Ahad, 23 November 2014

Mahasiswa perlu siapkan diri dengan kemahiran kesalinghubungan digital-Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati mahasiswa Malaysia dalam dan luar negara melengkapkan diri dengan kemahiran aplikasi 'hyperconnectivity' atau kesalinghubungan digital, dalam usaha untuk membangunkan negara. Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata mahasiswa selaku bakal pemimpin masa depan perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan dalam bidang teknologi serta komunikasi maklumat bagi menghadapi cabaran semakin sukar. "Kepimpinan pada masa depan akan lebih mencabar. Maka, saudara saudari (mahasiswa) akan berdepan dengan manusia yang bermaklumat dan tahu hak mereka. "Selain itu, 'hyperconnectivity' juga perlu untuk membina generasi bijak pandai yang terarah kepada 'thinker global' dan bukannya yang biasa-biasa sahaja," kata Muhyiddin ketika berucap merasmi penutupan Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, Ahad malam. Persidangan dua hari itu yang bermula Sabtu dihadiri 240 mahasiswa dari universiti tempatan dan luar negara. Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Menceritakan pengalaman sewaktu aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO pada suatu ketika dahulu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata pada ketika itu, berkomunikasi agak sukar kerana kekangan capaian maklumat termasuk ketiadaan alat komunikasi yang canggih. "Ledakan ilmu belum berlaku secara luas ketika itu. Ledakan teknologi belum sampai ke tahap seperti hari ini di mana dengan adanya ledakan media sosial sebarang maklumat dari seantero dunia boleh diperoleh mengikut 'real time' (tepat masa)," katanya. Mengulas penganjuran persidangan PEMANAS, Muhyiddin berkata ia merupakan satu platform interaktif amat baik kerana memberi ruang mahasiswa menyuarakan pelbagai pandangan dan pendapat mengenai UMNO dan kerajaan. Malah, katanya persidangan itu menjadi medan untuk memilih wakil mahasiswa yang akan berucap dan berbahas dalam Perhimpunan Agung 2014 pada 25 hingga 29 Nov ini. "Harap semasa perhimpunan (wakil) mahasiswa dapat menyampaikan usul yang bermutu. Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Majlis Tertinggi akan beri perhatian terhadap usul saudara saudari," katanya. Muhyiddin berkata hanya UMNO sahaja parti yang memberi ruang kepada mahasiswa berucap di hadapan barisan kepimpinan dan berkongsi idea demi kemajuan serta kemakmuran negara. "Tiada negara atau pertubuhan politik yang menawarkan ruang begitu baik sekali di mana pemimpin muda mahasiwa di letak sebaris dalam forum yang sama dengan para pemimpin. "Ini buktikan kita iktiraf keupayaan dan kebijaksanaan golongan muda untuk ambil tempat yang penting suarakan idea," katanya. Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan Anugerah Kelab UMNO Terbaik kepada Kelab UMNO Medan, Indonesia; Kelab UMNO London, Britain; Kelab UMNO Korea; Kelab UMNO Mansura, Mesir; Kelab UMNO Auckland, New Zealand dan Kelab UMNO New York-East Coast, Amerika Syarikat. Muhyiddin juga menyampaikan beberapa Anugerah Biro Pendidikan UMNO kepada Ahmad Zulfadli Jusoh dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia yang menerima Anugerah Tokoh Pentadbir Universiti 2014, Prof Madya Dr Mohd Yahya Mohd Ariffin dari Universiti Sains Islam Malaysia menerima Anugerah Tokoh Pensyarah Universiti 2014 dan Persatuan Aumni Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara yang menerima Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Mahasiswa Terbaik 2014. Nuramalina Mat Yusoff dari Universiti Teknologi Mara pula menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswi 2014, Nor Mohd Afif Osman dari Universiti Teknologi Malaysia menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa 2014 dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam dari Universiti Teknologi Malaysia menerima Anugerah Khas Biro Pendidikan UMNO Malaysia.-MahBERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan