Isnin, 24 November 2014

Perwakilan UMNO diingatkan melupakan isu Anwar sepanjang persidangan.

Perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 diseru agar tidak menimbulkan isu berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelak memberi publisiti percuma kepada ketua pembangkang itu, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu berkata, sudah tiba masanya Umno melupakan Anwar kerana ketua umum PKR tidak mempunyai kaitan dengan agenda perjuangan parti. “Ada rungutan daripada akar umbi mengenai keghairahan sesetengah pihak pada perhimpunan lalu yang memperkatakan mengenai Anwar sehingga tindakan itu secara tidak sedar mempopularkan nama seteru politik Umno itu,” katanya seperti disiarkan akhbar Berita Harian hari ini. “Kita tak perlu buang masa terlalu kerap menyebut mengenainya (pada perhimpunan agung) kerana ia medan bagi semua ahli parti untuk menyampaikan suara rakyat kepada permimpin tertinggi. “Lebih baik kita bahas bagaimana nak jelaskan dasar, perjuangan kita dan kesannya kepada akar umbi.” Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada minggu lalu mengingatkan pembahas usul pada perhimpunan kali ini untuk mengelakkan membicarakan isu sensitif antara kaum dan masalah peribadi. Katanya, walaupun pembentang usul diberi kebebasan untuk berbahas, namun mereka perlu menjaga etika dan mengelak daripada menyentuh beberapa isu sensitif kerana apa sahaja yang dilontarkan perlu berlandaskan kepada garis panduan yang diberikan. Perhimpunan Agung Umno 2014 akan berlangsung dari 25 hingga 29 November di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak akan disampaikan pada petang esok manakala persidangan komponen Wanita, Pemuda dan Puteri akan dirasmikan timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam sama. Persidangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri berlangsung pada 26 November diikuti mesyuarat khas Majlis Tertinggi pada malamnya. Seramai 5,739 perwakilan akan terlibat dalam perhimpuna kali ini dengan 95 delegasi mewakili 27 parti dari 19 negara di peringkat antarabangsa mengesahkan kehadiran untuk menyertai perhimpunan itu. Petikan MalaysianInsider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan