Khamis, 26 Jun 2014

Penjawat awam Terengganu perlu sedia hadapi Transformasi Terengganu Baru (TTB)

Penjawat awam perlu di negeri ini perlu bersedia dengan tiga cabaran awal yang perlu dihadapi untuk merealisasikan Transformasi Terengganu Baru (TTB) demi manfaat rakyat dan masa depan yang lebih gemilang. Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif berkata, cabaran pertama ialah pengurusan pentadbiran yang baik dengan memantapkan lagi sistem penyampaian sedia ada supaya lebih kemas dengan memberi tumpuan kepada prosedur setiap jabatan. "Ini bagi mengelakkan sebarang ketirisan, kesilapan manusia dan paling utama ialah memastikan sebarang bentuk perkhidmatan yang kita beri kepada rakyat sampai kepada sasaran. "Cabaran kedua ialah pengamalan pendekatan yang bersifat inklusif di mana selera dan kehendak rakyat juga semakin kompleks dan pelbagai, apatah lagi dengan kehadiran generasi Y dan Generasi Alpha serta ledakan teknologi maklumat melalui penggunaan media sosial," katanya. Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas pertama beliau bersama warga Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Osman Muda. Ahmad Razif berkata, cabaran ketiga untuk penjawat awam ialah menjadikan agama sebagai wadah penyatuan dan mereka perlu berpegang kepada agama dalam setiap tindakan untuk menjamin kesejahteraan. Beliau turut menyarankan agar semua program kerajaan selepas ini dimulakan dengan tazkirah agama dan menjemput penceramah atau pakar motivasi secara bulanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan