Ahad, 23 November 2014

UMNO dan BN harus menjadi lambang masa depan negara

UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti digambarkan sebagai parti yang melambangkan masa depan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Beliau berkata UMNO dan BN perlu menjadi satu parti yang moden, progresif, inklusif dan adil tetapi tidak lari daripada perjuangan asas. "Keadilan itu merupakan prinsip Islam. Segala-gala yang kita buat, yang pokok ialah keadilan. Berlaku adil kepada orang Islam dan di samping itu adil kepada orang bukan Islam," katanya dalam wawancara khas dengan akhbar Mingguan Malaysia yang disiarkan, Ahad. Dalam wawancara itu yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014, Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata beliau melihat ada kelunturan nilai dalam parti itu yang boleh dianggap sebagai perubahan generasi. Katanya, jika dahulu, orang Melayu miskin kebendaan tetapi kaya semangat tetapi hari ini mereka kaya dengan kebendaan tetapi miskin semangat perjuangan. "Kalau kita tidak pulihkan semangat perjuangan, amat sukar bagi kita untuk menggerakkan UMNO sebagai sebuah parti politik yang benar-benar dinamik dan boleh menampilkan sesuatu imej yang mampu menyakinkan orang," katanya. Najib berkata pemimpin-pemimpin parti komponen BN juga perlu melakukan transformasi kepada parti mereka bagi menarik sokongan rakyat. "Mereka patut melakukan transformasi kepada parti mereka dan sekurang-kurangnya dalam MCA sudah ada kepimpinan baharu yang sedang berusaha ke arah itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan