Khamis, 26 Jun 2014

KDN tidak tolak kemungkinan ada usaha mengaktifkan kembali kumpulan pengganas sulu

Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan kekerapan kes penculikan yang terjadi di timur Sabah merupakan rancangan tokoh tertentu di selatan Filipina mengaktifkan kembali kumpulan pengganas Sulu. Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setelah anggota militan itu berkurangan susulan digempur pasukan keselamatan Malaysia selepas menceroboh Lahad Datu, Sabah sebelum ini, mungkin penculikan telah dijadikan aktiviti terbaharu bagi membiayai kegiatan kumpulan itu. "Saya fikir ada tokoh tertentu di selatan Filipina yang cuba menghidupkan pasukan pengganas Sulu yang berkurangan, namun kita mempunyai kerjasama baik dengan pasukan keselamatan Filipina untuk memastikan tiada kebangkitan semula kumpulan pengganas ini," katanya. Beliau mengulas tentang kemungkinan wujudnya dalang yang cuba menghidupkan kembali kumpulan itu selepas penahanan enam individu, termasuk seorang wanita, disyaki pengganas Sulu di sekitar daerah Kunak, Sabah semalam. Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran I-CARD untuk pelajar antarabangsa oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata penahanan itu bukan satu langkah jangka pendek, malah senarai mereka yang disyaki sebenarnya lebih ramai daripada yang diumumkan. Katanya jika operasi pembendungan tidak dilakukan sekarang, beliau khuatir mereka yang berkenaan akan menggunakan pendekatan tertentu, antaranya menculik mangsa baharu bukan sahaja untuk membiayai aktiviti kumpulan itu tetapi lebih berat ia dipercayai untuk melakukan beberapa aktiviti yang akan mendatangkan kesan tidak baik kepada negara. "Pemantauan telah dilakukan, manakala pihak polis sedang menjejaki serta memburu senarai yang disyaki, dan masyarakat akan diberitahu sebarang perkembangannya berhubung apa yang dilakukan pasukan polis," kata Ahmad Zahid. Selain wanita, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya semalam berkata seorang anggota polis berpangkat koperal turut ditahan dalam satu operasi khas oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) itu. Menurut beliau, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 124 (C) Kanun Keseksaan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan