Rabu, 29 Januari 2014

Lagi pemimpin PAS kecam Anwar

Seorang pemimpin Pas Terengganu mengecam peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Besar Selangor. Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengkhianati mandat dan sokongan rakyat terutama yang menyokong pakatan itu. Menurutnya, kepemimpinan PKR seolah-olah mempermainkan undi rakyat selain membawa kepada pembaziran wang rakyat untuk mengadakan pilihan raya ketika usaha mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) berjimat cermat. “Bahkan pengkhianatan itu berlaku pada rakan pakatan kerana peletakan jawatan ADUN Kajang dilakukan tanpa perbincangan dan persetujuan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Mohd. Nor berkata, sikap tidak jujur dan tidak telus dalam usaha menukar Menteri Besar Selangor juga mengundang kecurigaan dan kecemburuan oleh rakan dalam pakatan pembangkang kerana jawatan itu bukan milik mutlak PKR, sebaliknya milik bersama. Justeru itu, beliau yang juga ADUN Bukit Payong berpendapat, pelantikan dan pertukaran Menteri Besar Selangor itu mesti diputuskan dan dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden. Menurutnya, PKR sepatutnya tidak mengkhianati rakan dalam pakatan pembangkang dalam menentukan apa juga keputusan. Beliau juga berpendapat Pas sepatutnya tidak melibatkan diri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang kepada PKR. “PKR begitu angkuh dengan kemenangan dan menganggap kemenangan hanya dengan sebab sokongan dan kekuatan PKR sahaja. Kita menghargai dan menghormati pimpinan PKR dengan membiar mereka bersendirian dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan