Rabu, 7 Mei 2014

KLIA2 sedia terima Air Asia dalam fasa kedua perpindahan 8 Mei ini

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, ia sudah bersedia menerima AirAsia dan beberapa syarikat penerbangannya dalam fasa kedua pemindahan ke klia2. Dalam satu kenyataan hari Rabu, pengendali lapangan terbang itu berkata, ia bekerjasama rapat dengan AirAsia bagi membantu mereka dalam pemindahan ke terminal tambang rendah baharu itu di mana beberapa mesyuarat dan ujian simulasi telah dijalankan bagi tujuan berkenaan. AirAsia akan memindahkan operasi semua syarikat penerbangannya dari LCCT ke klia2 pada 9 Mei. "Syarikat penerbangan lain telah berjaya memindahkan operasi mereka dengan lancar dari LCCT dan KLIA ke klia2. Oleh itu kami menjangka AirAsia akan mampu berbuat demikian walaupun jumlah pesawat dan operasinya lebih besar," MAHB. Menurut MAHB, AirAsia mungkin menghadapi sedikit masalah semasa pemindahan, tetapi MAHB komited sepenuhnya untuk membantu sedaya mungkin. "Kami telah menjalankan ujian Ketersediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang membabitkan semua pihak yang berkepentingan sejak Februari 2014 dan kini klia2 beroperasi dengan lancar," katanya. Operasi klia2 yang memasuki hari keenam hari ini dengan Malindo Airways, Lion Air, Tiger Airways International dan Cebu Pacific Airways mengendalikan 33,000 ketibaan dan perlepasan dan hampir 300 pergerakan pesawat sejak dibuka pada 2 Mei lalu, kata MAHB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan