Khamis, 26 Jun 2014

Perkasa desak CEO Petronas letak jawatan

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mendesak Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas meletak jawatan selepas kenyataan bahawa hasil minyak dan gas "bukan milik Bumiputera semata-mata" baru-baru ini. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata kejayaan Petronas adalah hasil daripada usaha keras Bumiputera membangunkan syarikat minyak negara tersebut sejak ia ditubuhkan. "Bila perbandingan dibuat mengenai Bumiputera, ia seolah-olah dosa besar. "Mereka (Petronas) yang berjaya sejak awal dahulu kerana layanan istimewa yang diberikan. Kalau dia (Shamsul) bising, berhenti sajalah," kata Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabatnya di Jalan Ipoh hari ini. Walaupun Akta Pembangunan Petroleum 1974 tidak menyatakan secara khusus mengenai Bumiputera, Ibrahim berkata pelaksanaan polisi Petronas mesti selari dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kerajaan. "Walaupun dalam Akta Pembangunan Petroleum tidak ada menyebut ia milik Bumiputera tapi ia ditulis semula (overwrite) selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan," katanya. "Ia mesti selari dengan polisi kerajaan.‎" Sementara itu, pengerusi Kluster Minyak & Gas Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Tengku Putra Tengku Ahmad juga berkata Petronas berjaya kerana ia dibina orang Melayu dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam industri minyak. Mengenai tuduhan campur tangan orang sekeliling Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ibrahim menggesa supaya Shamsul Azhar menjelaskan isu tersebut. "Siapa individu di sekeliling yang dimaksudkan itu? "Kami harap beliau jelas dan dedahkan siapa yang mengganggu urusan seperti didakwanya," kata Ibrahim. Ibrahim juga membangkitkan prestasi Shamsul Azhar yang disifatkannya penuh kontroversi susulan kritikan khususnya daripada kumpulan peniaga Bumiputera. "Sebelum beliau (Shamsul Azhar) ketuai Petronas, ketika Tan Sri Hassan Merican (bekas CEO) jadi presiden, tidak banyak isu dibangkitkan dan Petronas bergerak maju dengan baik. "Tapi Shamsul Azhar ini, sentiasa menimbulkan isu," kata Ibrahim. Ibrahim juga mendesak supaya Petronas telus dengan mendedahkan semua senarai kontraktor yang mendapat kontrak dengan mereka, serta menjemput untuk berdialog. "Demi ketelusan, saya desak Petronas dedah senarai mereka yang diberikan projek," kata beliau. Shamsul dalam wawancara akhbar perniagaan The Edge baru-baru ini berkata, minyak dan gas bukan milik orang Melayu dan Bumiputera semata-mata tetapi semua rakyat Malaysia, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Shamsul berkata, syarikat minyak itu mengamalkan kecekapan dan meritokrasi untuk setanding dengan syarikat minyak global. "Adalah terlalu sukar untuk membuat kerja dengan jujur. Awak menghabiskan masa melakukan tugas lain daripada kerja hakiki. "Keputusan kewangan menunjukkan keadaan sebenar, ia amat baik. Tidak seperti orang luar (yang menjadikan sesuatu perkara sukar) dan juga orang daripada kerajaan-birokrat. Campur tangan birokrat menjadikan sesuatu perkara menjadi susah,” katanya. Wawancara yang bertajuk “Adakah kami tidak berminat pada kecekapan” itu dibuat sebagai mengulas khabar angin menyatakan Shamsul akan meletak jawatan. Dalam wawancara itu, beliau berkata, sebahagian transformasi Petronas adalah untuk menjadikan syarikat minyak negara itu model baharu dunia korporat Malaysia daripada segi profesionalisme. -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan