Rabu, 7 Mei 2014

Nazri promosi TMM 2014 di Timur Tengah

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengetuai delegasi Malaysia ke Timur Tengah untuk mempromosikan program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014. Destinasi pertama beliau ialah Arabian Travel Market (ATM), pameran pelancongan dan perjalanan terbesar Timur Tengah selama empat hari di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata kenyataan Tourism Malaysia yang dikeluarkan di sini hari Rabu. Pada Isnin, Mohamad Nazri merasmikan Malaysia Pavilion dan dijadual mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pelancongan Abu Dhabi, pengerusi Sharjah Commerce dan Jabatan Pelancongan serta para pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan terkemuka di Timur Tengah. Pameran yang berakhir pada Khamis itu menawarkan kepada Malaysia platform yang amat berkesan untuk memasarkan dan meningkatkan kesedaran tentang TMM 2014 dalam kalangan penggiat industri pelancongan di Timur Tengah. "Sebanyak 150 penjual daripada 84 organisasi di Malaysia, terdiri daripada hotel dan resort, ejen perjalanan, pemilik produk pelancongan dan wakil kerajaan negeri, menyertai ATM tahun ini," kata kenyataan itu. Menurutnya, pada pameran tersebut, kerajaan pulau Pinang melancarkan buku panduan untuk pelancongan beragama Islam bertajuk "Experience Penang - A Muslim Travel Guide 2014", yang mengandungi panduan lengkap tentang tempat tarikan pelancong, restoran yang menghidangkan makanan halal dan tempat penginapan yang mempunyai kemudahan dapur yang disahkan halal di negeri itu. Selepas ATM, Tourism Malaysia akan meneruskan usaha promosinya dengan mengadakan misi jualan di Qatar (10-12 Mei) dan Jordan (12-15 Mei). Programnya di dua destinasi itu termasuk melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Pelancongan Qatar dan Menteri Pelancongan dan Warisan Purba Jordan. Pada 2013, 324,437 pelancong Timur Tengah melawat Malaysia, 19,830 daripada mereka dari UAE, 7,264 dari Qatar dan 6,278 dari Jordan. Jumlah itu menunjukkan penurunan daripada 370,535 pada 2012 dan 358,994 pada 2011.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan