Khamis, 30 Januari 2014

Mengharap tuah dari tahun kuda..

Ma Thou Gong Xiang
Oleh Haniff Ghazali di Hong Kong Masyarakat Cina di seluruh dunia menyambut Tahun Baru Cina hari ini yang mengangkat perayaan kali ini sebagai tahun baru kuda, jelmaan personaliti dan karakter kuda itu sebagai haiwan yang gagah, tegap dan mantap. Tahun kuda kali ini dipersonafikasikan sebagai Tahun Kuda Kayu, juga membawa maksud dan kepercayaan masyarakat Cina sedunia bakal membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kegagahan dalam kehidupan, karier dan bisnes. Tahun baru ini diucapkan sebagai ‘Ma Thou Gong Xing! San Nin Fai Lok’. Maknanya tahun kuda bawa tuah dan gembira, selamat tahun baru! Sama seperti Tahun Ular Air lalu, tahun 2014 dijangka membawa satu pergerakan dalam polarisasi ekonomi, politik dan sosial sedunia. Tahun Ular Air memartabatkan satu transisi politik terbesar di Republik Rakyat China yang menyaksikan peralihan kuasa daripada pemimpin agung Hu Jintao yang sinonim dengan pemodenan China baru kepada pemimpin agung hari ini iaitu Presiden Xi Jinping, sinonim sebagai pemimpin pemerkasaan benua Cina global. Peralihan 10 tahun sekali ini sangat unik, selesa dan teratur, cuma dicemari dengan insiden ‘Disgrace Bo’ yang didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan isu tempatan lain. Selebih itu, segala transformasi dan program memasyarakatkan ekonomi dan pengukuhan renminbi berjalan dengan lancar dan jaya. Tahun Kuda Kayu ini bakal membawa tuah yang besar kepada usaha dan bisnes China ke seluruh dunia. Dengan jolokan panggilan ‘kilang dunia’, bandar ekonomi besar seperti Shenzhen, Guangzhou, Chengdu, malah Shanghai dan Beijing akan memakmurkan dunia dengan pengaruh dan kuasa penawaran melebihi permintaan mengatasi dominasi dunia barat. Inilah maksud Rasulullah SAW dalam sabda baginda berkenaan tuntutan menguasai ilmu, ‘tuntutlah ilmu hingga ke negara Cina’. Hong Kong seperti tahun sebelumnya juga menantikan kedatangan tahun baru ini dengan penuh keceriaan dan kegembiraan. Disokong dengan kekuatan ekonomi, penguasaan logistik dan pengedaran antarabangsa, serta hubungan baik dengan barat dan China, memungkinkan Hong Kong menjadi hab utama dalam kewangan antarabangsa dan pintu entreport, menghubungkan barat dengan timur. Gergasi ekonomi Asia Timur lain seperti Korea Selatan dan Jepun juga mendapat limpah ruah secara langsung dan tidak daripada pengukuhan ekonomi Asia Timur ini. Saya mengharapkan serta berdoa, negara kita juga dapat kesejahteraan dan nikmat ekonomi dari negara naga Asia Timur ini. Cuma, kita mungkin harus mengubah beberapa persepsi dan isu kronik dalam masyarakat kita. Kita harus bersatu padu, bergerak, berjalan, berlari dan melompat sebagai satu bangsa Malaysia yang satu. Kurangkan kontroversi, jadikan perbezaan kita sebagai satu kekuatan. Contohi rakyat China yang kredibel dan responsif terhadap cabaran dan persekitaran. Mereka boleh berjuang dan berkendiri dalam perjuangan hidup, bisnes, kehidupan dan peperangan. Elakkan memanjangkan kontroversi, cari jalan penyelesaian dan bertindak mengikut lunas agama, undang-undang dan perlembagaan tanpa menurut kata hati dan emosi. Hentikan perbalahan, selesaikan dengan segera supaya isu itu tidak meleret dan berkembang menjadi kanser yang membunuh ibu pertiwi. Isu kalimah ‘Allah’ sudah sepatutnya selesai tanpa merobek hati dan perasaan berbilang kaum dan agama rakyat Malaysia. Kita harus membaca serta mentafsir agama, etika hidup dan kejiranan dengan tafsiran yang suci dan benar, bukannya atas landasan komersial dan agenda peribadi. Akhir sekali, rakyat Hong Kong dikagumi kerana sentiasa bercakap benar dan berpegang kepada kebenaran. Rakyat kita jarang-jarang, kadang-kadang, sedikit-sedikit dan selalunya hipokrit. Contohnya, jika ada kawan atau saudara mara ke luar negara, kita pun akan tumpang mengirim cenderahati dari negara yang dilawati. Agak hairan, rakan saya, yang tahu kembara saya ke luar negara sering kali minta untuk dibelikan kemeja-T ‘Hard Rock Cafe’. Boleh kata semua mereka yang keluar negara akan membeli barang kenangan dari premis ‘Hard Rock Cafe’ di negara dilawati. Tapi saya paling hairan, kawan saya itulah yang paling ke depan tidak mahu HRC di Putrajaya. Entahlah, saya pun minum kat kedai mamak saja, kemeja-T pun pakai jenama pagoda. Petikan; My Metro. Penulis Pengurus Kanan Kejuruteraan CMC Hong Kong

Tiada ulasan:

Catat Ulasan