Jumaat, 9 Mei 2014

Kenyataan Presiden ISMA tidak membawa sebarang kebaikan kepada negara- Tun M

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman tidak membawa sebarang kebaikan kepada sesiapa mahupun negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Masyarakat Cina di negara ini adalah rakyat Malaysia dan mempunyai hak di negara ini. Kita tidak mahu orang mencetuskan rusuhan kaum, justeru kenyataan ISMA itu tidak konstruktif," katanya. Sambil menegaskan kenyataan Presiden ISMA itu juga tidak membantu pihak berkuasa menjaga ketenteraman awam, Dr Mahathir berkata: "Tidak perlu bercakap mengenai dia". Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Abdullah Zaik menerusi laman sesawang ISMA yang menyifatkan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu yang dibawa oleh kolonial British, sebagai satu bentuk 'pencerobohan' ke negara ini dan menganggap mereka sebagai tidak sedar diri. Ditanya mengenai kenyataan ISMA agar hudud turut melibatkan bukan Islam, Dr Mahathir meminta mereka membaca dan meneliti surah-surah dalam al-Quran sebaik mungkin kerana kitab suci itu jelas menyatakan "Allah tidak suka orang yang cetuskan kekacauan dalam negara". Ditanya mengenai kegiatan militan di negara ini, beliau berkata: "Saya fikir mereka ini diperdaya. Mereka ingat mereka melakukan sesuatu yang disuruh oleh ajaran Islam. Tapi ini semua salah. "Umat Islam sepatutnya berpegang kepada semangat persaudaraan". Media melaporkan sehingga kini polis menahan 12 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan militan termasuk seorang lelaki warga Somalia yang dikehendaki oleh polis antarabangsa kerana disyaki anggota kumpulan pengganas Al-Syabab. Kesemua tangkapan itu dibuat secara berperingkat sejak 28 April lalu di Selangor dan ibu negara. Terdahulu Dr Mahathir melancarkan buku bertajuk 'Reminiscences of Insurrection: Malaysia's Battle Against Terrorism 1960-1990'.

1 ulasan:

  1. Tanya balik kat Mahathir apabila Cina kata Melayu rasis apa pulak pendirian beliau?

    BalasPadam