Khamis, 8 Mei 2014

Umno parti dinamik yang mampu lakukan transformasi- Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno adalah sebuah parti dinamik yang mampu melakukan adaptasi dan transformasi mengikut peredaran masa dan persekitaran baharu. Presiden Umno itu berkata dalam usia yang menjangkau 68 tahun, Umno masih relevan, unggul dan gagah. "Buktinya kekuatan Umno menyerlah dalam pilihan raya umum lepas yang mana kerusi (Parlimen) bertambah kepada 88. (Kerjasama) DAP, PAS dan PKR hanya memperoleh 89 kerusi namun (Umno) satu sahaja boleh memenangi 88 kerusi," katanya ketika berucap semasa merasmikan Rumah Umno Taiping di sini, Khamis. Sebagai sebuah parti yang telah lama ditubuhkan, Najib berkata Umno juga tidak terlepas daripada berdepan dengan cabaran dan permasalahan. "Kita perlu sedar proses pembaharuan, penambahbaikan, muhasabah kepada diri kita perlu dilakukan sepanjang masa supaya Umno tetap relevan pada setiap zaman," katanya. Najib berkata prinsip perjuangan dan idealisme Umno untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara tidak pernah berubah sejak ditubuhkan. Mengenai Rumah Umno Taiping, Najib berkata beliau berharap bangunan yang diimpikan sejak 40 tahun lepas itu digunakan sebaik-baiknya untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan di kalangan anggota parti sesuai dengan nama yang diberikan iaitu "Rumah Umno". Beliau mahu bangunan empat tingkat yang terletak di Jalan Kota, di sini bukan sahaja digunakan sebagai pejabat Umno sebaliknya turut dimanfaatkan sebagai tempat percambahan fikiran. Najib berkata bangunan baharu itu diharap memberi inspirasi kepada anggota parti untuk bekerja lebih kuat bagi menjamin kejayaan Umno pada masa akan datang. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan