Jumaat, 9 Mei 2014

Mindef cadang laksana sistem Sea-Basing di perairan Sabah

Kementerian Pertahanan akan mengemukakan cadangan pelaksanaan sistem Sea-Basing, yang mampu meningkatkan tahap keselamatan di perairan Sabah, kepada Jemaah Menteri secepat mungkin. Menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sistem Sea-Basing, iaitu penempatan aset ketenteraan di tengah lautan, berkeupayaan memudahkan bantuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat di perairan Sabah. "Konsep Sea-Basing merujuk kepada bot-bot pemintas ditempatkan di tengah laut bersama platform induk seperti kapal Auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TDLM) kepunyaan Malaysian International Shipping Corporation (MISC), iaitu Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 untuk tugas-tugas memintas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Menurutnya platform induk itu bersama platform-platform lain berkemampuan untuk memberi bantuan seperti pengisian minyak dan air kepada bot-bot pemintas tanpa perlu balik ke pangkalan yang mengambil masa serta kos. Ia juga menyediakan tempat penginapan dan sajian bagi 24 kru bot-bot pemintas, platform untuk mengoperasikan helikopter, kemudahan perubatan dan pusat operasi di barisan hadapan. Hishammuddin membuat kenyataan itu susulan saranan Panglima TDLM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar semalam yang mahu kerajaan melaksa-nakan sistem Sea-Basing bagi memudahkan ban--tuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat di perairan Sabah. Beliau berkata Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 adalah dua aset negara yang digunakan khusus untuk melaksanakan tugas-tugas iringan kapal-kapal MISC Berhad semasa melalui perairan Teluk Aden, Laut Merah dan Lautan Hindi. "Ketika ini, Bunga Mas 6 sedang ditugaskan di selatan Laut Hindi untuk operasi mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang, manakala Bunga Mas 5 pula baharu sahaja kembali ke Pangkalan TLDM Lumut setelah tamat penugasan Ops FAJAR," katanya. Hishammuddin berkata kelebihan lain yang turut dimiliki kedua-dua kapal ini ialah ia boleh berada di kawasan operasi untuk jangka masa yang lama dan boleh mengguna pakai platform lain termasuk pelantar syarikat minyak dan gas di tengah lautan, yang pada dasarnya telah menawarkan penggunaan platform-platform mereka. Menurutnya melalui pelaksanaan sistem Sea-Basing, aset ketenteraan seperti bot pemintas dan alat komunikasi dapat ditempatkan di kawasan lebih strategik, berada dalam kesiapsiagaan tinggi serta berkeupayaan bertindak dalam tempoh masa yang cepat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan