Khamis, 26 Jun 2014

Felda perlu memasarkan produk ke pentas dunia- PM Najib

Peneroka Felda perlu memandang dunia sebagai pentas untuk memasarkan produk mereka dan tidak lagi bergantung kepada pasaran tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis. Untuk mencapai tahap antarabangsa itu, beliau meminta peneroka Felda menggunakan teknologi tinggi, inovasi dan kreativiti dalam penghasilan produk-produk mereka. "Felda tidak lagi boleh berada dalam lingkungan terbatas seperti dahulu tetapi perlu bergerak ke depan untuk menguasai pasaran antarabangsa menerusi penggunaan teknologi dan inovasi," katanya ketika merasmikan "Sentuhan Kasih", program terbaru Felda di Felda Tenggaroh 3 di sini. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Menurut Najib, Felda tidak lagi boleh bergantung kepada pembukaan tanah besar-besaran tetapi perlu beralih kepada teknologi untuk produktiviti produk yang lebih tinggi membabitkan kawasan tanah lebih kecil. Najib berkata, di bawah program "Sentuhan Kasih", Felda akan bekerjasama dengan beberapa syarikat seperti Iris Corporation Berhad untuk mengaplikasikan teknologi tinggi dalam bidang pertanian bagi dipraktikkan oleh peneroka. Katanya antara projek pertanian yang sedang diusahakan di bawah program terbabit adalah penanaman buahan-buahan seperti Rock Melon, sayur-sayuran, ternakan ikan air tawar dan ternakan ayam kampung. Perdana Menteri berkata di bawah program itu, Felda turut bekerjasama dengan sebuah syarikat daripada Korea Selatan menternak ikan Sturgeon bagi menghasilkan "Caviar" untuk pasaran antarabangsa. Beliau berkata penternakan ikan Sturgeon adalah unik dan memiliki potensi besar. Najib berkata, beliau memberitahu Presiden Rusia Vladimir Putin mengenai program ternakan ikan Sturgeon dan penghasilan Caviar di Malaysia ketika bertemu pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). "Presiden Putin secara bergurau memberitahu usaha Malaysia itu (ternak ikan Sturgeon dan hasilkan Caviar) akan memecahkan dominasi sejak sekian lama Rusia dalam industri itu," katanya. Sementara itu, Mohd Isa dalam ucapannya berkata, program Sentuhan Kasih merupakan projek pertanian bersepadu yang menggunakan teknologi moden dan melibatkan generasi baharu peneroka Felda. Katanya program itu melibatkan tiga komponen utama iaitu pembangunan rumah berkualiti dan selesa, pertanian bersepadu berteknologi moden dan komponen infrastruktur moden. Bermula Oktober tahun lepas, katanya, sebanyak 100 peserta telah melapor diri untuk menyertai program Sentuhan Kasih bertempat di Felda Tenggaroh 3 dan program itu akan diperluaskan ke 12 wilayah Felda seluruh negara. Menurutnya, menerusi kerjasama dengan Iris Corporation, perpindahan kepakaran dan teknologi dijangka dapat dilakukan dalam tempoh tiga tahun. Sementara itu, Mohd Isa dalam ucapannya berkata, program Sentuhan Kasih merupakan projek pertanian bersepadu yang menggunakan teknologi moden dan melibatkan generasi baharu peneroka Felda. Katanya program itu melibatkan tiga komponen utama iaitu pembangunan rumah berkualiti dan selesa, pertanian bersepadu berteknologi moden dan komponen infrastruktur moden. Bermula Oktober tahun lepas, katanya, sebanyak 100 peserta telah melapor diri untuk menyertai program Sentuhan Kasih bertempat di Felda Tenggaroh 3 dan program itu akan diperluaskan ke 12 wilayah Felda seluruh negara. Menurutnya, menerusi kerjasama dengan Iris Corporation, perpindahan kepakaran dan teknologi dijangka dapat dilakukan dalam tempoh tiga tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan