berusaha secara sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti melindungi Perlembagaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat MCA negeri di sini.
Beliau berharap orang ramai dan penyokong parti akan memahami bahawa parti itu perlu membuat keputusan yang tepat dalam masa yang kritikal.
Turut hadir pengerusi MCA negeri Datin Paduka Chew Mei Fun dan barisan kepimpinan MCA negeri.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas, mendiang Karpal Singh menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 42,706 undi.
Ong berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menerima keputusan parti itu selepas berbincang serta mendengar pendapat pimpinan tertinggi dan akar umbi parti itu.
Ditanya sama ada keputusan itu mendapat persetujuan akar umbi, Ong berkata terdapat pelbagai pandangan daripada mereka, bagaimanapun kebanyakan anggota parti mahukan MCA memperkukuh kedudukan parti selain memberi fokus kepada persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau berkata walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu, MCA akan terus berkhidmat kepada rakyat terutamanya pengundi di kawasan Parlimen Bukit Gelugor bagi memastikan isu-isu berbangkit mendapat perhatian sewajarnya.
Sementara itu, Chew berkata Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang berpendapat pelaksanaan hukum hudud oleh PAS bakal mencetuskan krisis Perlembagaan.
Beliau berkata MCA negeri akan menumpukan segala tenaga dan masa untuk menangani krisis itu dan parti itu juga akan mengadakan lebih banyak dialog dan usaha untuk mengekalkan integriti Perlembagaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Isnin ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei ini.
Jumaat, 9 Mei 2014
Kenyataan Presiden ISMA tidak membawa sebarang kebaikan kepada negara- Tun M
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman tidak membawa sebarang kebaikan kepada sesiapa mahupun negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Masyarakat Cina di negara ini adalah rakyat Malaysia dan mempunyai hak di negara ini. Kita tidak mahu orang mencetuskan rusuhan kaum, justeru kenyataan ISMA itu tidak konstruktif," katanya.
Sambil menegaskan kenyataan Presiden ISMA itu juga tidak membantu pihak berkuasa menjaga ketenteraman awam, Dr Mahathir berkata: "Tidak perlu bercakap mengenai dia".
Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Abdullah Zaik menerusi laman sesawang ISMA yang menyifatkan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu yang dibawa oleh kolonial British, sebagai satu bentuk 'pencerobohan' ke negara ini dan menganggap mereka sebagai tidak sedar diri.
Ditanya mengenai kenyataan ISMA agar hudud turut melibatkan bukan Islam, Dr Mahathir meminta mereka membaca dan meneliti surah-surah dalam al-Quran sebaik mungkin kerana kitab suci itu jelas menyatakan "Allah tidak suka orang yang cetuskan kekacauan dalam negara".
Ditanya mengenai kegiatan militan di negara ini, beliau berkata: "Saya fikir mereka ini diperdaya. Mereka ingat mereka melakukan sesuatu yang disuruh oleh ajaran Islam. Tapi ini semua salah.
"Umat Islam sepatutnya berpegang kepada semangat persaudaraan".
Media melaporkan sehingga kini polis menahan 12 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan militan termasuk seorang lelaki warga Somalia yang dikehendaki oleh polis antarabangsa kerana disyaki anggota kumpulan pengganas Al-Syabab.
Kesemua tangkapan itu dibuat secara berperingkat sejak 28 April lalu di Selangor dan ibu negara.
Terdahulu Dr Mahathir melancarkan buku bertajuk 'Reminiscences of Insurrection: Malaysia's Battle Against Terrorism 1960-1990'.
Mindef cadang laksana sistem Sea-Basing di perairan Sabah
Kementerian Pertahanan akan mengemukakan cadangan pelaksanaan sistem Sea-Basing, yang mampu meningkatkan tahap keselamatan di perairan Sabah, kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.
Menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sistem Sea-Basing, iaitu penempatan aset ketenteraan di tengah lautan, berkeupayaan memudahkan bantuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat di perairan Sabah.
"Konsep Sea-Basing merujuk kepada bot-bot pemintas ditempatkan di tengah laut bersama platform induk seperti kapal Auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TDLM) kepunyaan Malaysian International Shipping Corporation (MISC), iaitu Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 untuk tugas-tugas memintas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya platform induk itu bersama platform-platform lain berkemampuan untuk memberi bantuan seperti pengisian minyak dan air kepada bot-bot pemintas tanpa perlu balik ke pangkalan yang mengambil masa serta kos.
Ia juga menyediakan tempat penginapan dan sajian bagi 24 kru bot-bot pemintas, platform untuk mengoperasikan helikopter, kemudahan perubatan dan pusat operasi di barisan hadapan.
Hishammuddin membuat kenyataan itu susulan saranan Panglima TDLM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar semalam yang mahu kerajaan melaksa-nakan sistem Sea-Basing bagi memudahkan ban--tuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat di perairan Sabah.
Beliau berkata Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 adalah dua aset negara yang digunakan khusus untuk melaksanakan tugas-tugas iringan kapal-kapal MISC Berhad semasa melalui perairan Teluk Aden, Laut Merah dan Lautan Hindi.
"Ketika ini, Bunga Mas 6 sedang ditugaskan di selatan Laut Hindi untuk operasi mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang, manakala Bunga Mas 5 pula baharu sahaja kembali ke Pangkalan TLDM Lumut setelah tamat penugasan Ops FAJAR," katanya.
Hishammuddin berkata kelebihan lain yang turut dimiliki kedua-dua kapal ini ialah ia boleh berada di kawasan operasi untuk jangka masa yang lama dan boleh mengguna pakai platform lain termasuk pelantar syarikat minyak dan gas di tengah lautan, yang pada dasarnya telah menawarkan penggunaan platform-platform mereka.
Menurutnya melalui pelaksanaan sistem Sea-Basing, aset ketenteraan seperti bot pemintas dan alat komunikasi dapat ditempatkan di kawasan lebih strategik, berada dalam kesiapsiagaan tinggi serta berkeupayaan bertindak dalam tempoh masa yang cepat.
Langgan:
Ulasan (Atom)





