Khamis, 30 Januari 2014

Mengharap tuah dari tahun kuda..

Ma Thou Gong Xiang
Oleh Haniff Ghazali di Hong Kong Masyarakat Cina di seluruh dunia menyambut Tahun Baru Cina hari ini yang mengangkat perayaan kali ini sebagai tahun baru kuda, jelmaan personaliti dan karakter kuda itu sebagai haiwan yang gagah, tegap dan mantap. Tahun kuda kali ini dipersonafikasikan sebagai Tahun Kuda Kayu, juga membawa maksud dan kepercayaan masyarakat Cina sedunia bakal membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kegagahan dalam kehidupan, karier dan bisnes. Tahun baru ini diucapkan sebagai ‘Ma Thou Gong Xing! San Nin Fai Lok’. Maknanya tahun kuda bawa tuah dan gembira, selamat tahun baru! Sama seperti Tahun Ular Air lalu, tahun 2014 dijangka membawa satu pergerakan dalam polarisasi ekonomi, politik dan sosial sedunia. Tahun Ular Air memartabatkan satu transisi politik terbesar di Republik Rakyat China yang menyaksikan peralihan kuasa daripada pemimpin agung Hu Jintao yang sinonim dengan pemodenan China baru kepada pemimpin agung hari ini iaitu Presiden Xi Jinping, sinonim sebagai pemimpin pemerkasaan benua Cina global. Peralihan 10 tahun sekali ini sangat unik, selesa dan teratur, cuma dicemari dengan insiden ‘Disgrace Bo’ yang didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan isu tempatan lain. Selebih itu, segala transformasi dan program memasyarakatkan ekonomi dan pengukuhan renminbi berjalan dengan lancar dan jaya. Tahun Kuda Kayu ini bakal membawa tuah yang besar kepada usaha dan bisnes China ke seluruh dunia. Dengan jolokan panggilan ‘kilang dunia’, bandar ekonomi besar seperti Shenzhen, Guangzhou, Chengdu, malah Shanghai dan Beijing akan memakmurkan dunia dengan pengaruh dan kuasa penawaran melebihi permintaan mengatasi dominasi dunia barat. Inilah maksud Rasulullah SAW dalam sabda baginda berkenaan tuntutan menguasai ilmu, ‘tuntutlah ilmu hingga ke negara Cina’. Hong Kong seperti tahun sebelumnya juga menantikan kedatangan tahun baru ini dengan penuh keceriaan dan kegembiraan. Disokong dengan kekuatan ekonomi, penguasaan logistik dan pengedaran antarabangsa, serta hubungan baik dengan barat dan China, memungkinkan Hong Kong menjadi hab utama dalam kewangan antarabangsa dan pintu entreport, menghubungkan barat dengan timur. Gergasi ekonomi Asia Timur lain seperti Korea Selatan dan Jepun juga mendapat limpah ruah secara langsung dan tidak daripada pengukuhan ekonomi Asia Timur ini. Saya mengharapkan serta berdoa, negara kita juga dapat kesejahteraan dan nikmat ekonomi dari negara naga Asia Timur ini. Cuma, kita mungkin harus mengubah beberapa persepsi dan isu kronik dalam masyarakat kita. Kita harus bersatu padu, bergerak, berjalan, berlari dan melompat sebagai satu bangsa Malaysia yang satu. Kurangkan kontroversi, jadikan perbezaan kita sebagai satu kekuatan. Contohi rakyat China yang kredibel dan responsif terhadap cabaran dan persekitaran. Mereka boleh berjuang dan berkendiri dalam perjuangan hidup, bisnes, kehidupan dan peperangan. Elakkan memanjangkan kontroversi, cari jalan penyelesaian dan bertindak mengikut lunas agama, undang-undang dan perlembagaan tanpa menurut kata hati dan emosi. Hentikan perbalahan, selesaikan dengan segera supaya isu itu tidak meleret dan berkembang menjadi kanser yang membunuh ibu pertiwi. Isu kalimah ‘Allah’ sudah sepatutnya selesai tanpa merobek hati dan perasaan berbilang kaum dan agama rakyat Malaysia. Kita harus membaca serta mentafsir agama, etika hidup dan kejiranan dengan tafsiran yang suci dan benar, bukannya atas landasan komersial dan agenda peribadi. Akhir sekali, rakyat Hong Kong dikagumi kerana sentiasa bercakap benar dan berpegang kepada kebenaran. Rakyat kita jarang-jarang, kadang-kadang, sedikit-sedikit dan selalunya hipokrit. Contohnya, jika ada kawan atau saudara mara ke luar negara, kita pun akan tumpang mengirim cenderahati dari negara yang dilawati. Agak hairan, rakan saya, yang tahu kembara saya ke luar negara sering kali minta untuk dibelikan kemeja-T ‘Hard Rock Cafe’. Boleh kata semua mereka yang keluar negara akan membeli barang kenangan dari premis ‘Hard Rock Cafe’ di negara dilawati. Tapi saya paling hairan, kawan saya itulah yang paling ke depan tidak mahu HRC di Putrajaya. Entahlah, saya pun minum kat kedai mamak saja, kemeja-T pun pakai jenama pagoda. Petikan; My Metro. Penulis Pengurus Kanan Kejuruteraan CMC Hong Kong

Khalid akui ada krisis dalaman PKR

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mengakui kerusi Dun Kajang dikosongkan bagi menyelesaikan krisis dalaman yang berlaku dalam kepimpinan PKR. Beliau berkata tindakan Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Kajang dilihat sebagai wajar dalam usaha mengatasi masalah PKR. "Masalah dalaman PKR itu memerlukan penyelesaian yang cepat dan segera. Maka, perletakan jawatan Lee itu saya lihat bukan dilakukan secara saja-saja atau main-main tanpa adanya matlamat dan objektif yang lebih besar," kata Khalid yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Pas dalam sidang berita di pejabatnya di sini. Khalid berkata, perletakan jawatan Chin Cheh dan pemilihan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk bertanding kerusi Dun Kajang mampu menangani perbalahan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali. "Usaha untuk membawa masuk Anwar ke dalam pentadbiran Selangor juga dibuat kerana PKR percaya hanya Ketua Umum parti itu yang mampu meredakan keadaan tegang berikutan isu dalaman parti," katanya. Mengulas dakwaan bahawa Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, bakal dipilih sebagai Menteri Besar Selangor jika memenangi pilihan raya kecil itu, Khalid berkata isu itu tidak timbul kerana pemilihan jawatan perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, Pas dan DAP. Sekiranya ada pertukaran jawatan Menteri Besar, katanya Pas juga akan menyerahkan nama calon bagi mengisi jawatan itu. "Soal jawatan MB (Menteri Besar) tidak timbul kerana jawatan itu tidak boleh ditentukan oleh mana-mana parti sama ada Pas, PKR dan DAP di negeri ini. Pas secara sendirian pun tidak boleh tentukan jawatan MB kerana ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat) tidak mempunyai kerusi majoriti. "Jika ada perubahan jawatan MB, ia perlu persetujuan daripada Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Kalau ada yang nak tukarkan MB (Menteri Besar), Pas juga akan serahkan nama calon...tapi kalau tidak ada, tidak ada la (serahkan nama)," katanya. Pada 28 Januari lepas, Anwar dinamakan sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil Dun Kajang. Chin Cheh memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam persaingan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. - Bernama.

Rabu, 29 Januari 2014

Lagi pemimpin PAS kecam Anwar

Seorang pemimpin Pas Terengganu mengecam peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Besar Selangor. Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengkhianati mandat dan sokongan rakyat terutama yang menyokong pakatan itu. Menurutnya, kepemimpinan PKR seolah-olah mempermainkan undi rakyat selain membawa kepada pembaziran wang rakyat untuk mengadakan pilihan raya ketika usaha mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) berjimat cermat. “Bahkan pengkhianatan itu berlaku pada rakan pakatan kerana peletakan jawatan ADUN Kajang dilakukan tanpa perbincangan dan persetujuan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Mohd. Nor berkata, sikap tidak jujur dan tidak telus dalam usaha menukar Menteri Besar Selangor juga mengundang kecurigaan dan kecemburuan oleh rakan dalam pakatan pembangkang kerana jawatan itu bukan milik mutlak PKR, sebaliknya milik bersama. Justeru itu, beliau yang juga ADUN Bukit Payong berpendapat, pelantikan dan pertukaran Menteri Besar Selangor itu mesti diputuskan dan dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden. Menurutnya, PKR sepatutnya tidak mengkhianati rakan dalam pakatan pembangkang dalam menentukan apa juga keputusan. Beliau juga berpendapat Pas sepatutnya tidak melibatkan diri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang kepada PKR. “PKR begitu angkuh dengan kemenangan dan menganggap kemenangan hanya dengan sebab sokongan dan kekuatan PKR sahaja. Kita menghargai dan menghormati pimpinan PKR dengan membiar mereka bersendirian dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.

Muslihat kedua Anwar elak dihukum?

Keputusan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkan Ketua Pembangkang tersebut daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua. Ini memandangkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 12 dan 13 Februari ini. Kejadian hampir sama seperti berulang apabila pada 26 Ogos 2008, Anwar bertanding sebagai calon PKR di Permatang Pauh selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas tuduhan tersebut pada 7 Ogos tahun sama. Pada 15 April 1999, Anwar Ibrahim dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual. Kemungkinan strategi itu sekali lagi digunakan oleh Anwar didedahkan oleh bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad Rahimi Osman yang mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada sumber dalaman PKR. Menurut beliau, perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali cuma perkara biasa yang tidak akan menyebabkan Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan pakatan pembangkang. “Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau. “Melalui pertandingan dalam pilihan raya kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada pihak berkuasa dalam kes liwat beliau,” dakwanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan kelmarin selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas. Semalam, Abdul Khalid mengumumkan Anwar sebagai calon pilihan raya kecil DUN Kajang yang dikosongkan oleh Chin Cheh. Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berpandangan, jawatan Menteri Besar Selangor bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang. Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) malah menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai ‘mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum’. “Saya tidak hairan dengan ‘drama’ Anwar kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008,” dakwanya. Yang berbeza cuma wakil rakyat yang menjadi ‘korban’ iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengundur diri untuk memberi laluan kepada suaminya di Permatang Pauh manakala Chin Cheh meletakkan jawatan agar Anwar boleh bertanding sebagai calon PKR di Kajang. “Memang benar pilihan raya kecil DUN Kajang bukan berkisar tentang soal Anwar mahu menjadi Menteri Besar Selangor, sebaliknya tentang kes liwat beliau,” dakwanya. Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari percaya Anwar tahu laluannya untuk menjadi Menteri Besar Selangor adalah proses yang rumit. “Terdapat banyak faktor yang boleh menghalang Anwar daripada dilantik ke jawatan itu terutama kemungkinan tidak mendapat perkenan Sultan Selangor,” jelasnya. Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Anwar berkemungkinan akan memainkan persepsi jika gagal menjadi Menteri Besar Selangor bahawa semua itu adalah berpunca daripada rayuan kes liwat yang kononnya didalangi oleh UMNO dan BN.

Anwar tanding PRK Dun Kajang sebagai tangga nak jadi PM

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika diadakan, sebagai usaha untuk mencapai matlamatnya menjadi perdana menteri. Bekas perdana menteri itu berkata ia adalah langkah untuk naik ke atas dan Anwar tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja. “Saya fikir itu bukan matlamatnya tetapi itu adalah tangga yang digunakan untuk mencapai matlamatnya (menjadi perdana menteri),” katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program ‘Dalam Radar Khas’ terbitan Bernama Radio24 di Wisma Bernama di sini Rabu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar mahu bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang yang dilihat umum sebagai langkah untuk menjadi menteri besar Selangor. Semalam, Anwar dinamakan sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil DUN Kajang, sekiranya diadakan, selepas kerusi itu dikosongkan oleh wakil rakyat PKR sendiri Lee Chin Cheh. Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh Lee dengan meletakkan jawatan pada Isnin selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. Ditanya sama ada tindakan Anwar itu dilihat sebagai seorang yang ‘gila kuasa’, Dr Mahathir berkata : “Memang Anwar dari dulu, saya tidak tahu gila kuasa atau tidak, tetapi beliau masuk Umno bukan kerana sayang kepada Umno kerana jika tak masuk Umno, tak boleh jadi perdana menteri. “Kalau masuk PAS, (Anwar) tak mungkin jadi perdana menteri, sampai sekarang ini pun, dia masuk (Umno) ada alasan, yang ini pun (bertanding pada pilihan raya kecil) ada alasan untuk mencapai matlamatnya,” katanya. Ditanya sama ada hasrat Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu mempunyai kaitan dengan kes liwat beliau untuk memberi tekanan kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu sama ada ia mempunyai kaitan secara langsung atau tidak. “Tetapi jika beliau menjadi perdana menteri, ia satu tahap ke arah itu, jadi perdana menteri, maka banyaklah benda beliau boleh buat untuk melindungi dirinya,” katanya. Mengulas sama ada Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu, Dr Mahathir berkata terpulang kepada BN untuk menentukannya kerana BN adalah parti campuran yang terdiri daripada pelbagai kaum. “Jadi, terpulang kepada kebijaksanaan kepimpinan BN untuk menentukan siapa yang layak untuk bertanding di kawasan itu. “Dan apabila keputusan dibuat, jangan ada bantahan lagi, cuma berpegang kepada semangat gabungan parti campuran, kita sokong sahaja,” katanya. Mengulas kriteria yang perlu rakyat tahu sebelum memilih anggota Dewan Undangan Negeri yang baharu, bekas perdana menteri itu berkata rakyat perlu mengambil kira dan menilai banyak perkara termasuk prestasi dan karektor seseorang itu serta sumbangannya kepada negara. “Jika seseorang itu cuma berjuang untuk hanya nak jadi perdana menteri atau menteri besar, saya fikir kita tak harus perlu memilih orang itu tetapi (sepatutnya orang) yang berjuang untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya. Mengulas kenyataan Anwar semalam supaya BN tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu dengan alasan elak pembaziran, Dr Mahathir berkata : “Saya melihat jika boleh, (beliau mahu) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) letak jawatan dan angkat dia sebagai perdana menteri, itulah yang terbaik bagi dia.” Terdahulu, ketika menjawab soalan dalam program itu berhubung perancangan Anwar yang dikatakan untuk menjadi menteri besar Selangor, beliau berkata Anwar memang mahu menjadi ketua kerajaan. “Kalau tak boleh yang besar, yang kecil sikit pun bolehlah cuba, dengan harapan rakyat akan menghargai dan memberi kejayaan kepada cita-citanya untuk menjadi perdana menteri. “Cita-cita yang terbesar bagi Anwar ialah menjadi perdana menteri. Soal apa jadi selepas jadi perdana menteri itu tak penting, jadi perdana menteri (dulu),” katanya. Mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli bahawa meletakkan Anwar sebagai calon pada pilihan raya kecil itu sebagai pergerakan untuk menggulingkan kerajaan sedia ada, Dr Mahathir berkata itu adalah tafsiran beliau. Katanya sebenarnya usaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada telah bermula sejak beliau menjadi perdana menteri dan tugas parti lawan ialah menjatuhkan parti pemerintah bagi membolehkan mereka menjadi pemerintah. Katanya soal isu tidak penting dan parti lawan akan mengecam apa juapun yang dilakukan oleh kerajaan termasuk memberi wang kepada mereka.

MCA akan letak calon PRK DUN Kajang

MCA akan meletakkan calonnya untuk bertanding jika pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor diadakan, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata selaras dengan semangat dan formula Barisan Nasional (BN), DUN Kajang akan sentiasa menjadi kerusi MCA dan parti perlu bekerja keras jika ingin menawan semula DUN berkenaan yang terlepas ke tangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei tahun lalu. "Kita (MCA) akan cadangkan nama calon kepada parti komponen BN yang lain selepas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) umumkan bila tarikh (penamaan calon dan) pengundian," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA di sini, hari ini. Liow bagaimanapun tidak menafikan atau mengesahkan sama ada MCA akan meletakkan semula calonnya yang tewas pada PRU13 Lee Ban Seng untuk bertanding pada PRK tersebut, namun memberi jaminan calon yang akan bertanding adalah "winnable candidate". Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan oleh penyandangnya Lee Chin Cheh dari DAP, Isnin lepas. Ketika ditanya kemampuan MCA untuk memenangi semula kerusi Kajang, Liow berkata :"Kita sentiasa positif dan selama ini pun tetap berkhidmat untuk rakyat dan rakyat perlu sedar betapa pentingnya suara MCA di Selangor". Menjelas lanjut, katanya MCA telah menubuhkan jawatankuasa khas peringkat pusat, negeri dan bahagian untuk mengatur strategi dan membuat segala persiapan bagi menghadapi PRK itu. Katanya jawatankuasa peringkat pusat akan dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Dr Wee Ka Siong, manakala Datuk Donald Lim Siang Chai dan Lee Ban Seng masing-masing mempengerusikan jawatankuasa peringkat negeri dan bahagian. Menurut Liow, tindakan Chin Cheh sengaja mengosongkan kerusi DUN Kajang bagi memberi laluan kepada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding merupakan satu bentuk manipulasi sistem demokrasi di negara ini oleh parti itu. "Ini taktik dahulu, sekarang guna lagi dan saya yakin rakyat amat marah terutama dalam keghairahan menyambut Tahun Baharu Cina," katanya. Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Anwar sebagai calon pada PRK Kajang sekali gus menguatkan lagi desas-desus bahawa ia merupakan percaturan untuk membolehkan ketua pembangkang itu mengambil alih jawatan daripada Abdul Khalid.BERNAMA

Kalau berhenti keputusan saya sendiri bukan desakan- Khalid

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebarang keputusan membabitkan perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Selangor jika berlaku, adalah disebabkan kemahuan diri beliau sendiri dan bukannya oleh desakan mana-mana pihak. Menurut Khalid, beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana tekanan atau desakan sesiapapun. “Jika saya berhenti, ia keputusan saya sendiri. Itu sahaja,” kata beliau dalam satu temubual bersama Malaysiakini. Bagaimanapun Khalid yang dipetik portal itu berkata, beliau mungkin memberi laluan dan mengundur diri sekiranya diminta oleh Anwar sendiri. Khalid berkata, beliau hanya membuat keputusan melepaskan jawatan sekiranya sampai masa yang sesuai dan sehingga kini, tiada perbincangan mengenai pertukaran menteri besar. “Saya akan (berhenti) jika perlu. Tapi jika saya tak rasa perlu (berhenti), dua perkara akan berlaku. "Jika saya tak boleh nak ubah saya berhenti. Jika saya boleh, saya akan teruskan (kerja politik),” kata -Petikan Harakahdaily.