Khamis, 17 Januari 2013
ISU SENSITIF AGAMA TIDAK PERLU DIBANGKIT- Jamil Khir
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan isu yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama tidak seharusnya dibangkitkan dengan apa cara sekalipun.
Menurutnya sikap saling menghormati pegangan agama orang lain perlu sentiasa diamalkan memandangkan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
"Kita kena faham, tidak kira bukan beragama Islam atau Islam tidak boleh untuk bercakap soal ini dan amat salah untuk kita menyentuh soal pegangan anutan seseorang," katanya kepada pemberita mengulas kenyataan pelakon dan personaliti radio, Patrick Teoh dalam laman Facebooknya yang menyinggung perasaan umat Islam.
Menerusi laman itu, Teoh mempersoalkan panduan penganjuran program Tahun Baru Cina oleh kerajaan PAS Kedah yang menggalakkan persembahan lagu berbentuk motivasi dan pakaian sopan untuk penganjur serta penyanyi, selain didakwa merendahkan martabat al-Quran.
Jamil Khir berkata, meskipun personaliti itu telah memohon maaf menerusi laman Twitter, namun catatan beliau tetap mengguris perasaan umat Islam.
"Apabila benda (kenyataan) itu terkeluar, ada permohonan maaf. Mungkin ianya mudah untuk kita ungkapkan. Tetapi ianya sudah mencalarkan orang lain," katanya.
Terdahulu beliau mengadakan sesi perjumpaan bersama peserta Diploma Pengurusan Islam siri tiga serta pertemuan dengan warga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di sini, hari ini. - Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan