Khamis, 8 Mei 2014
Kabinet tidak buat keputusan memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi
Kabinet tiada membuat keputusan untuk memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata tiada perubahan dasar kerajaan berhubung borang itu.
"Kami ada bincang perkara ini tetapi keputusannya adalah mengekalkan amalan dan dasar sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Umno Taiping di sini Khamis.
Najib mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun sebagai berkata jemaah menteri telah memutuskan untuk menggugurkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah.
Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan Entulu akan membuat kenyataan memohon maaf atas kesilapan kenyataan semalam.
"Dari segi perangkaan, kita perlu kepada perkara ini (ruangan kaum). Kalau tidak, kita tidak ada perangkaan (kaum)," katanya.
Najib menjelaskan bahawa perangkaan kaum itu perlu bagi memudahkan kerajaan memantau kemajuan setiap kaum di negara ini.
"Kalau ada mana-mana kaum yang ketinggalan, itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk lakukan apa-apa yang patut supaya kekayaan dan peluang dalam negara kita lebih seimbang," katanya.
Pilihan Raya Kecil Teluk Intan 31 Mei, Penamaan Calon 19 Mei
Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 31 Mei dengan penamaan calon pada 19 Mei, manakala pengundian awal 27 Mei, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khamis.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2013 yang diwartakan pada 30 April 2014 dan dikemaskinikan sehingga 1 Mei 2014.
"Sebanyak 36 pusat mengundi akan dibuka dengan 35 untuk pengundian biasa yang mempunyai 120 saluran dan satu pusat untuk pengundian awal," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan kerusi berkenaan di sini hari ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Abdul Aziz berkata Dewan Sekolah Menengah Seri Perak, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan juga penjumlahan undi.
"Kos untuk PRK kali ini ialah kira-kira RM1.4 juta dan seramai 957 petugas akan dilantik," katanya.
Katanya 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
"Bagi pecahan kaum pula seramai 23,301 terdiri daripada pengundi Melayu, 25,310 pengundi Cina manakala pengundi India seramai 11,468," katanya.
Beliau berkata daftar pemilih berkenaan akan mula dijual pada 17 Mei depan.
Pengundi yang ingin membuat semakan boleh melayari laman sesawang www.spr.gov.my serta melalui khidmat pesanan ringkas SPR SEMAK NO. KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 mulai tarikh sama.
Abdul Aziz berkata bagi kategori umur pula, pengundi berumur antara 30 hingga 39 adalah paling ramai iaitu 12,365 orang.
"Terdapat juga pengundi yang melebihi umur 100 tahun iaitu seramai 45 orang," katanya.
Abdul Aziz berkata bagi tujuan keselamatan, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya.
"Seperti biasa hanya pemerhati rasmi yang dilantik sahaja dibenarkan untuk membuat pemerhatian di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan penjumlahan undi," katanya.
-- BERNAMA
Umno parti dinamik yang mampu lakukan transformasi- Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno adalah sebuah parti dinamik yang mampu melakukan adaptasi dan transformasi mengikut peredaran masa dan persekitaran baharu.
Presiden Umno itu berkata dalam usia yang menjangkau 68 tahun, Umno masih relevan, unggul dan gagah.
"Buktinya kekuatan Umno menyerlah dalam pilihan raya umum lepas yang mana kerusi (Parlimen) bertambah kepada 88. (Kerjasama) DAP, PAS dan PKR hanya memperoleh 89 kerusi namun (Umno) satu sahaja boleh memenangi 88 kerusi," katanya ketika berucap semasa merasmikan Rumah Umno Taiping di sini, Khamis.
Sebagai sebuah parti yang telah lama ditubuhkan, Najib berkata Umno juga tidak terlepas daripada berdepan dengan cabaran dan permasalahan.
"Kita perlu sedar proses pembaharuan, penambahbaikan, muhasabah kepada diri kita perlu dilakukan sepanjang masa supaya Umno tetap relevan pada setiap zaman," katanya.
Najib berkata prinsip perjuangan dan idealisme Umno untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara tidak pernah berubah sejak ditubuhkan.
Mengenai Rumah Umno Taiping, Najib berkata beliau berharap bangunan yang diimpikan sejak 40 tahun lepas itu digunakan sebaik-baiknya untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan di kalangan anggota parti sesuai dengan nama yang diberikan iaitu "Rumah Umno".
Beliau mahu bangunan empat tingkat yang terletak di Jalan Kota, di sini bukan sahaja digunakan sebagai pejabat Umno sebaliknya turut dimanfaatkan sebagai tempat percambahan fikiran.
Najib berkata bangunan baharu itu diharap memberi inspirasi kepada anggota parti untuk bekerja lebih kuat bagi menjamin kejayaan Umno pada masa akan datang.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.
Rabu, 7 Mei 2014
Hudud-MCA timbang semula kedudukan dalam BN
Parti komponen BN, MCA perlu membincangkan semula kedudukannya dalam parti andai Umno setuju dengan pelaksanaan hukum hudud, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Dr Maszlee Malik pada Wacana Sinar Harian siri ke-27 bertajuk 'Hudud: Bersediakah Kita?" di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.
Maszlee bertanya kemungkinan MCA keluar dari BN andai Umno menyuarakan persetujuan terhadap pelaksanaan hudud.
"Kalau berlaku, sudah sampai masa kita bincang kedudukan kita dengan rakan sekutu," katanya.
Sebelum itu, moderator membangkitkan soal keputusan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamir Khir yang merupakan ahli Umno telah membenarkan mana-mana negeri membentang draf hudud di Parlimen.
"Saya tidak setuju (dengan Jamil Khir). Tak kira siapa yang bawa dan disokong oleh siapa termasuk Umno. Asas kita nak laksana ikut perlembagaan.
"Jamil Khir tidak wakili BN. Bukan satu persetujuan yang diwakili BN," katanya.
Wacana kali ini turut menampilkan bekas Mufti Perlis, Prof. Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah.
Perbincangan projek keretapi laju KL-Singapura masih berjalan
Perbincangan antara Malaysia dan Singapura berhubung projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura masih berjalan, kata Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azmi Abdul Aziz.
Katanya, projek itu memerlukan perancangan yang sangat teliti memandangkan tidak banyak projek kereta api berkelajuan tinggi merentasi negara yang boleh dijadikan sebagai rujukan.
"Projek kereta api berkelajuan tinggi yang merentasi negara tak banyak dan yang terkenal seperti London - Paris pun sudah 20 tahun.
"Jadi pihak Malaysia dan Singapura sedang berunding bagaimana kita hendak melakukan perancangan untuk mencapai sasaran projek itu siap menjelang 2020," katanya kepada Bernama pada Pameran Penyelesaian Kereta Api Asia 2014, di sini hari Rabu.
Cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi sepanjang 330 kilometer dari Kuala Lumpur ke Singapura, bernilai US$12 bilion (RM40 bilion) itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong pada Februari tahun lepas.
Projek yang dijangka siap pada 2020 akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua ibu negara itu kepada hanya 90 minit.
Nazri promosi TMM 2014 di Timur Tengah
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengetuai delegasi Malaysia ke Timur Tengah untuk mempromosikan program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
Destinasi pertama beliau ialah Arabian Travel Market (ATM), pameran pelancongan dan perjalanan terbesar Timur Tengah selama empat hari di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata kenyataan Tourism Malaysia yang dikeluarkan di sini hari Rabu.
Pada Isnin, Mohamad Nazri merasmikan Malaysia Pavilion dan dijadual mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pelancongan Abu Dhabi, pengerusi Sharjah Commerce dan Jabatan Pelancongan serta para pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan terkemuka di Timur Tengah.
Pameran yang berakhir pada Khamis itu menawarkan kepada Malaysia platform yang amat berkesan untuk memasarkan dan meningkatkan kesedaran tentang TMM 2014 dalam kalangan penggiat industri pelancongan di Timur Tengah.
"Sebanyak 150 penjual daripada 84 organisasi di Malaysia, terdiri daripada hotel dan resort, ejen perjalanan, pemilik produk pelancongan dan wakil kerajaan negeri, menyertai ATM tahun ini," kata kenyataan itu.
Menurutnya, pada pameran tersebut, kerajaan pulau Pinang melancarkan buku panduan untuk pelancongan beragama Islam bertajuk "Experience Penang - A Muslim Travel Guide 2014", yang mengandungi panduan lengkap tentang tempat tarikan pelancong, restoran yang menghidangkan makanan halal dan tempat penginapan yang mempunyai kemudahan dapur yang disahkan halal di negeri itu.
Selepas ATM, Tourism Malaysia akan meneruskan usaha promosinya dengan mengadakan misi jualan di Qatar (10-12 Mei) dan Jordan (12-15 Mei).
Programnya di dua destinasi itu termasuk melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Pelancongan Qatar dan Menteri Pelancongan dan Warisan Purba Jordan.
Pada 2013, 324,437 pelancong Timur Tengah melawat Malaysia, 19,830 daripada mereka dari UAE, 7,264 dari Qatar dan 6,278 dari Jordan.
Jumlah itu menunjukkan penurunan daripada 370,535 pada 2012 dan 358,994 pada 2011.BERNAMA
KLIA2 sedia terima Air Asia dalam fasa kedua perpindahan 8 Mei ini
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, ia sudah bersedia menerima AirAsia dan beberapa syarikat penerbangannya dalam fasa kedua pemindahan ke klia2.
Dalam satu kenyataan hari Rabu, pengendali lapangan terbang itu berkata, ia bekerjasama rapat dengan AirAsia bagi membantu mereka dalam pemindahan ke terminal tambang rendah baharu itu di mana beberapa mesyuarat dan ujian simulasi telah dijalankan bagi tujuan berkenaan.
AirAsia akan memindahkan operasi semua syarikat penerbangannya dari LCCT ke klia2 pada 9 Mei.
"Syarikat penerbangan lain telah berjaya memindahkan operasi mereka dengan lancar dari LCCT dan KLIA ke klia2. Oleh itu kami menjangka AirAsia akan mampu berbuat demikian walaupun jumlah pesawat dan operasinya lebih besar," MAHB.
Menurut MAHB, AirAsia mungkin menghadapi sedikit masalah semasa pemindahan, tetapi MAHB komited sepenuhnya untuk membantu sedaya mungkin.
"Kami telah menjalankan ujian Ketersediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang membabitkan semua pihak yang berkepentingan sejak Februari 2014 dan kini klia2 beroperasi dengan lancar," katanya.
Operasi klia2 yang memasuki hari keenam hari ini dengan Malindo Airways, Lion Air, Tiger Airways International dan Cebu Pacific Airways mengendalikan 33,000 ketibaan dan perlepasan dan hampir 300 pergerakan pesawat sejak dibuka pada 2 Mei lalu, kata MAHB.
Langgan:
Ulasan (Atom)






