Ahad, 20 Januari 2013
SHARIFAH ZOHRA MAAFKAN BAWANI
Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin menegaskan, beliau sudah pun memaafkan KS Bawani, yang menjadi tumpuan ekoran kemunculan satu klip video kontroversi melibatkan mereka, yang dikatakan telah mengaibkan penuntut jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, baru-baru ini.
Dalam kenyataan terbuka yang pertama sejak munculnya isu itu awal minggu lalu, Sharifah Zohra berkata, selain Bawani, beliau turut memaafkan kenyataan pemimpin-pemimpin politik negara yang mengutuknya dengan pelbagai dakwaan, yang dibuat secara sengaja atau tidak sengaja.
"Saya amat kesal kenyataan-kenyataan yang mengkritik saya secara peribadi dibuat tanpa menyiasat dengan lebih lanjut.
“Bagi saya kenyataan-kenyataan seperti ini adalah amat tidak profesional, namun saya maafkan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, ekoran penyebaran klip video tersebut, ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan memutarbelitkan fakta tanpa mengambil gambaran yang lebih besar.
Katanya lagi, ekoran dari persepsi negatif ini, ramai tidak melihat video tersebut sepenuhnya, yang mempunyai empat bahagian, tetapi malangnya hanya bahagian terakhir yang menjadi ‘fenomena’.
“Isu ini telah diputar belit bagi mendapatkan sokongan emosi, oleh itu saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini demi masa depan SW1M.
“Video sensasi yang bermotif politik ini telah menyebabkan saya dan keluarga tertekan, terutamanya anak kecil saya.
"Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya kerana saya telah menerima ancaman SMS tidak bertanggungjawab dari individu, kumpulan dan parti politik,” katanya.
Kata Sharifah Zohra lagi, beliau turut mempersoalkan kenapa sumpah pelajar UUM seperti di dalam klip video itu tidak menjadi sensasi seperti ‘listen, listen, listen’.
“Sumpah itu berbunyi: Kami anak anak bangsa peneraju negara, dengan ini berikrar, menentang budaya songsang perosak bangsa, menentang demonstrasi jalanan penghancur keamanan, menentang anasir luar yang menjadi barah perosak anak-anak bangsa, kami menyokong keamanan, keharmonian dan kesejahteraan sesama rakyat Malaysia berbilang bangsa tanpa campur tangan pihak ketiga,” katanya.
Katanya lagi, pihak yang mempunyai kepentingan tertentu telah berjaya menjadikan isu ini sebagai fenomena sehingga menyebabkan pelajar dan pihak-pihak lain membencinya tanpa sebarang alasan.
“Pada masa sama, fenomena video ini yang menyebabkan saya terkenal dalam satu hari sebenarnya bertujuan mengalihkan pandangan yang lebih penting terutamanya penyalahgunaan hak pelajar, kanak-kanak dan wanita dalam demonstrasi jalanan serta jenayah lain seperti dadah, masalah sosial, pembuangan bayi, HIV, Aids dan rogol.
“Jangan lupa juga, isu-isu politik semasa seperti isu keagamaan, hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan krisis air di Selangor yang turut melibatkan kaum wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Sabtu, 19 Januari 2013
Akidah dan prinsip agama tidak boleh kompromi- PM
AKIDAH DAN AGAMA ISLAM TIDAK BOLEH DIKOMPROMI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata soal akidah dan prinsip agama Islam tidak boleh dikompromi dan dipolitikkan.
Beliau berkata umat Islam di negara ini perlu menolak dan tidak memberi sokongan langsung kepada sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba memesong akidah atau mengelirukan fahaman mereka.
"Bila Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) buat sesuatu, buat apa sokong. Iniboleh buat umat Islam sakit hati."
Ini soal agama, soal akidah, ini soal prinsip yang tidak boleh dikompromi. Ini bukan soal politik," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah JanjiDitepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung di sini hari ini.
Beliau membidas sikap PAS yang menyokong tindakan DAP dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu.
Najib menjelaskan umat Islam langsung tidak mahu menyakiti orang bukan Islam begitu juga sebaliknya dan situasi inilah yang menjamin keamanan dan keharmonian negara.
Isu itu dibangkitkan Lim yang Ketua Menteri Pulau Pinang semasa berucap sempena sambutan Hari Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu.
Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak namun pemimpin parti sekutu DAP termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz serta Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyetujuinya.
Bagaimanapun, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.
Majlis itu juga memutuskan mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemahkan kepada kalimah Allah.-- BERNAMA
Keris desak Majlis Peguam nyata pendirian perhimpunan 112
Kelab Warisan Malaysia (Keris) mendesak Majlis Peguam Malaysia menyatakan pendirian berhubung perbuatan peserta perhimpunan Sabtu lalu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.
Setiausaha Agungnya, Azman Haj Hassan berkata, hanya dengan cara tersebut Majlis Peguam boleh membuktikan mereka tidak 'pilih bulu' dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.
"Dulu ketika Bersih 3.0, mereka seolah-olah cuba halalkan perhimpunan haram yang jelas melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan rakyat, jadi sekarang mereka perlu nyatakan pendirian berhubung perhimpunan Sabtu lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pada perhimpunan yang berlangsung di Stadium Merdeka itu, polis mengesan pelanggaran tiga daripada 27 syarat yang dipersetujui penganjur dan polis berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang.
Mengulas perkara lain, Azman Haj berkata, Keris dan 13 lagi badan bukan kerajaan (NGO) akan berhimpun di kawasan parkir Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Rabu depan bagi menyatakan sokongan terhadap peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang menyaman Majlis Peguam.
"Kita akan kumpulkan 500 orang yang terdiri daripada anggota NGO dan pelanggan khidmat guaman yang kecewa dengan tindakan Majlis Peguam mengutamakan hal ehwal lain, selain memberikan khidmat guaman yang terbaik untuk rakyat," katanya.
Pada Mei tahun lalu, Mohd Khairul Azam memfailkan saman terhadap Majlis Peguam, Presidennya, Lim Chee Wee dan dua pihak lagi berhubung usul yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam pada bulan yang sama. - BERNAMA
Patrick Teoh harus berhati hati; KP Jakim
Berhati-hati! Demikian nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada sesiapa yang membuat kenyataan menyentuh sensitiviti agama.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata demikian ketika diminta mengulas isu kenyataan pelakon, Patrick Teoh yang mengguris perasaan umat Islam.
"Melihat kepada isu yang berbangkit sememangnya ia menyentuh sensitiviti umat Islam.
"Jadi, saya minta berhati-hatilah dalam menyatakan pandangan khususnya dalam menyentuh sensitiviti agama," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Jakim turut menerima aduan berhubung kenyataan pelakon tersebut.
Selasa lalu, Patrick Teoh telah mengguris umat Islam menerusi satu kenyataan di laman sosial.
Ekoran kenyataannya di laman sosial, Teoh telah meminta maaf pada keesokan hari.
Kenyataan kesat Teoh disifatkan menghina Islam termasuk memperlekeh amalan solat dan menutup aurat wanita Islam.
Othman berharap permohonan maaf pelakon itu benar-benar ikhlas.
"Kita berharap permohonan maaf daripada beliau benar-benar ikhlas dan tidak akan mengulanginya lagi.
"Walaupun dia telah buat permohonan maaf namun kesannya tetap ada kerana mana-mana agama pun tidak mahu diperlekeh dan dihina," katanya.
Pelbagai pihak mahukan tindakan tegas diambil ke atas pelakon itu termasuk Persatuan Seniman yang telah membuat laporan polis kelmarin.- Sinar Harian.
Bible tulisan jawi: JANGAN JADI PUNCA API !...
Bible bahasa Inggeris yang turut mengandungi tulisan jawi dikesan diedar di sekolah di negeri ini dipercayai untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan pelajar Islam.
Menurut laporan dari Berita Harian, penyebaran itu dipercayai dilakukan oleh dua lelaki di hadapan sebuah sekolah menengah di Jelutong, jam 12.30 tengah hari kelmarin.
Mereka yang berpakaian kemas didapati mengedarkan Bible kepada kira-kira 50 pelajar termasuk pelajar Islam yang sedang masuk dan keluar sekolah ketika waktu pertukaran sesi persekolahan pagi dan petang itu.
Pengerusi Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, Salleh Ismail, berkata perbuatan dipercayai dilakukan oleh kakitangan gereja itu menyalahi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam.
Beliau berkata, pihaknya percaya ia sengaja dilakukan untuk mencabar kesabaran umat Islam selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, membangkitkan semula isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu dalam perutusan sempena Hari Krismas, baru-baru ini.
Katanya, sejak lebih 50 tahun negara merdeka, kejadian penyebaran agama Kristian di kalangan umat Islam tidak pernah berlaku tetapi ia mula timbul sejak Kerajaan DAP Pulau Pinang dipimpin Guan Eng mula memerintah.
“Sehubungan itu, kami membuat laporan polis di Balai Jelutong, di sini, tengah malam tadi (semalam) untuk mendesak supaya satu siasatan dibuat oleh polis peringkat negeri berhubung penyebaran dakyah agama lain kepada umat Islam serta mendesak Kerajaan Pusat menguatkuasa tindakan mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Khamis, 17 Januari 2013
PM dah nak umum Calon PRU 13!..
Bahang pilihanraya umum ke 13 semakin terasa..teka teki yang berlegar sebelum ini hampir menemui jawapannya.
Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) diarahkan siapsiaga bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata isu perbincangan pembahagian kerusi antara parti komponen dan calon yang akan disenaraikan hampir selesai.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ketika ini BN mahu memastikan pilihan calon yang akan bertanding pada PRU-13 berdasarkan kebolehan dan penerimaannya di kawasan berkenaan.
"Pengumuman calon akan dibuat lebih awal tetapi saya masih belum membuat keputusan bila ia akan diumumkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BN di Menara Dato' Onn di sini, sebentar tadi.
ISU SENSITIF AGAMA TIDAK PERLU DIBANGKIT- Jamil Khir
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan isu yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama tidak seharusnya dibangkitkan dengan apa cara sekalipun.
Menurutnya sikap saling menghormati pegangan agama orang lain perlu sentiasa diamalkan memandangkan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
"Kita kena faham, tidak kira bukan beragama Islam atau Islam tidak boleh untuk bercakap soal ini dan amat salah untuk kita menyentuh soal pegangan anutan seseorang," katanya kepada pemberita mengulas kenyataan pelakon dan personaliti radio, Patrick Teoh dalam laman Facebooknya yang menyinggung perasaan umat Islam.
Menerusi laman itu, Teoh mempersoalkan panduan penganjuran program Tahun Baru Cina oleh kerajaan PAS Kedah yang menggalakkan persembahan lagu berbentuk motivasi dan pakaian sopan untuk penganjur serta penyanyi, selain didakwa merendahkan martabat al-Quran.
Jamil Khir berkata, meskipun personaliti itu telah memohon maaf menerusi laman Twitter, namun catatan beliau tetap mengguris perasaan umat Islam.
"Apabila benda (kenyataan) itu terkeluar, ada permohonan maaf. Mungkin ianya mudah untuk kita ungkapkan. Tetapi ianya sudah mencalarkan orang lain," katanya.
Terdahulu beliau mengadakan sesi perjumpaan bersama peserta Diploma Pengurusan Islam siri tiga serta pertemuan dengan warga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di sini, hari ini. - Bernama
Langgan:
Ulasan (Atom)






